suria

Peningkatan 45 peratus undian teruskan legasi AF

Lima finalis AF7 selepas tamat graduasi di Stadium Putra, Bukit Jalil pada Sabtu lalu. -foto The Star oleh MOHD. FAIHAN
Lima finalis AF7 selepas tamat graduasi di Stadium Putra, Bukit Jalil pada Sabtu lalu. -foto The Star oleh MOHD. FAIHAN
Lima finalis AF7 selepas tamat graduasi di Stadium Putra, Bukit Jalil pada Sabtu lalu. -foto The Star oleh MOHD. FAIHAN

PROGRAM realiti popular, Akademi Fantasia (AF) dijangka akan meneruskan legasinya ke musim ke-8 selepas peratus undian menunjukkan peningkatan 45 peratus berbanding musim lalu.

Keputusan itu disahkan oleh Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd., Zainir Aminullah sejurus selepas berakhirnya Konsert Akhir AF7 di Stadium Putra, Bukit Jalil pada Sabtu lalu.

“Sebanyak 45 peratus undian yang meningkat daripada musim yang lalu. Undian itu termasuk undian AF masuk.

“Namun, ia tidak setinggi undian yang dikutip semasa Konsert Akhir AF2. Kita melihat trend peningkatan ini bermula dari AF3, AF4, AF5 dan AF6,” katanya.

Tambah Zainir, fenomena ini merupakan suatu perkara yang dibangga sekaligus membantu dari segi promosi.

“Peningkatan ini juga seolah-olah memberi petunjuk yang kuat untuk kami membuat AF8,” ulasnya.

Ketika menyaksikan Konsert Akhir AF7 baru-baru ini, penulis merasakan persembahan peserta nampak hambar sekaligus membuatkan ia kelihatan membosankan akibat pemilihan lagu yang salah oleh tenaga produksi.

Jelas Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul, semua lagu yang diberikan kepada pelajar merupakan tugasan dan cabaran yang perlu dipikul.

“Kami melihat setiap pelajar mempunyai genre mereka tersendiri. Kita berikan lagu agar mereka jadikan seperti nyanyian mereka sendiri.

“Ia terpulang kepada mereka. Saya lihat ada yang berjaya dan tidak berjaya melaksanakan tugasan mereka dengan baik.

“Mereka gayakan dengan lebih elok dan mendapatkan ilham yang lebih sesuai dengan mereka.

“Ini merupakan satu cubaan dan cabaran untuk membezakan antara juara dengan finalis lain,” katanya.

Khairul Mizan turut berkata, semua lagu sedia ada yang dinyanyikan oleh peserta dipilih mengikut lagu yang mendapat tempat di hati pendengar-pendengar.

“Kami memilih lagu-lagu yang sedia ada ini berdasarkan senarai lagu-lagu hits tempatan oleh Era FM.

“Itu merupakan cabaran untuk mereka menunjukkan apakah perbezaan yang ditonjolkan dalam persembahan masing-masing,” ujarnya.

AF7 kali ini menekankan tagline 'satu transformasi akan berlaku' yang sentiasa menjadi sebutan ramai sehingga ada yang tertanya-tanya apakah transformasi yang ditonjolkan sehingga ke konsert terakhir ini.

Menurut Zainir, menurutnya, AF masih relevan dan objektif untuk mencapai transformasi itu telah tercapai.

“AF7 masih mengikut tema transformasi yang ditekankan oleh tenaga produksi,” beritahu Zainir.

Dalam pada itu, Pengetua AF7, Datin Seri Tiara Jacquelina mengakui antara lima orang finalis yang berjaya ke peringkat akhir konsert itu yang menunjukkan transformasi paling besar adalah Akim atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad, 18.

“Dari ‘underdog’ hingga berjaya ke peringkat final dan paling hebat adalah Akim. Dia paling banyak belajar dari satu minggu ke satu minggu.

“Isma pula berubah daripada seorang wanita yang nampak sebagai isteri orang tetapi kini menjadi agak ‘hot’.

“Yazid pula bertukar daripada gemuruh dan gagap boleh ‘pukul’ AC Mizal ketika dalam konsert.

“Aril dan Hafiz pula sudah nampak potensi mereka dan banyak berubah dari tahap ‘good’ kepada ‘great’,” tutur Tiara yang dikenali sebagai Prinsipal TJ dikalangan para pelajarnya.

Walaupun dinobatkan sebagai peserta yang mengalami banyak transformasi, Akim hanya berjaya menempatkan dirinya di tempat ke-3.

Hafiz berjaya melayakkan dirinya menyandang gelaran juara, diikuti dengan Aril sebagai naib juara, Yazid di tempat ke-4 manakala Isma berada di tempat ke-5.

Semua peserta berjaya membawa pulang hadiah masing-masing termasuk wang tunai dan trofi sumbangan Astro melainkan Isma yang hanya mendapat trofi semata-mata.

Adakah ia adil kepada Isma atau nama sebenarnya Ismaliza Ismail, 30, untuk pulang dengan tangan kosong tanpa hadiah wang tunai?

“Hadiah wang tunai cuma hadiah saguhati. Peluang untuk meraih wang tunai lebih banyak pada masa akan datang.

“Bagi saya, wang tunai tidak menjadi sebab utama mereka memasuki pertandingan ini dan tiada masalah kepada diri masing-masing,” kata Zainir.

Menjawab persoalan itu dan berusaha memberi penerangan kepada hal itu, Isma mengiyakan apa yang diperkatakan oleh Zainir.

“Wang tunai tidak menjadi ukuran. AF merupakan suatu platform yang dirasakan cukup bangga walaupun saya mendapat tempat ke-5. Saya akan berusaha keras selepas ini,” janji Isma.

Sebelum mengakhiri sidang media tersebut, Khairul Mizan sempat meuar-uarkan tentang program ‘Menuju Puncak’ iaitu program realiti yang menceritakan tentang perjalanan Hafiz sebagai juara AF7 yang bakal muncul di kaca TV dalam masa dua minggu lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain