suria

Hujan mahu 'slow down', rasa terlalu 'over expose'

DEK kerana para peminat yang digelar 'Raingers' sentiasa memberikan sokongan, band indie Hujan tidak akan dikenali dan berjaya seperti sekarang.

Jika tidak kerana 'Raingers', mereka juga mungkin tidak dapat meraih kemenangan dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-16 baru-baru ini.

"Raingers ibarat nyawa Hujan yang memberi semangat besar kepada kami," begitulah luahan anggota Hujan.

Mereka adalah Mohammed Noh Salleh atau Noh (vokalis), Mohammad Hezry atau AG (gitaris), Hang Dimas (keyboard), Azhar atau Jaja (bass) dan Azham Ahmad Ambobzeela atau Am (dram).

Tambah Dimas, semangat mereka untuk menggubah makin bertambah selepas memenangi dua kategori dalam AIM 16.

Buat julung kalinya, Hujan mendapat anugerah Lagu Rock Terbaik (Bila Aku Sudah Tiada) dan Album Rock Terbaik (Hujan).

"Kami tak boleh terima apabila album kami menang...rasa seperti kejutan budaya..serius, kami tak jangka boleh berada sampai sini.

"Jadi, apabila mendapat anugerah ini, kami rasa ia seperti satu motivasi," luah Noh selaku produser album Hujan.

Hujan telah menewaskan band indie lain yang tidak kurang hebatnya iaitu Estranged dan Butterfingers.

Bagaimanapun Hujan kalah dengan band indie Meet Uncle Hussain (MUH) bagi kategori Artis Baru Terbaik.

"Kami berkawan rapat dan saling menghormati rakan-rakan dari band indie lain.

"Kami memang tak sangka boleh menang sebab ingatkan Butterfingers dan Estranged yang menang," jawab AG.

Dalam AIM 16 itu, Hujan dan MUH turut berkongsi pentas dengan persembahan lagu medley popular masing-masing.

Persembahan kemuncak penuh bertenaga itu berjaya menghiburkan penonton.

"Kami betul-betul bekerja keras untuk jayakan persembahan ini dan gembira dengan respons penonton.

"AIM telah memberikan idea yang bijak untuk menyatukan Hujan dan MUH. "Dari segi muzik pula, kami dan MUH berbincang idea bersama-sama. Ia bagi menunjukkan band indie saling menyokong antara satu sama lain," ulas Dimas.

Menyentuh perancangan Hujan selepas ini, mereka sedang dalam proses pembikinan album kedua.

"Kami akan berkarya sebaik mungkin dan percaya pendengar akan terhibur dengan lagu kami. Namun begitu kami tak boleh nak kawal kehendak mereka.

"Seperti album pertama kami, kelebihannya terletak pada muzik yang mudah dan 'relate' dengan pendengar.

"Demo lagu dah siap dan kami telah memilih 10 buah lagu. Kami akan mulakan rakaman dalam masa terdekat ini," kata Dimas lagi.

Pada 23 Mei ini, Hujan akan menjayakan gig dengan band Slank dari Indonesia di Bukit Jalil.

Janji ubah cara pengurusan

Sejak akhir-akhir ini, Hujan didakwa mengalami masalah komunikasi dan pengurusan.

Ditanya kepada mereka, Hujan akui masalah itu merupakan antara kelemahan mereka.

"Kami sedang betulkan bahagian pengurusan kami. Kami sedar tentang benda tu dan ada juga yang sudah tegur.

"Kami dah buat penyelidikan dan Dimas dah mula ubahsuai pengurusan kami mulai tahun ini serta rancang beberapa perkara.

"Selepas Raya, kami pilih nak 'slow down' kerana terlalu 'over expose' dan dalam masa yang sama nak berehat," kata Noh dan Dimas.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain