suria

Bunting pelamin tidak halang Cat berbulan madu

KEBAHAGIAAN perkahwinan aktres jelita Catriona Ross, 29, yang telah mendirikan rumah tangga bersama suaminya Shaharuddin Mokhtaruddin, 30, pengarah rancangan hiburan televisyen Astro pada 26 Jun lalu kini akan bertambah bahagia setelah Cat disahkan mengandung.

Menurut Cat sendiri tempoh kandungannya kini telah berusia tiga minggu.

"Memang Cat mengandung dan kandungan Cat kini berusia tiga minggu. Cat terkejut juga apabila cerita Cat mengandung ni keluar sebab Cat memang tidak maklumkan pada sesiapa pun melainkan ahli keluarga sahaja," kata Cat.

Bagi Cat-Shahar, mereka menganggap berita baik ini sebagai hadiah yang terbaik buat mereka selepas berkahwin.

"This is one of the best hadiah buat kami after berkahwin. Selepas kemalangan yang menimpa Cat pada tahun 2007, banyak kejadian yang elok-elok berlaku pada Cat, jadi sejak kemalangan itu Cat dah mula berhenti merancang kehidupan Cat sebab Cat tahu Tuhan banyak merencanakan kehidupan Cat.

"Jadi Cat tak rasa ralat langsung, malah bersyukur sangat-sangat," kata aktres ini.

Ketika ditanya keadaannya selepas mengandung Cat menyatakan yang dia masih lagi 'Ok' dan tidak menghadapi apa-apa masalah.

"Keadaan Cat 'Ok', tiada sebarang masalah. Cat tak mabuk-mabuk, tak ada rasa loya-loya pun," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Malah Cat juga mengatakan perancangannya untuk berbulan madu juga akan tetap dijalankan seperti biasa biarpun dia kini mengandung.

"Bulan madu kami akan tetap dijalankan, lagipun usia kandungan Cat ini masih awal. Bulan madu ini hanyalah peluang untuk Cat luangkan masa bersama suami.

"Tapi Cat rasa bulan madu kami ini macam 'cute' sangat sebab Cat akan berbulan madu bersama suami sambil ditemani baby dalam kandungan," jelasnya dengan nada yang gembira.

Pasangan ini akan berbulan madu ke Pangkor Laut Resort dan Puncak Gunung Jerai dalam masa terdekat ini, malah mereka juga memilih untuk berbulan madu ke Itali selepas raya nanti.

"Lepas raya kami akan berbulan madu ke Itali, sebab kalau nak pergi sekarangpun kes virus H1N1 pun masih belum reda lagi, jadi mungkin lepas raya mungkin masalah virus ini dah berkurangan.

Menurut Cat juga, mereka memilih destinasi Itali kerana kedua-dua mereka tidak pernah sampai ke Itali lagi.

"Kami berdua tak pernah sampai ke Itali lagi, jadi kami pilih untuk ke Itali. Lagipun saya memang minat dengan sejarah dan bentuk bangunan di sana," jelas Cat.

Bulan madu Cat-Shahar ke Puncak Gunung Jerai ditaja oleh The Regency Gunung Jerai Resort dan pasangan ini turut memilih Pangkor Laut Resort sebagai destinasi madu mereka.

"Kami akan kedua-dua tempat ini dalam masa yang terdekat kerana nak sesuaikan dengan jadual suami Cat yang padat sekarang ini," katanya.

Cat juga memberitahu suami dan semua ahli keluarganya begitu gembira dengan berita ini dan tidak sabar-sabar menunggu hari kelahiran bayi Cat.

"Suami Cat orang pertama yang tahu, dia gembira sangat-sangat. Family Cat pun semua gembira, mak Cat, auntie, sepupu-sepupu dan Uncle Cat semua 'excited' dengan berita gembira ini.

Majlis akad nikah pasangan suami isteri ini telah berlangsung pada 26 Jun yang lalu di kediaman keluarga Cat di Guchil Bayam, Kota Bharu, Kelantan.

Manakala majlis resepsi perkahwinan mereka telah diadakan di Bora Ombak, Ampang pada 11 Julai lalu.

Artikel Lain