suria

Dynaz ambil langkah sederap demi sederap

SELEPAS berpantang selama 44 hari ekoran keguguran bayi tersayangnya, Emma Malissa; selebriti terkenal Wan Intan Edrinaz Wan Mokhtar berasa tidak sabar-sabar untuk tampil di khalayak ramai dan layar perak.

Buat pertama kalinya, aktres jelita yang lebih dikenali sebagai Dynaz ini muncul di sidang media pengumuman finalis The Shout! Awards di Hotel Grand Millennium, baru-baru ini.

Pelakon filem Impak Maksima itu dicalonkan bagi kategori Stylo Award (Anugerah Paling Bergaya).

"Saya sudah bosan tinggal di rumah menonton DVD dan melayari Internet. Bayangkan semasa tempoh berpantang, saya "terkurung" di rumah ibu, adik-beradik, dan rumah sendiri selama 44 hari," katanya.

Dalam masa yang sama, Dynaz berkata, dia sedang menjalani penggambaran untuk drama Kala Hati yang bakal disiarkan di slot Samarinda, TV3.

Dynaz memberitahu, dia mula terlibat dalam set penggambaran drama Kala Hati yang diarahkan oleh Haris itu pada minggu lalu.

Katanya, dia memegang watak Puteri Serena iaitu anak seorang tokoh korporat yang dikongkong kebebasannya termasuk dalam mencari kekasih hatinya.

"Drama tersebut berkisar kepada soal korporat, cinta, wang, Datuk atau Tan Sri. Cincin yang dipakaikan di jari pun saya tidak tahu pemberinya," katanya sambil menambah Adiputra berlakon sebagai watak utama lelaki.

Walaupun gembira dapat bekerja semula, Dynaz akui, Dynaz sekarang dan dulu telah jauh berbeza.

Menurut pelakon berusia 28 tahun ini, dia meniti hari-hari mendatang dengan "melangkah sederap demi sederap pada sesuatu masa".

"Jika dulu, saya mungkin berlakon dalam dua atau tiga filem atau drama pada sesuatu masa, saya mengambil langkah perlahan sekarang.

"Saya kini lebih banyak menghabiskan masa menemui ahli-ahli keluarga dan "yam cha (minum)" dengan kawan-kawan. Saya juga berlakon dalam satu filem atau drama pada sesuatu masa," katanya.

Ditanya sama ada keguguran bayi masih menghantuinya, Dynaz ketika dihubungi berkata, dia telah melewati fasa "trauma" tersebut.

Katanya, dia lebih tenang menghadapi cabaran kerjaya sekarang dengan bersandarkan sokongan suami tersayang dan ahli-ahli keluarga.

Bagaimana pula dengan hasratnya menimang cahaya mata? Dynaz mengakui, sekarang bukan masanya.

"Mungkin pada tahun hadapan. Insya-Allah," katanya.

Bercakap mengenai peluangnya untuk memenangi Stylo Award pada 17 Julai ini pula, Dynaz berkata, dia sudah bersyukur dicalonkan dan menyifatkan pencalonan itu sebagai suatu kemenangan peribadi.

"Objektif utama adalah untuk "to give the elbow, jab and enjoy the show (memeriahkan lagi pertandingan tersebut)"," katanya.

Dynaz dalam pada itu berkata, dia ingin berterima kasih kepada para peminatnya yang terus-menerus memberikan sokongan kepadanya selama ini.

"Saya terasa ingin menemui mereka dan berterima kasih kepada mereka. Saya masih teringat lagi saya terkejut dengan kemenangan pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian baru-baru ini walaupun tidak dapat menghadirinya.

"Mungkin satu hari nanti, saya dapat mengadakan satu perjumpaan dengan para peminat saya," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain