suria

Penjual nasi lemak wakili Malaysia ke Hollywood

Putri Mardiana terpilih bagi kategori lakonan dalam World Championships Of Performing Arts (WCPA), Hollywood, Los Angeles, Amerika Syarikat. -foto mStar oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ
Putri Mardiana terpilih bagi kategori lakonan dalam World Championships Of Performing Arts (WCPA), Hollywood, Los Angeles, Amerika Syarikat. -foto mStar oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ
Putri Mardiana terpilih bagi kategori lakonan dalam World Championships Of Performing Arts (WCPA), Hollywood, Los Angeles, Amerika Syarikat. -foto mStar oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ

LAKONANNYA bermula daripada ‘zero’, tetapi berkat minat yang mendalam Putri Mardiana Zainal Abidin, 28, melangkah jua dalam bidang ini setelah menyertai pertandingan 'Worldstars Road To Hollywood 2009'.

Dengan lakonan yang mengisahkan tentang wanita tidak jadi berkahwin hanya kerana pasangannya menyintai lelaki lain, ibu kepada tiga orang anak ini berjaya melayakkan diri ke World Championships Of Performing Arts (WCPA), Hollywood, Los Angeles, Amerika Syarikat.

Penyertaan Malaysia di WCPA merupakan acara tahunan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KPKKW) mulai tahun 2009 seperti yang telah dipersetujui dan telah mendapat kelulusan Jemaah Menteri pada 8 Disember 2008.

KPKKW adalah penyelaras utama bagi penyertaan Malaysia di WCPA, Hollywood, Los Angeles, Amerika Syarikat yang akan berlangsung dari 11 hingga 19 Julai ini.

Syarikat All Stars Performing Arts (M) Sdn. Bhd. yang telah dilantik sebagai agen eksklusif WCPA di Malaysia bekerjasama dengan KPKKW bagi menyelaraskan penyertaan Malaysia untuk menyertai WCPA 2009 di Hollywood, Los Angeles, Amerika Syarikat.

Sebanyak lima kategori yang dipertandingkan iaitu vokal, lakonan, peragaan, muzik dan tarian.

Putri Mardiana buat pertama kalinya terpilih dalam kategori lakonan selepas Malaysia tidak mempunyai wakilnya pada tahun lepas.

“Alhamdulillah, saya berbangga apabila diberi kepercayaan oleh Hans Isaac dan Samantha Schubert untuk harumkan nama negara dalam bidang lakonan.

“Saya juga berbangga apabila diberi kepercayaan oleh juri untuk membawa nama Malaysia di dunia,” luah ibu kepada Alia Wirdani, 6, Amir Firman, 4, dan Airill Zuhair, 3.

Ditanya tentang pendapat suaminya, Shahnaz, 31, tentang peryertaannya dalam bidang ini, Mardiana berkata suaminya sangat menyokong sehingga sanggup berulang-alik menghantarnya ketika menjalani latihan di Finas.

Suaminya bekerja sebagai jurutera mekanikal di Singapura sementara Mardiana pula berniaga nasi lemak secara kecil-kecilan.

“Sebelum ini, saya menjual dalam 30 hingga 40 bungkus nasi lemak di pejabat-pejabat. Kiranya saya menyertai bidang lakonan ini bermula daripada ‘zero’.

“Saya memang tiada pengalaman dalam bidang lakonan teater dan sebagainya. Saya merupakan seorang suri rumah yang mempunyai tiga orang anak.

“Saya dah lama pendamkan hasrat ini. Ikutkan dulu arwah ayah saya hendak menghantar saya belajar ke sekolah perfileman di New York tetapi tak sempat sebab dia meninggal dunia.

“Nampaknya Tuhan berikan rezeki itu sekarang,” kata Mardiana.

Mardiana berharap dengan sokongan yang ada, dia dapat yakinkan diri supaya dapat melakukan yang terbaik untuk mengharumkan nama Malaysia.

“Saya nak teruskan bakat dalam bidang lakonan kerana dah lama saya pendam cita-cita ini,” tekad Mardiana.

Ditanya tentang kelebihan persembahannya berbanding empat peserta lain pada Ahad lalu, Mardiana berkata mungkin terletak pada monolognya.

“Saya rasa mungkin kekuatan monolog saya di mana situasi itu saya hendak berkahwin dengan seorang lelaki ‘gay’.

“Skrip cerita tu memang saya buat sendiri cuma Hans ada tolong betulkan mana yang patut,” akhiri Mardiana.

Artikel Lain