suria

Filem "Kasih" iras-iras "Nang Nak"?

PERKARA pertama yang terlintas ketika menyelusuri jalan cerita filem 'Kasih' terbitan Graphidex Resources Sdn. Bhd. ialah "kesamaannya" dengan filem seram berbaur romantis 'Nang Nak'.

Bagaimanapun, menurut penerbit bersama filem 'Kasih', Muhamad Yusri Mat Yusof, permulaan dan pengakhiran filem 'Kasih' adalah jauh berbeza dengan filem 'Nang Nak'.

"Filem 'Kasih' lebih kepada misteri berbaur romantis dan menggunakan konsep berbeza. Ia menekankan konsep halusinasi sementara filem 'Nang Nak' menggunakan konsep hantu sebenar.

"Terpulang kepada penonton untuk mentafsirkannya," kata Muhamad Yusri ketika ditemui di pejabatnya, Graphidex Resources Sdn. Bhd., Damai Complex, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Filem 'Nang Nak' (1999), arahan Nonzee Nimibutr adalah berdasarkan satu legenda dan ia menceritakan kisah seorang hantu isteri dan suaminya yang tidak menyedari isterinya telah meninggal dunia.

Filem 'Kasih' pula mengisahkan seorang krew kapal, Badrul (lakonan Saiful Redzuan bin Abu Bakar @ Waranja, 31) yang pulang untuk menemui isterinya.

Tanpa disedari Badrul, isterinya, Kasih (Jue Aziz) telah meninggal dunia ekoran diracun bekas kekasihnya, Murad (Azad Jazmin) yang iri hati.

Muhamad Yusri berkata, filem 'Kasih' akan ditayangkan semasa Valentine tahun depan di slot AstroPrima untuk menyemarakkan kisah cinta.

"Perasaan cinta itu haruslah menjadi kuat agar biar kita hidup atau mati, perasaan itu 'masih terasa'," jelasnya.

Untuk filem 'Kasih', Muhamad Yusri memberitahu, pihaknya mengadunkan tenaga pelakon lama dan baru.

Antara gandingan mantap ialah pelakon senior dan jugan penerbit filem, Kak Yong Rahimah membawa watak sebagai ibu Badrul; Elly Sarimah (adik Badrul, Asma) dan Aida Arill (Rozie).

"Pelakon berpengalaman seperti Kak Yong dan Jue Aziz dapat membantu Waranja dan Elly dalam lakonan," kata Muhamad Yusri.

Tambahnya, set penggambaran filem 'Kasih' telah bermula dari 24 Jun hingga 2 Julai lalu.

Katanya, lokasinya adalah di Batu Kurau, Perak. "90 peratusnya penggambaran dilakukan di situ.

Lain-lain kawasan termasuk pelabuhan di Taiping dan Butterworth," kata Muhamad Yusri yang juga sepupu kepada Kak Yong ini.

Pengambaran filem 'Kasih' melibatkan kos RM78,000 sementara penulis skripnya ialah Arman Yadi.

Artikel Berikut

Artikel Lain