suria

Marsha Londoh tidak sanggup 'dimadukan'?

SEJAK pembabitannya dalam Akademi Fantasia (AF) 3 sehingga hari ini, Marsha Lea Milan Londoh tidak pernah lekang dilanda gosip demi gosip.

Bermula dengan kisah percintaannya dengan bintang AF3, Kefli yang tidak kesampaian sehinggalah dikaitkan sebagai punca pemenang kedua AF7, Aril tersingkir pada konsert minggu ketujuh.

Ketika pasca parti Anugerah Industri Muzik (AIM16) baru-baru ini, selebriti berasal dari Tamparuli, Sabah itu pula dikhabarkan tergedik-gedik menari bersama dengan rakan artis yang lain.

Kenapa agaknya Marsha sering dilabel sebagai penggoda lelaki?

"Itulah... kadang-kala, saya pun tak faham juga kenapa orang label saya begitu. Bukan label, tetapi kaitkan saya dengan sifat-sifat penggoda.

"Saya cuma gadis biasa. Tak tahulah nak cakap macam mana. Itu adalah tafsiran orang luar. Saya okey, je," akui Marsha sejujurnya sambil menidakkan sifat penggoda sebati dengan jiwanya.

Marsha bagaimanapun berkata, dia sememangnya seorang yang sangat mesra kawan.

"Jika disalahtafsirkan... jadi, saya tak boleh buat apa-apa," katanya ketika ditemui pada majlis doa selamat filem 4 Madu dan bacaan skrip oleh artis-artisnya di pejabat LineClear Motion Pictures, Shah Alam, Jumaat lalu.

Filem bergenre komedi tersebut diarahkan oleh Profesor Madya A. Razak Mohaideen dan ia diterbitkan oleh LineClear Motion Pictures, Grand Brilliance dan Berjaya Film.

Set penggambaran bermula Ahad lalu (7 Jun 2009) dan dijangka ditayangkan pada suku pertama tahun depan.

Marsha akan berlakon sebagai Zarra iaitu isteri keempat watak Azlan yang dipegang oleh Saiful Apek.

Diajukan persoalan kenapa apabila dia dimasukkan dalam AF7 jadi isu lain pula, jawab Marsha, itu sebenarnya "permainan" Astro.

"Tujuan saya masuk AF adalah kerana saya rindu saat-saat masuk AF dan saya ingin menjadi sebahagian daripada famili AF ini.

"Selain itu saya masuk AF mungkin kerana saya boleh belajar lagi sedikit AF.... apa yang mungkin saya dah lupa sebelum ini.

Sekurang-kurangnya, saya boleh belajar kembali apa-apa yang diajar di AF dan berkawan dengan peserta-peserta AF7," jelasnya.

Dengan nada kesal, Marsha berkata: "Tapi, mungkin dalam diari, orang tak nampak perkara itu...kan?"

Mungkinkah itu penglibatan Marsha sebagai salah satu strategi untuk mempromosikan AF yang telah mencapai musim ketujuh?

Kata Marsha: Saya pun kurang pasti apa yang Astro yang mahu saya lakukan. Setahu saya, saya berada di situ kerana mereka nak "hype" diari.

"Ini kerana diari itu adalah apa-apa yang anda lihat sepanjang musim AF. Mereka nak buat benda lain daripada yang lain. Pendek kata, satu transformasi untuk AF," katanya.

Menyentuh tentang wataknya sebagai salah seorang "madu" dalam filem tersebut, Marsha berkata, dia perlu banyak membuat research (penyelidikan) dalam filem itu.

Masakan tidak, katanya, dia belum pun pernah berkahwin dan tidak tahu situasinya macam mana.

"Tetapi, semestinya, saya akan baca dan kaji skrip tersebut untuk tengok apa yang saya boleh buat untuk watak Zarra ini," katanya.

Setahu Marsha, watak Zarra yang dilakonkan itu mula-mula lembut sekali. Apabila menyedari dirinya kena "reject" di pengakhiran cerita, Zarra menjadi agresif.

"Membawa dua jenis karakter itu nampak senang, tetapi susah sebenarnya. Ini kerana bukan mudah untuk membawa karakter yang ada dua identiti seperti Zarra. Tingkah lakunya boleh bertukar-tukar," katanya.

Apa yang mendorongnya untuk menerima tawaran lakonan tersebut, jelas Marsha adalah pengarah filem itu, Profesor Madya A. Razak Mohaideen.

"Saya memang menghormati Profesor sebab sebelum ini, saya pun pernah menonton filem-filem yang pernah dia arahkan.

"I want to be part of his films (Saya ingin menjadi sebahagian daripada filemnya). Pun begitu, kerana pertama kali bekerja dengannya, memang saya berasa bimbang dan takut macam mana jenis orangnya," katanya.

Dalam realiti kehidupan sebenar, sanggupkah Marsha menjadi madu seperti Zarra?

Marsha secara berseloroh menjawab, "Siapalah nak dimadukan? Kalau boleh, tak nak. Kalau ditakdirkan, tak boleh cakap apa-apalah."

Apa yang pasti, mimik muka jelitawan itu telah menjelaskan segala-galanya - dia enggan berkongsi suami dengan wanita lain.

Dalam perkembangan lain, Marsha memberitahu, dia baru habis membuat single yang dikomposerkan oleh Edrie dari KLU dan dijangka "on air' pada bulan depan sekali dengan klip video.

Katanya, selepas mengeluarkan single, dia akan mengeluarkan album pada penghujung tahun ini.

"Sekarang ini, album itu telah siap sebanyak 60 hingga 70 peratus," katanya.

Artikel Lain