suria

"Janganlah boikot saya" - Rosyam Nor

"JANGANLAH boikot saya," demikian reaksi Pengarah Urusan, Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. Rosyam Nor ketika diminta mengulas perkhabaran rakyat Sarawak untuk memboikot PILIH KASIH.

PILIH KASIH ialah program realiti mencari pelapis pelakon yang diilhamkan oleh Pelakon TV Lelaki Popular selama tujuh tahun berturut-turut sejak 1997 itu.

Rakyat Sarawak terutamanya anak muda di situ mengambil langkah drastik tersebut selepas impian bergelar pelakon berkecai ekoran tindakan Rosyam membatalkan sesi uji bakat di Bumi Kenyalang.

Menurut Rosyam, 20 finalis, peminat dan para penonton bukan sahaja datang dari satu semenanjung Malaysia tetapi Sabah dan Sarawak.

"Kalau nak boikot, saya minta maaf. Saya memang tidak ada niat, tetapi sesi uji bakat di Shah Alam (kurang seminggu sebelum sesi uji bakat berakhir), datang lebih 2,000 orang. Bagaimana nak menguji mereka dalam satu hari?.

"Inilah kali pertama saya membuat realiti show. Mungkin terdapat banyak kepincangan di sana-sini, tetapi bagilah saya peluang. Saya berjanji jika ada rezeki mengadakannya musim kedua, saya akan pergi ke Bumi Kenyalang.

"Saya berharap rakyat Sarawak memahami situasi saya dan terus memberikan sokongan padu kerana seorang finalis juga berasal dari Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pengumuman pengklasifikasian 20 finalis tersebut kepada dua kumpulan, iaitu A dan B. Pengklasifikasian peserta mengikut kumpulan adalah dibuat mengikut undian.

Kumpulan A terdiri daripada U. Haizah, Ana Dahlia, Wanina Zaki, Nabila Dally, Sofian Bujang, Ray Redzuan, Aris Yamin, Iqbal Mazlan, Emelie Hanif dan Aman Shahroni.

Mereka akan berlakon dalam drama berjudul Mangsa arahan Along Kamaludin.

Kumpulan B dianggotai Diwan Nawi, Zara Suriana, Khafie, Indera Hafiz, Bea Rameshan, Zulin Aziz, Fiona Benard, Shania, Reza Hasbi dan Ahdan.

Pengarah, Amie Maziah akan mengepalai mereka untuk membintangi drama Pemburu.

TENAGA PRODUKSI

Antara tenaga produksi yang terlibat dalam PILIH KASIH ialah Rosyam Nor sebagai penerbit, Julia Juhasu (penerbit eksekutif) dan Haizan Onn (penerbit penyelaras).

Sementara pengarah kumpulan A: Along Kamaludin (Mangsa) dan pengarah Kumpulan B sebagai Amie Maziah (Pemburu).

Pengurus produksi pula ialah aktres Didie Alias.

Dalam satu sidang akhbar sejurus sesi pengumuman itu selesai, Along Kamaludin dan Amie Maziah didekati untuk menyelami penglibatan 20 finalis dalam dua drama hebat tersebut.

Soalan (S): Adakah pemberian watak-watak kepada mereka sesuai dengan keupayaan mereka?

Along Kamaludin (AK): Kita sememangnya memberikan watak yang sesuai dengan mereka dengan kemampuan dan bakat mereka. Sebagai pengarah, kami memang telah tahu bakat mereka.

Jangan lupa kami turut menguji mereka dari segi drama, teater dan monolog. Oleh itu, penilaian adalah komprehensif.

Amie Maziah (AM): Selain itu, kami menilai apa-apa yang tidak ada diajar (dalam kelas) seperti riak wajah (expression) mereka ketika menghadapi pelbagai situasi nanti.

S: Adakah skrip cerita kumpulan A dan B mempunyai kaitan antara satu sama lain?

AK: Tidak ada kesinambungan.

AM: Kita akan lihat bagaimana menggabungkan dua cerita tersebut di suatu tahap perkembangan jalan cerita lagi.

S: Sesetengah finalis pernah berlakon dan mempelajari bidang lakonan di universiti. Apakah ini memberikan kelebihan kepada mereka?

AM: Kita tidak tahu tahap lakonan mereka sebenarnya. Kita menganggap mereka memiliki pengetahuan asas. Oleh itu, mereka tidak boleh terlalu yakin dan perlu menganggap mereka 'zero balik'.

AK: Saya tidak lihat ia memberikan apa-apa kelebihan kerana mereka membawakan peranan yang berbeza-beza. Masing-masing mempunyai kekuatan sendiri.

S: Apakah cabaran paling besar kepada pengarah?

AM: Jika finalis yang disingkirkan itu memegang watak utama di Kumpulan A ataupun B, penulis skrip kena menulis semula jalan cerita malam itu juga.

AK: Ini bermakna cabaran hadir dari episod pertama lagi. Alhamdulillah... Rohani Yusoff dan tenaga pengajar lain ada memberikan latihan lakonan, teater dan pementasan. Pengarah `masuk' (melibatkan diri) dalam aspek drama.

S: Kenapa skrip drama bergenrekan thriller?

AK: Perbincangan telahpun diadakan dengan keseluruhan produksi. Kita tidak ingin ia stereotaip dengan drama sekarang. Lagipun jika peserta boleh harungi cabaran ini, tidak jadi masalah kepada mereka kelak.

AM: Kita hendak lari daripada skrip kebiasaan. Ia adalah idea Rosyam sebenarnya agar ia menguji kekuatan mental dan fizikal pelakon baru itu nanti. Contohnya, dalam set penggambaran di hutan lipur, tidak ada masa untuk bercantik.

AK: Mereka masuk ke hutan dua hari, tetapi kenapa untuk lakonan 10 minit sahaja?

AM: Mereka perlu bekerja keras untuk menonjolkan diri ketika penggambaran dijalankan di hutan hipur di Alam Sendayu, Gombak.

Dalam set penggambaran 10 minit untuk setiap kumpulan, setiap finalis hanya mempunyai 45 saat untuk meninggalkan impression mendalam kepada penonton untuk mengundinya.

S: Jika seseorang finalis itu diberikan watak jahat ataupun dibenci, bukankah ia akan membuatkan penonton membencinya lalu tidak mengundinya?

AK: Watak-watak tersebut adalah mencuit hati dan para penonton tidak akan membencinya.

S: Tadi, Rosyam ada memberitahu, terdapat seorang dua finalis hampir ingin mengundurkan diri daripada program realiti ini.

S: Adakah mereka yakin terhadap kemampuan mereka?

AM: Tekanan itu memang ada. Apabila kita mengenali mereka, baru kita tahu mereka ada kisah hidup masing-masing. Bagaimanapun, tidak boleh selongkar kisah hidup mereka sepenuhnya.

AK: Sebelum ini, saya tidak faham kenapa peserta program realiti sebegini menangis apabila disingkirkan. Sekarang, saya dapat memahami perasaan mereka selepas mengendalikan finalis PILIK KASIH ini.

S: Bagaimana anda melihat kesungguhan finalis tersebut?

AK: Saya sememangnya memuji kesungguhan mereka. Misalnya, terdapat finalis yang sanggup memanjangkan semester pengajiannya di universiti semata-mata untuk melibatkan diri dan berhenti kerja.

AM: Kebanyakan mereka masih belajar lagi.

Artikel Berikut

Artikel Lain