suria

Arni hamil dua bulan, mahu berehat dari industri seni

Arni bersama suaminya, Wan Mohd. Hazrie Wan Mokhtar ketika majlis resepsi perkahwinan Catriona Ross dan Shaharuddin Mokhtaruddin. -foto The Star oleh AZHAR MAHFOF
Arni bersama suaminya, Wan Mohd. Hazrie Wan Mokhtar ketika majlis resepsi perkahwinan Catriona Ross dan Shaharuddin Mokhtaruddin. -foto The Star oleh AZHAR MAHFOF
Arni bersama suaminya, Wan Mohd. Hazrie Wan Mokhtar ketika majlis resepsi perkahwinan Catriona Ross dan Shaharuddin Mokhtaruddin. -foto The Star oleh AZHAR MAHFOF

MELIHAT susuk tubuh aktres dan penyanyi Arni Nazira Anuar, 31, nampak semakin 'berisi' dan berseri-seri ditambah pula dengan kehamilannya yang kini mencecah usia dua bulan.

Arni hamil selepas lebih tiga bulan mendirikan rumah tangga dengan Wan Mohd. Hazrie Wan Mokhtar, 32.

Disebabkan faktor hamil dan masih baru membina keluarga bersama suaminya itu, Arni berkata dia telah membuat keputusan menutup buku buat sementara waktu untuk aktif dalam industri seni hiburan tempatan.

“Kini saya sedang hamil dua bulan dan menjalankan kehidupan sepenuhnya bersama keluarga seperti biasa.

“Sebenarnya, buat masa sekarang saya baru nak mulakan kehidupan sebagai seorang isteri selepas hampir tiga tahun bersendiri.

“Lagipun saya fikir hendak menyanyi dan berlakon perlukan banyak komitmen di luar.

“Tawaran berlakon tu memang ada tetapi saya terpaksa tolak dahulu. Nak berehat untuk selama-lamanya tu tak pasti lagi sebab selepas bersalin saya akan ada ‘baby’ dan sekarang pula saya akan menumpukan pada kandungan pula.

“Jadi, selepas anak dah besar sikit mungkin saya akan fikirkan semula sama ada betul-betul hendak berehat terus atau bagaimana bergantung kepada keadaan.

“Ikutkan, suami saya lagi suka saya menjadi suri rumah namun dia juga tidak menghalang saya untuk berlakon. Sejak berkahwin lagi saya sudah fikir untuk berehat,” kata Arni yang buat pertama kalinya tampil di majlis resepsi ketiga perkahwinan sahabatnya, aktres Catriona Ross dengan Shaharuddin Mokhtaruddin.

Dia dan Cat pernah bergandingan sekali menerusi drama ‘Bonda’ yang telah disiarkan di TV9.

Walaupun merindui kerjaya seninya, Arni bercerita dia gemar melepaskan gian menyanyi dengan berkaraoke di rumah.

“Selain rindu hendak menyanyi, saya juga rindu juga untuk berlakon tetapi biarlah dulu,” ujarnya yang kali terakhir berlakon melalui drama ‘Bonda’.

Merungkai tentang perkahwinannya sekarang, Arni berkata hidupnya lebih bermakna ditambah pula harapannya agar semuanya berjalan dengan lancar tanpa ada apa-apa kekhilafan lagi.

“Hidup saya lebih bermakna sekarang disebabkan saya banyak mempelajari dari pengalaman lalu. Jadi, saya harap perkahwinan kali kedua ini berada dalam keadaan baik.

“Walaupun dah lama bersendiri, tetapi saya rasa tidaklah terlalu kekok untuk menjalani kehidupan sebagai seorang isteri.

“Sekarang, saya lebih suka berehat dan menumpukan kehidupan bersama suami dan anak-anak.

“Anak-anak akan datang berjumpa saya pada setiap hujung minggu dan selebihnya mereka akan bersama ayahnya,” kata Arni yang mengidam bayi lelaki pula selepas ini memandangkan dia sudah mempunyai dua orang puteri.

Mereka adalah Puteri Aleeya Antasha Ahmad Azhar, 9 dan Puteri Aleefa Antasha, 3, iaitu anak hasil perkongsian hidupnya dengan ‘rockers’ dan pelakon Awie.

Menurut Arni, selain daripada menguruskan hal ehwal rumah tangganya, dia turut menjalankan bisnes secara kecil-kecilan.

“Saya menjual tudung dan beg tangan secara kecil-kecilan sejak tahun 2001. Saya juga menjadi model tudung yang diasaskan oleh produk kecantikan, ‘Glowbeau’,” ujar Arni yang kelihatan cantik dan ayu bertudung litup.

Arni pernah berkata dia berpenampilan baru dengan mengenakan tudung sejak awal tahun 2008 bagi memenuhi tuntutan agama ke atas setiap wanita Islam.

Bercerita mengenai kandungannya, Arni bersyukur kerana dia tidak mempunyai apa-apa alahan.

“Saya rasa mengandung kali ini tiada beza dengan sebelum ini. Alhamdulillah, saya juga tidak mengalami alahan dan masalah lain,” beritahunya yang selalu berulang-alik dari Kuala Terengganu ke Shah Alam mengikut suaminya yang juga seorang ahli perniagaan

Artikel Berikut

Artikel Lain