suria

Juri OIAM : Nine lebih selesa beraksi dengan bandnya Coco

Nine gagal ke peringkat akhir setelah diumumkan tersingkir Jumaat lalu - foto THE STAR oleh GLENN GUAN
Nine gagal ke peringkat akhir setelah diumumkan tersingkir Jumaat lalu - foto THE STAR oleh GLENN GUAN
Nine gagal ke peringkat akhir setelah diumumkan tersingkir Jumaat lalu - foto THE STAR oleh GLENN GUAN

SEKIRANYA masa pertandingan One In A Million (OIAM) boleh diputarkan kembali, kedua-dua juri tetap program realiti hiburan itu berharapkan Nine boleh beraksi dengan bandnya, Coco.

Ini kerana penyanyi dari Alor Setar itu belum menonjolkan kehebatannya yang sebenar tanpa Coco, menurut perspektif Syafinaz Selamat dan Paul Moss.

Syafinaz ketika mendedahkan hasil `post-mortem'nya pada sidang akhbar berkata, Nine seorang penyanyi yang berpotensi besar dan lebih selesa membuat persembahan dengan band.

"Adalah berbeza sekali persembahan solo dibandingkan dengan persembahan live band. Dengan live band, saya rasa semangatnya (Nine) lebih membara. Untuk beraksi secara solo, dia mungkin berasa kurang selesa.

"Malah, rakan-rakannya dapat membantu dia secara tidak langsung jika dia gagal memberikan yang terbaik," katanya.

Bersependapat dengan Syafinaz, Paul Moss menjelaskan, seorang penyanyi band adalah saling melengkapi dengan ahli-ahli kumpulan muziknya.

Kata Moss, ini bermakna hasil kerjasama mereka dapat menghasilkan suatu pemadanan yang serasi dan oleh itu, memberikan suatu persembahan terbaik.

"Seorang pemuzik, gitaris dan lain-lain adalah sejoli. Sememangnya terdapat perkaitan antara satu sama lain," jelasnya sambil menyifatkan Nine hakikatnya memerlukan bantuan bandnya untuk lebih menyerlah.

Penyanyi band

Apa pula kata Nine? Sebagai penyanyi dalam band, mungkinkah Nine berasa janggal menyanyi solo dalam OIAM sekali gus gagal menonjolkan persembahan terbaik?

"Mungkin jangkaan tersebut betul. dan saya akui ini pengalaman julung-julung kali bertanding menyanyi. Oleh itu, saya `berasa kecil'. Mungkin itu satu faktor. Walaupun dibelenggu perasaan itu, saya bersyukur masih dapat perform," ujar Nine.

Pun begitu, Nine tetap bersyukur kerana berjaya bersaing sehingga menghampiri garisan penamat pertandingan OIAM itu.

"Tidak pernah saya jangka sampai sehingga peringkat Top 4 ini... sebab mula-mula, bila dah sampai Top 18 tak fikir dapat Top 12.

"Minggu ini, saya memang rasa akan keluar. Bukan sebab rasa akan kalah, tetapi semua peserta lain hebat belaka.

"Saya cuma buat apa-apa yang saya mampu sahaja. Itu sahaja. Malam ini, bila tersingkir, saya dah bersedia," akui Nine yang merupakan anak bongsu daripada tujuh adik-beradik.

Tambahnya, dia tidak teragak-agak untuk menyertai OIAM lagi jika berpeluang berbuat demikian.

Ekoran penyingkiran Nine itu, Syafinaz berasa kesal dia tidak dapat melihat identiti asal Nine yang kelakar dan seronok sepanjang bertanding di OIAM.

"Masa sesi itu (uji bakat) dia selamba (spontaneous), kelakar dan fun. Ketika berada di atas pentas OIAM, dia begitu reserved (kurang selesa). Dia tidak menonjolkan keseronokannya," katanya.

Hala tuju bersama Coco

Selepas tersingkir, Nine akan lebih menumpukan perhatian kepada kumpulan bandnya itu.

Menurutnya: "Kumpulan Coco akan buat single... satu lagu. Sebab buat masa ini, ketika nama saya meniti di bibir (bukan sombong), masih ada orang kenal, jadi saya kena secepat mungkin merebut peluang ini."

Ditanya perancangannya menjadi penyanyi solo, jawabnya, hati masih terpaut pada menyanyi secara berkumpulan dan tidak mempunyai perancangan sebegitu setakat ini.

"Jika ada hasrat buat solo pun, mungkin masa depan," katanya sambil menambah objektif utamanya menyertai pertandingan itu adalah menjadikan OIAM sebagai platform pengenalan diri dan pada masa yang sama, Coco.

Dua atau tiga finalis bertanding

Sementara itu, orang ramai boleh menentukan sama ada dua atau tiga finalis bertanding di Stadium Malawati, Shah Alam pada Jumaat ini.

Peluang ini dibuka mulai sekarang dan caranya dengan membuat undian tersebut di www.8tv.com.my/oiam.

Artikel Sebelum

Artikel Lain