suria

Jo-Anna: Peluang berduet dengan Jamal bagai bulan jatuh ke riba!

UNTUNG sabut timbul, untung batu tenggelam. Kalau ada untung baik, biar diperoleh baik kerana peluang tidak selalu hadir.

Memiliki seraut wajah yang jelita dan personaliti menawan bagaikan membuka peluang lebih awal untuk penyanyi yang lahir dari Bintang RTM 2009, Jo-Anna Sue.

Belum pun lama menjadi artis baru, Jo-Anna Sue sungguh bertuah mendapat 'lamaran' dari penyanyi hebat Jamal Abdillah untuk beraksi di konsertnya Ogos nanti.

Apapun alasan yang diberi, kenapa dan mengapa Jo-Anna Sue yang dipilih dna bukannya penyanyi lain, itu bukan persoalannya.

Tentu sekali bakat Jo-Anna Sue turut terserlah, seiring dengan wajah jelita.

Ianya satu peluang keemasan beraksi bersama Jamal di Konsert Jamal...Kembara Seniman di Panggung Sari, Istana Budaya, bermula 5 hingga 9 Ogos ini.

Penyanyi baru berusia 20 tahun ini tidak teragak-agak merebut peluang itu.

"Bukan senang untuk mendapat tawaran seperti itu. Lagi pun Abang Jamal merupakan artis veteran yang hebat.

"Saya terus mengambil peluang ini untuk mengambil pengalaman berharga seperti ini. Ternyata peluang ini hadir bagai bulan jatuh ke riba," kata Jo-Anna ketika dihubungi mStar.

28 Jun lalu, Jo-Anna pernah beraksi sebagai salah seorang finalis di pentas Bintang RTM2009 iaitu Stadium Negara bersama Jamal sebagai artis jemputan.

Persembahan vokal dan aksi tarian mantap ditambah keayuan Jo-Anna berjaya mencuri hati para juri untuk menobatkannya Naib sebagai Juara Bintang RTM2009.

Anna turut menggondol Persembahan Terbaik dan Bintang Paling Popular (undian khidmat pesanan ringkas (SMS)) pada malam gilang-gemilang itu.

Menurut Jo-Anna, dia telah mengesahkan penyertaannya akan membawakan tiga buah lagu hebat Jamal.

Katanya, lagu-lagu tersebut ialah 'Seri Langkat' (nyanyian asal, Amelina & Jamal Abdillah),

'Sandarkan Pada Kenangan' (Jamal Abdillah & Siti Sarah) dan 'Kehebatan Cinta' (Jamal Abdillah & Francesca Peter).

"Saya akui lagu 'Seri Langkat' sukar dibawakan kerana ia merupakan lagu asli dan berorientasikan Melayu.

"Bagaimanapun, saya menerima lagu tersebut sebagai satu cabaran untuk menjadi penyanyi serba boleh," kata Jo-Anna yang berbangsa Eurasia (British dan Dusun) dan beragama Kristian.

Bagi Ratu Tadau Keamatan Sabah 2007 dan penyanyi sambilan di Pusat Kebudayaan Negeri Sabah ini, dia cukup meminati artis Faizal Tahir, Celine Dion dan Hetty Koes Endang.

Dengan penampilan wajah jelita ditambah pula dengan suara lunak, tidak mustahil syarikat-syarikat rakaman, agensi modeling dan kecantikan terus-menerus 'melamar' Jo-Anna.

"Setakat ini, syarikat rekod Metadome telah menawarkan kontrak. Namun, saya masih belum menandatangan apa-apa dokumen lagi kerana ibu saya, pengurus dan saya masih mengkaji klausa agar tidak melanggar kontrak pada masa depan.

"Tawaran syarikat Warner Music pula hanyalah dari mulut ke mulut," katanya yang turut menerima tawaran menjadi model iklan 'facial wash' dan modeling semalam.

Walaupun kerjaya seni suaranya mula berkembang, Jo-Anna tidak melupakan pengajian Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Bristol University, United Kingdom (UK) (cawangan Brickfields, Kuala Lumpur).

"Saya ingin masa depan lebih terjamin selain tampil sebagai artis yang berpelajaran tinggi.

Moga-moga, bidang hiburan dan pelajaran saya bergerak seiring," katanya yang berasal dari Kampung Poturidong, Kiulu, Sabah.

Jo-Anna memasang cita-cita menjadi pensyarah vokal pada suatu hari nanti.

Baru-baru ini, dia telah melancarkan kelab penyokong di laman sosial Facebook untuk mendekatkan diri dengan para peminatnya.

"Saya ingin berterima kasih kepada sokongan famili dan penyokong selama ini khususnya pertubuhan BAKISA dan KDCA," kata Jo-Anna.

Artikel Berikut

Artikel Lain