suria

Lagu album baru saya tidak tiru muzik Lady Gaga - Sean Kingston

Penyanyi terkenal Sean Kingston ketika membuat sidang akhbar di Hotel Nikko, Kuala Lumpur. foto THE STAR oleh MOHD SAHAR MISNI
Penyanyi terkenal Sean Kingston ketika membuat sidang akhbar di Hotel Nikko, Kuala Lumpur. foto THE STAR oleh MOHD SAHAR MISNI
Penyanyi terkenal Sean Kingston ketika membuat sidang akhbar di Hotel Nikko, Kuala Lumpur. foto THE STAR oleh MOHD SAHAR MISNI

SATU kelebihan Sean Kingston adalah keupayaannya mencipta sebuah genre lagu baru yang agak luar biasa. Adunan genre rap, reggae, pop, ‘doo-wop’ dan penulisan lagu yang menarik menjadi resipi kejayaan penyanyi berbakat besar ini.

Sean Kingston, 19, yang dilahirkan di Miami dan dibesarkan di Jamaica ini merupakan seorang bintang baru yang sedang melonjak naik populartinya.

Dia ialah pelantun lagu hip ‘Beautiful Girls’ yang telah memanjat carta lagu dengan pantas di Amerika Syarikat dan negara lain.

Pada tahun 2007, lagu hit nya itu telah menduduki carta teratas di 'US Billboard Top 100' selama tiga minggu berturut-turut.

Selain itu penyanyi dan rapper ini turut popular dengan lagu ‘Take You There’ dan ‘Me Love’. Lagu-lagu nyanyian Sean mempunyai kelas serta irama tersendiri.

Bagaimanapun sesetengah pendengar muzik Lady Gaga ataupun nama sebenarnya Stefani Joanne Angelina Germanotta mendapati muzik Sean Kingston meniru konsep muzik Lady Gaga.

Ketika mengulas mengenai perkara itu, Sean menyatakan produser yang mencipta lagu beliau dan Lady Gaga adalah orang yang sama.

"Biar saya jelaskan, produser yang menghasilkan lagu saya dan Lady Gaga merupakan orang yang sama.

"Saya tidak tiru muzik siapa-siapa... Sean Kingston akan tetap kekal sebagai Sean Kingston," katanya kepada sidang media di Hotel Nikko sebelum membuat persembahan dalam Shout! Awards semalam.

Sean menyanyikan lagu-lagu hit seperti 'Beautiful Girls', 'Take You There' dan lagu single terbarunya 'Fire Burning' ketika membuat persembahan di Shout! Awards.

Menurut sesetengah peminat muzik yang mengikuti perkembangan muzik Sean, album pertamanya lebih berirama melodi manakala album keduanya adalah lebih cenderung kepada genre 'elektropop'.

"Ada perbezaan antara album pertama saya dan album kedua saya," kata Sean ketika menjawab mengenai perkara itu.

Sean memberitahu, dia akan berduet dengan penyanyi handalan seperti Lil Wayne dan Gwen Stefani dalam album terbarunya yang akan dilancarkan pada 22 September ini.

Mendengar lagu hip 'Beautiful Girls' nyanyian Sean, bait-bait lagunya seperti '... You're way too beautiful girl' mampu 'mencairkan' hati gadis-gadis.

Siapakah kekasih Sean sekarang? "Tiada. Saya tidak berpunya.... kekasih saya sekarang ialah muzik," kata Sean sambil bergelak ketawa.

Selain itu, Sean memberitahu idolanya adalah seorang artis hip-hop dan penulis lirik terkenal, Jay-Z kerana dia sangat mengagumi lirik ciptaan Jay-Z atau nama sebenarnya Shawn Corey Carter.

Untuk mereka yang ingin mengikut jejak langkahnya, Sean menitipkan nasihat berguna. "Sentiasa fokus,jangan tinggi diri dan berusaha mencapai cita-cita anda. .

"Jika semua kriteria itu dipenuhi, maka impian anda (menjadi penyanyi) akan tercapai," ujar Sean yang menyukai peminatnya di negara ini.

Artikel Berikut

Artikel Lain