suria

Pemburu hantu kesan paranormal secara saintifik

PEMBURU HANTU... (dari kiri) Iskandar Ishak, Anis Azman dan Hairi Shahrizal Mustafa.
PEMBURU HANTU... (dari kiri) Iskandar Ishak, Anis Azman dan Hairi Shahrizal Mustafa.
PEMBURU HANTU... (dari kiri) Iskandar Ishak, Anis Azman dan Hairi Shahrizal Mustafa.

DOKUMENTARI drama berbentuk eksplorasi fenomena entiti paranormal, "Pemburu Hantu" bukan sahaja hebat dari segi isi kandungannya bahkan tiga watak pemburu hantunya.

Drama terbitan FM Production itu ditayangkan pada setiap hari Khamis malam, jam 11 malam, eksklusif di Astro RIA (saluran 104). Ia mempunyai 13 episod.

Tiga watak dengan tiga jenis personaliti berbeza. Seorang adalah berani dan tidak beralah, seorang pula adalah ego dan gemar menjelajah; dan seorang lagi penakut dan pemalu tetapi bekerjasama dalam menjalankan kajian luar biasa mereka.

Pemburu hantu tersebut ialah Penerbit Kanan dokumentarinya, Hairi Shahrizal Mustafa dan dua pengacaranya, Anis Azman dan Iskandar Ishak.

Mereka mengeksplorasi kejadian-kejadian sains metafizik yang berlaku di sekeliling kita semua. Mereka akan membuat penyiasatan di lokasi-lokasi yang disyaki berhantu.

LOKASI-LOKASI DISYAKI

Di antara tempat-tempat yang dikunjungi oleh krew-krew Pemburu Hantu ialah tempat pembunuhan ADUN Batu Talam 1993, Allahyarham Datuk Mazlan Idris yang dibunuh kejam oleh pengamal sihir Mona Fendi.

Selain itu, mereka menjelajah ke kawasan yang dipercayai tumpuan hantu pontianak di Bukit Antarabangsa dan tempat tinggal hospital Lela Ratos di Jalan Pudu yang dipercayai didiami oleh entiti paranormal.

Mereka turut berkunjung ke kawasan perkuburan di Sungai Buloh yang dipercayai tempat mangsa-mangsa tragedi 13 Mei 1969 ditanam.

KAEDAH SAINTIFIK MENGESAN ENTITI PARANORMAL

Mereka cuba mengesan kehadiran hantu dengan kemudahan komputer dan gajet berteknologi tinggi serta rakaman audio dan video serta kamera litar tertutup.

Antaranya, kamera litar tertutup, night-vision, hidrometer, pengesan haba dan pengesan pergerakan.

Gajet-gajet ini mampu untuk mengaktifkan gelombang elektromagnet yang berupaya mengesan kehadiran dan kewujudan aktiviti entiti paranormal dengan menggunakan kaedah saintifik dan metafizik.

Hasil kajian atau pemerhatian mereka akan dianalisa, dibincangkan dan disimpulkan di dalam makmal mereka untuk mengetahui kejadian sebenar.

Hasil siasatan agak sukar untuk disangkal kerana mereka menjalankan siasatan secara saintifik.

PEMBURUAN HANTU SATU SERVIS PERCUMA

Dalam satu Majlis Pelancaran Program Pemburu Hantu di Scream Park, Sunway Lagoon, Petaling Jaya semalam, Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul berkata: "Ia adalah satu servis percuma kepada penonton kami.

"Mereka boleh membuat aduan kepada pemburu hutan. Kami akan menganalisa lokasi tertentu jikalau ada aktiviti-aktiviti paranormal.

"Tujuan utama adalah untuk memberikan jawapan setelah membuat analisis terperinci. Kru Pemburu Hutan akan memberikan fakta-fakta dan terpulang kepada pengadu untuk membuat langkah susulan. Misalnya, mendapatkan bantuan ustaz," katanya.

Khairul Mizan memberitahu, Astro Ria terpanggil untuk menayangkan sebuah dokumentari drama bagi mengeksploitasikan kejadian-kejadian sains metafizik yang berlaku di sekeliling kita pada setiap hari.

Katanya, ini kerana pihaknya percaya para penonton memerlukan variasi dalam tontonan mereka pada setiap minggu.

"Saya rasa ia tidak kurang bezanya dengan rancangan televisyen lain (di dalam dan luar negara), tetapi perspektif drama ini agak saintifik," ujarnya.

Sementara itu, Khairul Mizan berharap, para penonton yang pernah berdepan dengan aktiviti paranormal boleh mengemukakan aduan mereka.

"Lebih banyak aduan, lagi seronok rancangan ini," katanya sambil menambah ia bukannya `ghostbuster' (tangkap hantu) dan bersyukur kru-kru pemburu hantu belum dirasuk hantu setakat ini.

PENGALAMAN NGERI...

Anis

"Alat-alat pengesan pergerakan dan haba tiba-tiba berbunyi. Saya melihat ke atas siling dan terperanjat suatu lembaga putih berterbangan dengan pantas.

"Saya pun lari keluar dari rumah," katanya ketika menjalankan penyiasatan di sebuah rumah usang berdekatan hutan di Kuala Pilah.

"Saya tidak menyedari apa-apa tetapi terasa panas secara tiba-tiba. Pada masa yang sama, Iskandar memberikan isyarat terdapat lembaga di sebelah saya," katanya ketika pulang ke rumah selepas satu sesi penggambaran.

Iskandar

"Saya tidak mandi dan terus tidur dalam bilik dengan alat pendingin hawa dibuka. ... Tiba-tiba saya berasa panas. Di pintu, satu lembaga macam pontianak, berbentuk langsir dan bertopi terapung.

"Aku tak ganggu kau, kau jangan ganggu saya. Tolong keluar sekarang," katanya sambil menambah, dia tidak mengamalkan apa-apa petua pantang ketika menjalankan tugas memburu hantu.

Bagi Iskandar, pengamalan petua-petua sedemikian hanya menggagalkan operasinya.

Menurutnya, dia tercengang sebentar dan tidak dapat tidur lena sepanjang malam itu.

"Keesokan harinya, saya blur," katanya.

Hairi

"Lokasinya di Kuala Pilah, kamera tidak dapat capture... tapi naluri hati memberitahu, entiti paranormal wujud di kawasan kubur," katanya yang mempunyai pengalaman selama lima tahun dalam bidang paranormal.

Katanya lagi, dia tidak memakai tangkal atau apa-apa untuk mengelakkan bertembung dengan entiti paranormal tersebut.

Artikel Lain