suria

'Memorial Michael Jackson' bagaikan konsert terakhirnya!

Jennifor Hudson membuat persembahan di upacara memperingati Michael Jackson di Staples Center di Los Angeles, Selasa Julai 7, 2009. - foto AP
Jennifor Hudson membuat persembahan di upacara memperingati Michael Jackson di Staples Center di Los Angeles, Selasa Julai 7, 2009. - foto AP
Jennifor Hudson membuat persembahan di upacara memperingati Michael Jackson di Staples Center di Los Angeles, Selasa Julai 7, 2009. - foto AP

UPACARA memperingati Michael Jackson atau "The Memorial" yang disiarkan dari Staples Center, Los Angeles pagi tadi bagaikan sebuah konsert hebat. Sebagaimana impak idola kesayangan ini semasa hayatnya, begitulah jua yang terjadi setelah dia meninggalkan kita.

Bukan ribuan yang meratapi pemergiannya, malah jutaan peminat di merata dunia bagaikan terpaku melihat upacara pengebumian yang disiarkan secara langsung dari 8TV, MTV dan CNN untuk tatapan kita. Ada mata yang tergenang, ada hati yang tersentuh dan ada yang tidak tenteram kerana jasad Michael Jackson belum lagi bersemadi.

Lupakan sebentar, andaian atau keraguan samada Michael Jackson seorang Islam? Dia hebat kerana hasil kerjanya senantiasa hebat dan bukan disebabkan dia 'sudah memeluk Islam', dia dianggap hebat. Meskipun, waktu siaran 'Memorial Micahel Jackson' disiarkan jam 1 pagi dan tentu sekali tidak sesuai untuk orang yang bekerja. Namun demi lakaran sebuah sejarah seorang bintang pujaan berjuta, ramai yang sanggup bersengkang mata menanti mayatnya diletakkan di Staples Centre untuk tatapan peminat-peminatnya.

Selama 50 tahun hayatnya di muka bumi ini, (1958-2009) Michael Jackson tidak habis-habis mengundang kontroversi. Hinggalah ke saat-saat akhir kematiannya, masih juga berhenti. Banyak persoalan yang masih belum terungkai - penyebab kematiannya, nasab keturunan tiga orang anak-anaknya, angka hutang sebenarnya, kesalahan kes cabul kanak-kanak dan banyak lagi.

Masih yang tertanya-tanya, dadah apa yang meracuninya sekali gus meragut nyawa Michael masih tidak ada jawapan. Mayatnya terpaksa 'disimpan' hingga dua minggu bagi urusan autopsi dan terbaru, Michael akan disemadikan tanpa otak - satu lagi kontroversi tidak terduga.

Apa pun, ikon muzik pop dunia ini telah mencipta sejarah dengan setiap tindak tanduknya - baik ketika hidup mahupun ketika mati.

Upacara penghormatan penyanyi diadakan di Staples Center, sebuah kolosium gah yang pernah digunakan sebagai gelanggang untuk Sukan Olimpik 1984. Ianya bagaikan satu konsert besar dengan kehadiran ramai bintang-bintang ternama seperti mariah Carey, Lionel Ritchie, Steview Wonders, Brooke Shields dan ramai lagi.

Bagi kawan selebriti yang tidak mampu menahan rasa sedih seperti Quincy Jones dan Elizabeth Taylor, awal-awal lagi sudah menarik diri.

Seramai 11,000 peminat Jackson yang berjaya mendapatkan tiket daripada 1.6 juta datang dengan penuh takzim, menyertai upacara yang dihadiri ribuan orang itu. Di luar, beribu peminatnya bagai diserang histeria, tidak mampu membendung perasaan sedih.

Hingga kini, tempat di mana Michael akan disemadikan masih menjadi tanda tanya sejak beberapa hari lalu. Walaupun telah menetapkan tempat mayat Jacko disemadikan, keluarga Jackson masih berteka teki.

Mula-mula, heboh dikatakan tempat perkuburan Jackson akan dilakukan di ladang mewahnya di Neverland Ranch tetapi ditolak kerana masalah undang-undang. Kemudian, ianya berubah ke tanah perkuburan Forest Lawn Memorial-Parks & Mortuaries di Hollywood. Fakta sebenar masih tidak sahih.

Jika kita pernah membuat andaian, kematian Raja Rock N' Roll, Elvis Presley pada tahun 1977 ketika berusia 42 tahun tidak ada pengganti, kini tidak lagi.

Hanya Michael Jackson saja mampu mencetuskan kegilaan yang setara dengan Elvis dan mungkin lebih lagi. Bekas penyanyi Jackson 5 ini cukup hebat impaknya. Dia berjaya menyatukan pelbagai bangsa dengan lagunya. Dengan penampilan dan personaliti unik dan tersendiri, Michael cukup disanjungi dan sayangi.

Kehebatan Jackson bukan sahaja pada suaranya atau gerak tarinya yang seakan tidak bersendi itu. Mungkin cerita kontroversi banyak membantunya menjadi perhatian media. Jackson adalah artis yang cukup dedikasi, komited dan mempunyai azam yang cukup tinggi. Setiap apa yang dikerjakan mampu memberi kepuasan kepada peminatnya.

Banyak elemen-elemen baru seperti 'Moonwalk', video Thriller, Bad, Black or White meninggalkan kesan yang bukan sedikit kepada peminatnya.

Dan tiada yang lebih mengujakan Michael selain beraksi untuk konsert 'This Is It' 50 siri yang dijadual berlangsung di London mulai 13 Julai ini. Dia nekad memberi persembahan terbaik untuk peminatnya setelah sekian lama. Namun, niatnya tidak kesampaian. Michael rebah kerana masalah jantung yang dihadapinya di saat-saat akhir dia menghadapi tekanan untuk membuat konsert di London.

Kenapa dan mengapa peminat Michael Jackson terus histeria, baik semasa menonton persembahan, mahupun setelah ketiadaannya? Kerja keras, kesungguhan, dedikasi dan keikhlasannya melahirkan satu-satu idea persembahan akan membuat kita sebak jika kita melihat video persembahannya.

Hidupnya di pentas dan matinya juga begitu juga membuat kita sungguh terasa. Michael akan terus dikenang dan muziknya akan hidup di hati peminatnya yang terdiri dari semua golongan kerana tidak mungkin lagi ADA bintang sehebatnya selepas ini!

Artikel Lain