suria

Selebriti popular warnai Konsert Inspirasi TV3!

Antara barisan artis dan personaliti TV3 yang akan mewarnai 'Inspirasi TV3'. -foto mStar oleh SITI AZIRA
Antara barisan artis dan personaliti TV3 yang akan mewarnai 'Inspirasi TV3'. -foto mStar oleh SITI AZIRA
Antara barisan artis dan personaliti TV3 yang akan mewarnai 'Inspirasi TV3'. -foto mStar oleh SITI AZIRA

KEHADIRAN bulan Jun sentiasa dinantikan oleh Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) dengan menyediakan aktiviti istimewa setiap kali menyambut ulang tahun penubuhannya.

Apatah lagi untuk tahun 2009 yang melakarkan catatan sejarah buat TV3 kerana terus unggul sebagai stesen nombor satu Negara dan berdiri teguh selama 25 tahun.

Pelbagai agenda disusun sepanjang tahun untuk meraikan sambutan jubli perak dan untuk bulan bersejarah ini, TV3 menganjurkan ‘Inspirasi TV3’ yang menggabungkan mini karnival dan konsert mega dijadualkan berlangsung di Dataran Merdeka pada Sabtu, 20 Jun ini.

Bersesuaian dengan tagline ulang tahun iaitu ‘Inspirasi TV3’, pelbagai aktiviti riadah, informasi dan hiburan dianjurkan bermula jam 2 petang diikuti dengan konsert mega yang disiarkan secara langsung selama dua jam bermula dari jam 9 malam dari tapak Dataran Merdeka.

Konsert yang diacarakan oleh Ally Iskandar, Cheryl Samad dan Faizal Ismail itu akan diwarnai oleh penyanyi-penyanyi tersohor seperti Jamal Abdillah, M. Nasir, Faizal Tahir, Jaclyn Victor, Adibah Noor, Noryn Aziz, Aizat, Tomok, Wings, Estranged, Hujan, dan penyanyi undangan dari seberang, Afgan.

Antara aktiviti-aktiviti yang turut diadakan adalah penjualan barangan istimewa 25 tahun TV3, My TV3 Samurai Shogun, Gusti Tangan Bionik, Masak Bersama Chef Jo, pertandingan pakaian beragam ibu dan anak, cabaran Ewah Ewah @ My TV3, sukan rakyat, pendaftaran ahli MyTV3 dan persembahan kebudayaan pelbagai kaum di gerai-gerai TV3, dan padang.

Objektif Inspirasi TV3 dianjurkan untuk meraikan penonton-penonton TV3 sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan yang mereka berikan selama ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan, “Sejak tertubuhnya TV3 bermula 1 Jun 1984, pelbagai suka duka dan pahit manis yang dikongsi bersama-sama dengan penonton setia kami yang masih percaya dengan keupayaan kami untuk menyediakan program-program yang berkualiti melalui saluran berita kami dan juga program-program berbentuk ilmiah, informasi, dokumentari dan hiburan.

“Justeru pihak kami menjadikan bulan Jun sebagai acara tahunan untuk meraikan ulang tahun ini dengan menyajikan pelbagai program menarik dan turun padang untuk mendekati penonton.

“Begitu juga dengan sambutan jubli perak ini, Inspirasi TV3 merupakan penghargaan terhadap penonton dengan menyediakan mini karnival dan konsert sesuai dengan citarasa dan keinginan penonton.

“Lebih istimewa lagi, TV3 mengajak orang ramai untuk mengimbas kembali perjalanan stesen dari mula bersiaran hingga kini dengan mempersembahkan tayangan istimewa audio visual sedutan program-program yang menjadi nostalgia selama 25 tahun.

“Semestinya tayangan audio visual ini akan mengimbau kembali peristiwa suka duka dan program-program yang masih terpahat di sanubari warga kerja TV3 da juga penonton setia TV3 yang mengikuti perkembangan stesen ini selama 25 tahun.”

Sempena meraikan Konsert Inspirasi, Hotlink selaku penaja utama konsert ini menawarkan cabutan bertuah berupa telefon mudah alih Sony Ericsson W910i untuk mereka yang menambah nilai RM60 atau pun mendaftar mana-mana pelan pasca-bayar Maxis.

Dua pas ke Zon Hotlink juga diberikan kepada pelanggan Hotlink yang menambah nilai RM10 serta memuat turun satu Nada Dering (CRT).

Setiap pelanggan setia Hotlink pula boleh mendapatkan satu baucer Kentucky Fried Chicken (KFC) bernilai RM5 dengan menebus nilai 200 mata ganjaran melalui Hotlink Rewards (satu baucer untuk setiap pelanggan).

Artikel Lain