suria

Petua Maya Karin hadapi kegawatan hiburan

KEGAWATAN ekonomi global mutakhir ini tidak seharusnya menghambat industri hiburan daripada terus menghasilkan filem dan album muzik yang terbaik.

Begitulah harapan Maya Karin Roelcke. Seboleh-bolehnya, bagi selebriti serba boleh ini, produser-produser hasil seni boleh selektif dalam pemilihan produk keluaran mereka.

"Jangan-janganlah sampai tahun ini, terdapat 35 filem atau album di pasaran. Tahun depan, cuma terdapat lima filem atau album.

"Saya faham situasi yang mereka hadapi. Saya berharap produser-produser boleh selektif mengeluarkan hasil produk mereka," katanya.

Maya ditemui selepas sidang akhbar The Shout! Awards di Hotel Grand Millennium, baru-baru ini.

Jelitawan ini dicalonkan dalam kategori Stylo Award (Most Stylish Award) bersama Dynaz Mokhtar, Faizal Tahir, Marion Caunter dan Sazzy Falak.

Akui Maya, tempias kegawatan turut dirasainya. Ini kerana katanya, dia sendiri pernah ditawarkan beberapa peluang lakonan.

Pun begitu, katanya, tawaran itu tidak lebih daripada omong-omong kosong dan tiada apa-apa yang berlaku selepas perbincangan awal.

"Setakat ini, saya sudah menerima empat tawaran sedemikian iaitu ditawarkan peluang berlakon tetapi akhirnya tidak menjadi," katanya yang juga Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Asia Pasifik ke-49 di Fukuoka, Jepun pada 2004.

Selain itu, anugerah tertinggi yang diperoleh menerusi pembabitan Maya dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam ialah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Seram dan Fantasi Estepona di Malaga, Sepanyol pada 2005.

Bagaimanapun, ini tidak menghalang usaha Maya untuk mengeluarkan album ketiganya yang bakal ke pasaran.

"Ia mempunyai lapan hingga 10 lagu dengan muzik yang dikonsepsualkan," kata duta produk kecantikan L’Oreal Paris ini.

Album-album terdahulu Maya ialah Erti Cinta 2001 dan Bukan Qalamaya 2004. Kedua-duanya adalah keluaran MIG Records.

Dalam perkembangan lain, Maya yang juga Duta Alam Sekitar Malaysia akan berlepas ke Australia untuk menghadiri seminar kepanasan global.

Ditanya mengenai respons rakyat negara ini terhadap usaha pelestarian alam sekitarnya, katanya, mereka rata-ratanya memberikan sokongan padu.

"Tiada sesiapa yang berkata `No' terhadap usaha pemuliharaan alam sekitar di Bukit Jalil dan Genting Highlands baru-baru ini," katanya.

Maya memberitahu, dia menyetujui usaha pelbagai pihak melantik selebriti sebagai duta penjagaan alam sekitar dengan bersyaratkan ia dibuat atas keikhlasan.

Artikel Berikut

Artikel Lain