suria

Buih-Buih Cinta pamer Lisda makan hati dengan Fauzi

Lisdawati melakonkan watak Soraya dan Lolly dalam filem pendek Buih-Buih Cinta. -foto Utusan
Lisdawati melakonkan watak Soraya dan Lolly dalam filem pendek Buih-Buih Cinta. -foto Utusan
Lisdawati melakonkan watak Soraya dan Lolly dalam filem pendek Buih-Buih Cinta. -foto Utusan

SELEPAS dua kali berlakon sebagai pasangan suami isteri, kali ini pelakon Fauzi Nawawi dan isteri, aktres Lisdawati bergandingan sekali lagi dalam filem pendek 'Buih-Buih Cinta'.

Filem ini merupakan sebuah filem romantik tentang hubungan suami isteri dalam masyarakat Melayu masa kini yang diinspirasikan daripada cerita yang dihantar oleh wanita Malaysia dalam peraduan Mandi Susu Johnson's Baby Milk Bath 'Suami & Si Manja Semakin Sayang'.

Filem ini memaparkan dua cerita yang diinspirasikan daripada dua pemenang peraduan iaitu Ezna Ahmad Khalili, 33, dan Jamakyah Ahmad.

Dalam filem arahan pengarah terkenal Osman Ali ini, Lisda menjadi seorang isteri, Soraya yang terpaksa makan hati dengan kerenah suami, Sidek (Fauzi Nawawi) dalam beberapa tahun selepas berkahwin.

Sidek yang masih terkenangkan kekasih lamanya, Mila selalu bersikap dingin dengan Soraya meskipun mereka telah mempunyai seorang anak lakonan Puteri Qiestina Nisrien Ahmad Nadzri, 20 bulan.

Soraya berasal dari kampung dan selepas berkahwin dengan Sidek, mereka menetap di Kuala Lumpur.

Dalam melayari kesunyian, Soraya telah berkawan dengan jirannya, Diana (Vanidah Imran) yang terlibat dalam bidang fesyen dan produk kesihatan.

Lisda turut memainkan peranan sebagai Lolly yang juga adalah Soraya.

Demi menggembirakan Sidek, Soraya mengikut cakap Diana dengan menggantikan baju kurungnya yang longgar dan menukarnya dengan pakaian trend terkini iaitu rambut palsu dan mekap sehingga dia tampak jauh berbeza.

Walaupun bukan berdasarkan pengalaman sendiri, Lisda berjaya menjiwai watak Soraya sekaligus watak Lolly dengan baik.

Menurut Lisda, dia banyak berbincang dengan pengarah untuk menjiwai watak itu dengan meletakkan dirinya di tempat Soraya.

"Selain saya berkongsi idea dengan pengarah, saya juga membuat 'homework' sendiri.

"Apabila mendapat dua watak iaitu Soraya dan Lolly, saya rasa menarik dan mencabar sebab pertukaran watak terlalu 'obvious'," kata Lisda semasa pra-tonton filem itu di Sheraton Imperial baru-baru ini.

Menurut Lisda, ini merupakan kali pertama dia mendapat watak 'gila-gila' selepas lapan tahun menceburi dunia lakonan.

"Saya agak takut dengan watak Lolly sebab tak pernah lakonkan sebelum ini.

"Sebelum ni, saya selalu bawa watak kampung. Jadi, selepas ini saya nak lari dari bawa watak itu selepas memberikan kelainan kali ini dengan watak Lolly.

"Saya tak akan lepaskan peluang untuk membawakan watak seperti ini lagi," ujar Lisda.

Tambahnya, dia selalu melihat karektor yang ada dalam diri pengacara Sarimah Ibrahim seperti yang digambarkan oleh Osman Ali.

"Saya kena buat tiga kali 'over' daripada Sarimah dan fikir macam 'putus wayar' walaupun malu.

"Tetapi saya cuba tutup perasaan malu tu seperti buat-buat 'cover' rambut.

"Abang Osman juga memudahkan kerja saya dengan mengajar saya supaya tidak terlalu ikut dengan dialog. Misalnya saya membuat dialog 'nama saya Lolly dan bukan troli'.

"Saya juga mengambil contoh lakonan Ellie Suriati dalam filem Soal Hati," ceritanya yang mengaku hubungannya dengan Fauzi masih baik sehingga sekarang sekaligus menidakkan gosip mengatakan rumahtangga mereka berantakan.

Jelasnya, dia dan suaminya yang pernah menjuarai Sehati Berdansa musim ke-2 selalu mengelakkan perselisihan faham dan jika ada masalah pun berkaitan dengan kerja.

Lantas dia percaya pada rezeki dan lakukan kerja dengan ikhlas.

"Setiap orang dalam rumahtangga ada rezeki masing-masing dan saya hanya berdiam dan sabar dengan mainan dunia," akhirinya.

Saksikan lakonan Lisda dan Fauzi Nawawi dalam filem pendek Buih-Buih Cinta yang akan disiarkan di TV3 nanti!

Artikel Lain