suria

Reema: 'Kebodohan' membuat saya tidak ada masa bercinta dan masih membujang!

Reema Khan dilabel sebagai "Aishwarya Rai" dari Pakistan. - foto THE STAR oleh AZLINA ABDULLAH
Reema Khan dilabel sebagai
Reema Khan dilabel sebagai "Aishwarya Rai" dari Pakistan. - foto THE STAR oleh AZLINA ABDULLAH

TIADA yang lebih menggembirakan hati seorang perawan jelita apabila menerima lamaran demi lamaran. Meskipun usia bakal mencecah 30, aktres, pengarah dan produser terkenal, Reema Khan dari Pakistan sungguh bertuah kerana dilahirkan dengan paras wajah yang cukup jelita hingga hampir sempurna dipandang mata.

Sekilas pandang, kulit Reema yang mulus, kelopak mata berlapis serta matanya yang bundar dan hidungnya yang mancung membuat ramai mata akan terpesona. Asyik sungguh melihat wajah jelitawan ini.

Mungkin sebab itulah dia mendapat jolokan 'Aishwarya Rai' oleh media-media Pakistan dan India.

Dan tidak ada apa yang memeranjatkan apabila paras si jelita Reema ini puas dirisik, dilamar dan pintu hatinya "diketuk" bertalu-talu oleh pria tampan dan hartawan dari negara asalnya dan juga India.

Reema pula, tanpa berselindung tidak menolak kemungkinan akan mempertimbangkan lamaran yang 'paling sesuai' dan berhasrat untuk mendirikan rumahtangga pada tahun depan.

Dalam satu temuramah di Menara Star semalam, Reema mengakui dia betul-betul bertuah kerana menerima lamaran demi lamaran perkahwinan.

"Ia datang bukan sahaja dari negara saya saja bahkan negara lain. Tetapi disebabkan 'kebodohan' saya yang tidak mempunyai masa untuk bercinta, saya masih membujang," katanya sambil tersenyum tersipu-sipu.

Reema berada di Malaysia sejak Mei lalu untuk menyiapkan filem arahan keduanya 'Kitni Haseen Hai Zindagi' (Life Is So Beautiful).

Dalam filem tersebut, Reema yang juga aktres, pengarah dan produser memegang watak utama wanita yang bernama Zindagi. Carian Google menunjukkan dia mempunyai lebih 200 filem dan mendapat pencalonan pelbagai anugerah di bawah namanya.

Menurut Reema, dia memahami desakan dan pujukan neneknya yang berusia 84 tahun juga harapan kedua-dua ibu bapa agar membina mahligai kehidupan secepat mungkin kerana faktor biologi tidak menunggu wanita yang seusia dengannya.

"Mereka memberi tekanan serius sekarang. Umur saya telah menginjak 29 tahun. Oleh kerana tekanan mereka, saya benar-benar akan memikirkan soal perkahwinan selepas 'release' filem ini, 'Kitni Haseen Hai Zindagi' (Life Is So Beautiful)," katanya.

Wajah sebenar Reema yang dilahirkan di Multan, Pakistan pada 30 September 1980 tampak jauh lebih muda dari usianya yang sebenar. Silap-silap teka, orang akan menjangka umurnya baru 24 atau 25 tahun.

Untuk mendapat jejaka idaman hatinya, Reema menginginkan seorang lelaki yang berpelajaran tinggi dan baik budi.

"Saya tidak boleh berkompromi dalam soal ini. Dia mesti baik bukan sahaja dari penampilan luarnya malah dari dalaman juga.

"Baik hati.. itu saja. Dia sepatutnya baik hati. Tidak pemarah orangnya," katanya secara ikhlas.

Ditanya sama ada lelaki bertuah itu perlu sekacak Salman Khan atau Shah Rukh Khan, Reema menyoal balik wartawan ini 'Perlu kelihatan kacak?' lalu berkata, "Tabiat baik lebih penting daripada kecantikan luaran."

Kata Reema, "Tidak perlu (kacak). Saya bukan seperti gadis-gadis lain. Tetapi saya mempunyai prioriti penting dan itulah sebabnya saya bekerja dalam profesion yang begitu sukar ini.

"Jika tidak, saya tidak akan sanggup berpanas, 'membakar' kulit saya untuk mengarahkan dan berlakon filem," katanya yang merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik.

Sambil mengulas lanjut secara berfalsafah, Reema menekankan setiap insan tidak akan menongkat dunia dan hidup selama-lamanya.

"Hidup ini begitu singkat. Saya cuba membuat sesuatu yang istimewa menerusi kerja-kerja saya. Jika boleh, saya berharap orang lain akan menyimpan nama saya dalam hati dan minda.

"Mereka datang dari mana...dari negara manapun, saya harap mereka menyayangi dan mengingati saya melalui hasil kerja baik dan perwatakan baik saya," jelas Reema penuh berhemah.

Meskipun hidup Reema dikelilingi selebriti dan who's who, Reema mengakui dia bukan seorang yang bossy (tunjuk lagak).

Reema membuktikannya di lokasi penggambaran filem 'Kitni Haseen Hai Zindagi' (Life Is So Beautiful) apabila dia berkata, dia duduk di lantai bersama krewnya menikmati makanan tempatan.

"Semua kru akan merindui saya nanti...," katanya yang akan pulang ke Pakistan sebelum membuat promosi filem itu di India bulan depan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain