suria

Suami bantu Siti realisasi produk kecantikan

Siti akan menghasilkan album berbentuk kerohanian pada bulan puasa nanti. -foto mStar oleh SITI AZIRA
Siti akan menghasilkan album berbentuk kerohanian pada bulan puasa nanti. -foto mStar oleh SITI AZIRA
Siti akan menghasilkan album berbentuk kerohanian pada bulan puasa nanti. -foto mStar oleh SITI AZIRA

BELUM pun album Lentera Timur mencapai sasaran jualan 100,000 unit, penyanyi Datuk Siti Nurhaliza bakal tampil dengan album terbaru bercorak kerohanian pada bulan puasa tahun ini.

Siti pernah berkata yang dia berkeinginan untuk melihat album Lentera Timur terjual sebanyak 100,000 unit dalam tempoh enam bulan.

Siti menambah dia akur jika album itu tidak berjaya mencapai sasarannya dengan menambah: “Namun, saya faham dengan keadaan ekonomi sekarang ini. Kalau dapat jual dalam 50,000 unit pun, Alhamdulillah. Tetapi kalau dapat 100,000 unit, ia merupakan kejayaan yang membanggakan.”

Dimaklumkan baru-baru ini, album itu telah terjual lebih daripada 40,000 unit.

Ditambah pula dengan kemenangan Lentera Timur sebagai album terbaik dalam Anugerah Industri Muzik ke-16, kejayaan tersebut secara automatik akan mengulang cetak album itu untuk dijual di pasaran.

Menurut pengurus Siti, Rozi Abd. Razak,lebih 2,000 unit album itu telah diulang cetak mengikut permintaan dan tempahan yang dibuat dalam pasaran.

Berbalik kepada album terbaru Siti ini, album yang belum diberikan judul itu merupakan album pertamanya yang memuatkan keseluruhan lagu berbentuk kerohanian dan ketuhanan seperti yang diimpikannya sebelum ini.

“Insya-Allah, jika tiada aral saya akan mula sibuk dengan pembikinan album kerohanian ini selepas selesai Konsert Eksklusif ‘SATU’ di Istana Budaya nanti.

“Setakat ini, saya sudah mempunyai beberapa buah lagu yang akan turut dimuatkan dalam album itu seperti tiga buah lagu termasuk lagu Asmaulhusna yang saya persembahkan dalam Muzikal Teater Sirah Junjungan dan dua buah lagu runut bunyi filem Perempuan Berkalong Sorban iaitu Batasku Asaku serta Ketika Cinta.

“Insya-Allah, saya akan siapkan dan terbitkan album itu sebelum akhir tahun ini,” kata Siti semasa pelancaran Konsert Eksklusif ‘SATU’ di Istana Budaya baru-baru ini.

Konsert ini dijangka akan diadakan pada 26 hingga 28 Jun ini di panggung sari, Istana Budaya dengan tiket berharga antara RM80 hingga RM300.

Mengenai album kerohanian tadi, Siti akan memnuatkan dalam lapan buah lagu di mana salah sebuah lagu akan turut menampilkan artis naungan Suria Records (SRC).

“Biasanya, masa bulan puasa kita selalunya dihidangkan dengan lagu-lagu Raya tetapi kerohanian,” tambah Siti yang turut dalam proses mengeluarkan produk kecantikan dan penjagaan kulit.

Menurut Siti, kini dia sedang membuat penyelidikan (R&D) tentang produk yang dijangka akan dikeluarkan dalam tahun ini.

“Kalau tak dapat tahun ini, kita akan cuba keluarkan pada tahun depan. Setakat ini, saya telah melalui 60 hingga 70 peratus proses R&D sebelum menghasilkan produk yang lebih kepada penjagaan kulit dan kosmetik.

“Saya akan cuba hasilkan produk untuk digunakan oleh wanita dan lelaki.

“Usaha ini turut melibatkan kerjasama dengan pihak lain tetapi syarikat suami Siti tetap merupakan pengeluar utama produk ini,” ujar pelantun lagu Di Taman Teman ini.

Tambah Siti, setakat ini produk yang belum diberikan nama itu juga merupakan salah satu impian yang cuba direalisasikan olehnya sebelum ini.

“Saya memang sukakan kecantikan dan alat solek kerana kalau pergi membeli-belah, saya akan cari tempat menjual produk kecantikan terlebih dahulu.

“Jika dibandingkan dengan harga produk kecantikan yang berada di pasaran sekarang, saya akan tetapkan harga yang berpatutan untuk golongan pertengahan supaya semua peminat saya boleh memilikinya,” ulas Siti.

Siti berkata dia akan mencuba terlebih dahulu produk itu sebelum dipasarkan nanti agar pengguna dapat melihat hasilnya.

“Saya sedang mencuba produk yang mengandungi bahan mengikut kesesuaian kulit saya. Jadi, lihatlah kesannya nanti,” akhiri Siti sambil tersenyum.

Artikel Sebelum

Simon Cowell Mr Nasty?

Artikel Berikut

Artikel Lain