suria

Marion belum berani berlakon kerana takut dikritik

Marion Caunter. -foto MSTAR oleh AU YEONG HOW
Marion Caunter. -foto MSTAR oleh AU YEONG HOW
Marion Caunter. -foto MSTAR oleh AU YEONG HOW

JELITAWAN Marion Caunter sudah merasa asam garam industri hiburan tujuh lamanya. Jangka masa yang begitu lama masih belum membuat Marion berdetik untuk menjadi pelakon.

Bukan saja hos program realiti ini asyik terikat dengan mengacara program berbentuk hiburan, Marion kini berada dalam dilema.

Marion mengaku dia kini berada di dalam situasi "tarik tali" antara mahu dan tidak berlakon.

"Mampukah saya berlakon?... Saya pun takut juga. Apa yang para penonton akan melihat saya nanti. Bila saya berlakon horrible (teruk), tolong jangan mengkritik saya.

"Ikhlas saya takut pada kritikan. Bagaimana jika saya memberanikan diri untuk mencuba? Lagi pun belum cuba belum tahu," kata Marion sejujurnya.

Marion yang juga pengacara bersama One In A Million (OIAM) untuk ketiga-tiga musim terdahulu ditemui pada selepas sidang akhbar Shout Awards di Hotel Nikko, semalam.

Dalam sidang akhbar itu, Ketua Pegawai Eksekutif 8TV, Ahmad Izham Omar memperkenalkan piala Shout Awards yang menjadi rebutan artis-artis pada 17 Julai ini.

Marion dicalonkan bagi kategori Favourite TV Host, Stylo Award (Most Stylish Awards) dan Hot Chick Award dalam Shout Awards.

Berbekalkan keazaman tinggi Marion yang tidak pernah luntur, tiada laut terlalu luas untuk dilayari dan tidak gunung terlalu tinggi untuk didaki.

Tutur katanya yang lembut tetapi tegas jelas menyerlahkan semangatnya berkobar-kobar untuk menjadi selebriti versatil.

Sebagai 'budak mentah' dalam bidang lakonan, menurut Marion, dia tidak bersifat memilih tetapi akan merebut sebarang peluang berlakon yang hadir di depan matanya.

Jelitawan ini tidak mengendahkan sama ada filem tersebut adalah indie, dia menjadi wanita jahat mahupun terlibat dalam aksi mencabar.

"Saya sangat mentah (dalam bidang lakonan)...apa-apa pun bagus. Saya tidak ingin sentiasa berada dalam zon selesa. Saya sanggup buat lakonan jika jalan ceritanya menarik," ujarnya yang mula dikenali kerana pernah mengacara 8TV Quickie, rancangan interaktif harian di 8TV.

Bagaimanapun, Marion mengakui dia kurang berkeyakinan bertutur sepenuhnya dalam Bahasa Melayu dalam filem. Katanya, dia lebih fasih bertutur bahasa Inggeris.

Terbaru, anak kelahiran Pulau Pinang ini akan mengacarakan pertunjukan realiti (reality show) "Contender Asia", bersama Stephan Fox, Penyelaras Antarabangsa dan Naib Presiden Sedunia Muay Thai Co.

Contender Asia ialah program realiti Muay Thai bernilai USD7 juta yang akan difilemkan dan dihasilkan di Malaysia dari Julai hingga Ogos ini.

"Saya satu-satunya wanita dalam program ini dan saya akan berinteraksi dengan pelatih dan peninju Muay Thai dari seluruh dunia," kata Marion penuh bangga.

Walaupun empunya diri tidak tahu seni mempertahankan diri, Muay Thai tersebut, Marion menggahkan dirinya untuk menghos program Contender Asia.

Nampaknya bagi Marion yang berhati waja, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Jangan terperanjat jika Marion bakal berlakon suatu hari nanti.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain