suria

Edrie jadi pengarah muzik selepas puas mengkritik

Edrie kini bergelar pengarah muzik Oo..La..La selepas menjadi pengkritik AF7. -foto The Star oleh AZMAN GHANI
Edrie kini bergelar pengarah muzik Oo..La..La selepas menjadi pengkritik AF7. -foto The Star oleh AZMAN GHANI
Edrie kini bergelar pengarah muzik Oo..La..La selepas menjadi pengkritik AF7. -foto The Star oleh AZMAN GHANI

REZEKINYA dalam industri muzik ini boleh dikatakan tidak putus-putus sejak akhir-akhir ini.

Baru sahaja selesai bergelar pengkritik Akademi Fantasia (AF) musim ke-7, komposer dan pemuzik Edrie Hashim menerima pula tugasan baru iaitu sebagai pengarah muzik program realiti Oo La La yang sedang disiarkan oleh TV9.

Jika diikutkan pengalaman Edrie, dia sudah biasa memimpin mana-mana konsert dan persembahan sekaligus bertindak sebagai pengarah muzik.

Namun untuk mengkritik dalam program realiti, ia merupakan pengalaman pertama Edrie.

Bercerita mengenai pengalamannya menjadi pengkritik, Edrie berkata dia menggunakan platform itu untuk memberi ideologi kepada orang Malaysia.

"Saya terima tawaran untuk mengkritik dalam program ini kerana ada point-point yang saya tak puas hati dalam industri.

"Ada perkara yang saya boleh bagi dan ada juga point-point yang saya dapat lepaskan dan berjaya.

“Saya juga menerima tawaran jadi pengkritik sebab ada isu yang nak disampaikan dan saya pastikan boleh bercakap point yang saya tak puas hati,” ujarnya mengenai pengalaman barunya itu.

Walaupun AF7 telah melabuhkan tirainya, Edrie berkata dia ada berhubung dengan pihak penerbit program itu.

“Selepas program itu selesai, saya sudah tidak berhubung dengan bekas pelajar AF7 tetapi dengan produser mereka saya ada 'keep in touch’".

“Seperti yang saya katakan dalam program itu, saya ada merancang untuk bekerjasama dengan dua atau tiga orang antara mereka. Tapi tidka boleh bagi tau sekarang.

“Sekarang saya sibuk menjadi pengarah muzik Oo..La..La pada setiap Sabtu, pukul 9.30 malam di TV9,” kata Edrie.

Tambah Edrie, dia juga baru selesai menerbitkan album terbaru Hattan, Inderawala yang dijangka akan muncul di pasaran sebelum hujung bulan ini.

“Saya bertindak sebagai penerbit dan komposer dalam album Hattan. Album itu hanya mempunyai lima buah lagu. Saya telah mencipta empat buah lagu antaranya Kalam, Terbang dan Cinta Pertama manakala Hattan hanya menggubah sebuah lagu iaitu Tangisan Si Kecil Ini.

“Saya mengambil masa selama sebulan untuk menerbitkan album itu,” ulasnya.

Album Radio Rosak 2009 dan Teruja 2009 dijual secara eksklusif

Jika kebanyakan album sesetengah artis banyak dijual secara terbuka di pasaran, Edrie mengambil langkah sebaliknya iaitu untuk menjual album itu secara eksklusif di Gloria Jean’s Coffees.

“Kami telah mencetak kira-kira 3,000 unit album Radio Rosak 2009 telah berada di 15 outlet Gloria Jean’s Coffees di seluruh Malaysia dengan harga RM29.90.

“Album ini memuatkan 16 buah lagu kompilasi yang disertai oleh lapan artis indie seperti OAG, Radhi OAG, Orban, Projek Pistol, Zip Ziller, Stereo Sakit, Platue Happiness dan Chilli.

“Selain dijual di kafe itu, album ini turut dipromosikan di Konsert Radio Rosak yang sedang berlangsung sekarang di seluruh Malaysia,” tambahnya.

Mengulas mengenai Konsert Radio Rosak 2009, Edrie berkata konsert itu merupakan projek ‘Nationwide Tour’ yang bermula sejak 25 April lalu yang berlokasi di Johor Bahru.

Tiket konsert ini boleh didapati secara online iaitu di neogendang.com atau myspace/tikusrockcommunity dengan harga RM18 atau turut dijual pada hari show dengan harga RM25.

“Konsert ini memilih sebanyak 10 buah lokasi termasuk Melaka, Pulau Pinang, Ipoh, Kuala Terengganu.

“Alhamdulillah, konsert pertama kami di JB telah berjaya mengumpul hampir 10,000 penonton,” ulasnya yang turut bergelar gitaris band Projek Pistol.

Antara lagu yang dimuatkan dalam album itu adalah lagu Merdeka (OAG), Infiniti (Radhi OAG), Hasrat (Platue of Happiness) dan Hingga Hujung Nyawa (Projek Pistol).

Sementara itu, album Teruja yang merupakan projek istimewa antara dia dan Gloria Jean’s Coffees itu juga hanya dijual di kafe itu.

Menurut Edrie, Gloria Jean’s Coffees merupakan antara penaja yang menyokong Konsert Radio Rosak 2009.

“Saya menampilkan ramai artis solo dalam album ini seperti Nabila yang menyanyikan lagu X-Ray, Amy Search (Songo) dan Kat Mentor (Chiki).

“Saya menerbitkan album ini kerana lagu-lagu single mereka belum terdapat dalam mana-mana album dan ramai peminat yang bertanya tentang bagaimana hendak mendapatkan lagu-lagu itu,” beritahunya mengenai album yang dijual pada harga RM29.90 itu.

Artikel Berikut

Artikel Lain