suria

Sarah terharu bapa hadir bagi sokongan

Siti dan Bob berjaya ke 'World Championships of Performing Arts' (WCPA), di Hollywood - foto THE STAR oleh RAYMOND OOI
Siti dan Bob berjaya ke 'World Championships of Performing Arts' (WCPA), di Hollywood - foto THE STAR oleh RAYMOND OOI
Siti dan Bob berjaya ke 'World Championships of Performing Arts' (WCPA), di Hollywood - foto THE STAR oleh RAYMOND OOI

WALAUPUN pernah gagal bergelar jutawan dalam program realiti One In A Million, tidak bermakna penyanyi Siti Sarah Raisudin, 25, gagal selama-lamanya.

Sarah telah berjaya mara ke peringkat akhir 'World Championships of Performing Arts' (WCPA), Hollywood, Los Angeles, Amerika Syarikat.

Pertandingan ini akan berlangsung dari 11 hingga 19 Julai ini.

Sejurus pertandingan itu, peluang bertemu dengan bapa Sarah, Raisuddin Hamzah sempat ditanya tentang reaksinya terhadap keputusan itu.

"Semua yang dia dapat ini hasil daripada latihan dan usahanya. Dia memang layak," kata bapa kepada penyanyi itu, Raisuddin Hamzah yang ditemui sejurus berakhirnya pertandingan akhir bagi pemilihan peserta ke World Championships of Performing Arts di Istana Budaya, semalam.

Dalam pada itu, Sarah yang mengetahui kehadiran dan sokongan bapanya itu berasa terharu dengan kata-kata itu.

"Saya rasa tersentuh dengan apa yang diucapkan. Sungguh seronok," luah Sarah.

Sarah turut menganggap kejayaannya itu atas hasil usaha yang dilakukan selama ini.

"Alhamdulillah, saya anggap ia satu kejayaan untuk semua.

"Walaupun jatuh sakit sehingga kena masuk air pada tiga hari lepas, malam ini (semalam) saya sudah cuba buat yang terbaik," kata Sarah yang memulakan latihan sejak sebulan lalu.

Ditanya tentang saingannya dalam pertandingan ini, Sarah berkata:

"Tujuan kami bersatu. Kami mewakilinya dari pelbagai umur.

"Jadi, saya berasa bangga sekali kerana kami dipilih mengikut juri profesional. Memang hebat," ujarnya yang mendendangkan lagu Respect dan Listen.

Dia juga lebih selesa apabila dapat membincangkan idea persembahan dengan 10 peserta lain.

Sarah juga bercadang untuk membuat persembahan yang menonjolkan budaya Malaysia memandangkan terdapat banyak kategori.

"Memandangkan di sana terdapat 14 kategori untuk vokal, jadi kami akan berbincang dengan juri kerana mereka lebih arif.

"Saya tiada halangan jika boleh mengambil lebih banyak kategori. Misalnya, saya dan Bob boleh ambil kategori duet.

"Kalau boleh saya nak bawa balik pingat sebanyak yang mungkin," tuturnya.

Para peserta untuk kategori vokal diadili oleh juri profesional iaitu Deja Moss dan Syafinaz Selamat.

Selain Sarah, Yusrizan Usop atau Bob, 27, turut terpilih ke peringkat akhir pertandingan itu.

Bob tidak pandang remeh peserta amatur

"Saya tidak menyangka terpilih sama sebab pesaing saya bukannya calang-calang orang. Walaupun saya sendiri merupakan penyanyi profesional tapi saya tak pandang remeh dengan peserta amatur.

"Dari segi persedian, berbeza dari biasa," ujar Bob.

Bob turut meminta maaf apabila dia tidak menyanyikan lagu irama asli seperti yang dijanjikan.

"Pada mulanya memang saya hendak menyanyikan lagu asli tetapi ia dilihat kurang sesuai pula. Jadi saya berharap dapat menyanyikan lagu asli di Hollywood nanti," janji Bob yang mendendangkan lagu My Baby You dan The Prayer.

Dua peserta lagi yang turut berjaya ke peringkat akhir bagi kategori vokal adalah Norhasmidar Ahmad, 23, dan Raja Farah Afzal Raja Ikram.

Keputusan 24 peserta Malaysia terpilih ke World Championships of Performing Arts, Hollywood, Los Angeles:

Kategori vokal- 1) Norhasmidar Ahmad, 2) Siti Sarah Raisuddin, 3) Yusrizan Usop (Bob) dan 4) Raja Farah Afzal Raja Ikram.

Kategori tarian- kumpulan Artistana dari Istana Budaya.

Kategori lakonan- Puteri Mardiana Zainal Abidin.

Kategori muzik- 1) kumpulan Tuku 'Kame' dan 2) Jerry Anak Kamit.

Kategori peragaan- 1) Siti Nurizana Iskandar, 2) Dilla Syahirah Latiff, 3) Wilson Tan Siong Ping dan 4) Ramsheh Singh.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain