suria

Ash (Bau) minta hentikan ‘fitnah’ Dira dipukul

Nama Dira semakin meningkat naik dalam industri seni tempatan.
Nama Dira semakin meningkat naik dalam industri seni tempatan.
Nama Dira semakin meningkat naik dalam industri seni tempatan.

“LEPAS ni jangan cerita yang buruk pasal dia. Kalau boleh tolong hormat perasaan Dira dan anak saya, Anggun,” pesan suami Dira, Ash (Bau) apabila keluar dakwaan dia memukul isterinya itu.

Pelakon yang sedang meningkat naik dalam industri seni tempatan, Dira atau nama sebenarnya Khaidirah Abu Zahar, 25, didakwa mempunyai lebam-lebam di tangan dan kakinya seperti bekas dipukul.

Ditanya kepada Dira mahupun Ash, kedua-duanya menafikan dakwaan itu.

“Cerita saya memukul Dira adalah fitnah! Saya tak pernah jentik dia sekali pun.

“Saya harap cerita ini dihentikan segera kerana bimbang kalau ia menghancurkan rumah tangga kami,” tegas Ash yang geram apabila tuduhan itu dikeluarkan sedangkan mereka sedang bahagia hidup bersama.

Kata Ash, “Saya risau sebab sekarang ini dia sedang naik dalam industri terlalu cepat. Bidang ni banyak orang yang cemburu.

“Secara jujurnya, saya dan dia berada dalam keadaan yang baik.

“Kalau betul saya pukul dia, saya akan mengaku. Takkan saya nak pukul dia suka-suka sahaja. Lagipun, saya pukul kerana dia isteri saya. Saya rasa ia suatu dakwaan yang kelakar kerana saya tahu undang-undang.”

Menurut vokalis band Bau ini, kesan lebam yang berada pada anggota badan isterinya itu disebabkan oleh sifat Dira yang lasak.

“Memang ada kesan lebam tapi itu adalah kerana dia jenis yang lasak dan bukannya seperti perempuan lain.

“Kadangkala, dia ajak saya naik motor yang dipandu olehnya. Itu antara sebab yang saya suka padanya, sebab dia lasak.

“Sebab terlalu lasak, masa mengandung pun dia masih boleh bawa motor dan terjatuh sekali.

“Kadangkala dia seperti sudah biasa terjatuh,” kata Ash atau nama sebenarnya Tengku Shafiz-Rullah As Syafiee Tengku Mohd Shahid, 26.

Masuk tahun ini, perkahwinan mereka sudah berusia dua tahun setengah dan dikurniakan seorang anak perempuan, Tengku Anggun Deandra, 1 tahun setengah.

Tambah Ash, “Saya rasa normal sahaja apabila suami dan isteri bergaduh tetapi apabila orang melihat lebam di tangannya mesti orang ingat saya yang pukul dia.

“Kalau saya ni jenis cemburu buta, takkan saya benarkan dia berlakon. Dia pula yang marahkan saya sebab saya seperti tidak kisahkan apa yang dia lakukan.

“Saya kecewa apabila orang bercakap seperti ini kerana dia mempunyai bakat. Lagipun, maruah keluarga juga perlu dijaga.

“Saya rasa nak menangis pun ada sebab saya sangat sayangkan Anggun. Bagaimana perasaan Anggun kalau dia membaca cerita seperti ini.

“Dira sangat baik dan ‘ok’, anak pun sihat dan makin membesar.

“Kalau saya tahu perkara ini akan berlaku, saya takkan benarkan dia berlakon. Dira masuk dalam bidang seni pun sebab Anggun.

“Saya bangga dengan Dira yang memahami saya,” kata Ash yang begitu merindui Dira kerana belum sempat berjumpa dengan isterinya yang sibuk dengan pengambaran.

Nama Dira semakin menjadi sebutan ramai apabila wajahnya banyak muncul di kaca TV.

Atas peningkatan isterinya itu, Ash sempat menasihatkan Dira supaya menjadi diri-sendiri dan mengetahui batas sebagai seorang isteri dan ibu Anggun.

Dira minta jangan dikontroversikan cerita dipukul

Sementara itu, Dira juga memberikan jawapan yang sama seperti suaminya walaupun mereka ditemubual secara berasingan.

"Tiada isu saya dipukul suami. Saya ni lasak dan kadangkala tiba-tiba sahaja saya tidak tahu bagaimana badan saya terdapat kesan lebam.

"Suami dan saya sendiri tak perasan sebab saya ni jenis seorang yang kelam-kabut.

"Kalau orang tu kenal karektor saya, mungkin dia akan faham sebab badan saya lebam," jawab Dira ketika dalam perjalanan ke Sepang untuk berlakon telefilem Raya, 'Perempuan'.

Bagaimanapun, dia tidak menafikan sukar untuk menelah tentang jodohnya dengan Ash.

"Kami tidak mempunyai masalah. Tetapi saya tak boleh nak cakap tentang jodoh ini kerana ia kerja Tuhan," ulasnya yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain