suria

Bob dan Siti Sarah intai peluang ke Hollywood

Sebahagian daripada finalis WorldStars Road To Hollywood. foto THE STAR oleh RAJA FAISAL HISHAN
Sebahagian daripada finalis WorldStars Road To Hollywood. foto THE STAR oleh RAJA FAISAL HISHAN
Sebahagian daripada finalis WorldStars Road To Hollywood. foto THE STAR oleh RAJA FAISAL HISHAN

SEMINIT sahaja! Itulah masa persembahan bagi setiap finalis WorldStars Road To Hollywood untuk untuk mempersembahkan vokal, tarian, instrumental, lakonan atau modeling bagi menambat hati para juri sekali gus mencuba nasib di Hollywood!

Bob dan Siti Sarah adalah antara 44 finalis yang akan berentap dalam pertandingan akhir yang akan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, pada 3 Mei 2009, 8.30 malam.

Selain itu, peserta program realiti MyStarz LG musim pertama, Mohd. Emeer Iskandar Mohd. Bakri dan pemenang Malaysia's Most Beautiful, Dilla Syahirah Abd. Latiff turut menyertai pertandingan itu.

Ia akan disiarkan secara langsung menerusi TV2, Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Finalis yang berjaya akan mewakili negara ke Pertandingan Seni Persembahan Dunia (WCOPA) yang bakal berlangsung dari 10 hingga 19 Julai, 2009.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Mohammed Mohd. Daud mengumumkan peserta ke pertandingan akhir, WorldStars Road To Hollywood dalam satu sidang akhbar di Istana Budaya, baru-baru ini.

Menyifatkan WCOPA sebagai persembahan seni terbesar berskala Olimpik, Mohammed berkata, kementerian berharap peserta yang dipilih mewakili negara dapat mengkomersialkan kebudayaan negara di persada antarabangsa.

"Ini kerana semua produser terkemuka dan syarikat besar dalam bidang muzik di Hollywood akan tertumpu di situ nanti," katanya.

Hadir sama pada sidang akhbar itu ialah Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani dan Pengarah Allstars Performing Arts(M) Sdn. Bhd, Yusof Ismail.

Mohammed berharap, setiap peserta akan bertanding semaksimum mungkin bagi setiap kategori. Katanya, sebagai contoh, bidang nyanyian melibatkan genre rock, klasik, r&b, jaz dan lain-lain.

Katanya, Jehan Miskin dan Vanessa Chong akan menjadi emcee untuk acara final itu.

Beliau juga berharap, pihak swasta sanggup tampil memberikan bantuan kewangan kepada peserta-peserta yang berjaya kelak.

"Peserta-peserta terdahulu yang berjaya seperti Raja Azura, Noryn Aziz dan Iqwal berjaya mendapat tawaran, tetapi kementerian tidak mampu membiayai kos-kos.

"Misalnya, pembiayaan untuk Noryn Aziz sekiranya dia menerima tawaran memerlukan setengah juta untuk rakaman, tinggal 5-6 bulan, roadshow, makan, belanja dan tempat tinggal.

"Bayangkan untuk mendapatkan komposer terbaik sudah menelan USD20,000 (RM72,436). Duit kementerian adalah duit rakyat. Jadi, kami tidak dapat menaja mereka lebih jauh lagi," jelas beliau.

WorldStars Road To Hollywood ialah sebuah program bagi pemilihan peserta-peserta yang bakal mewakil negara ke Hollywood untuk bertanding dalam The World Championships of Performing Arts (WCOPA) di Los Angeles, California, Amerika Syarikat.

WCOPA disertai peserta dari serata pelosok dunia dan dari pelbagai peringkat umur dan kategori pertandingan seperti nyanyian, tarian, lakonan, modeling, instrumental dan variety act.

Ia merupakan acara pertandingan persembahan pentas yang terbesar di dunia.

Sesi uji bakat telah diadakan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Sebanyak 120 peserta dipilih bertanding di peringkat suku akhir di Genting.

Sebelum berlepas ke Hollywood, pasukan negara akan menjalani siri coaching dan latihan. Setiap peserta akan bertanding dalam pelbagai stail bagi setiap kategori.

BARISAN FINALIS

VOKAL: Mohd. Emeer Iskandar Mohd. Bakri, 14; Hara Hanara Harun, 16; Sean Chong Tai Cern, 18; Putri Norizah Ibnor Riza, 18; Raja Farah Afzal Raja Ikram, 23; Norhasmidar Ahmad, 23; Hakim Ikram Zakaria, 24; Siti Sarah Raissuddin, 25; Yusrizan Usop (Bob), 27 dan Suib Zainin, 29.

TARIAN:Noor Diana, 23; Azharudin Ramli, 25; Sharifah Nabilah Syed Abd. Aziz, 25; Leslie anak Eli, 27; Saifful Hirman, 28 dan Kumpulan Istana Budaya (8 penari).

INSTRUMENTAL: Ashley Mah Hwee Ling, 16; Brien Chia Zi Hao, 18; Jerry anak Kamit, 35 dan Kumpulan Tuku' Kame' (5 ahli).

LAKONAN: Nurul Ain Zainudin, 17; G. Pathieswaran a/l Gonnasegeran, 16; Ros Ramona Qadira, 18; Sharifah Aqilah Syed Ahmad Bakhir, 22 dan Putri Mardiana, 28.

MODEL:Zulyasrani Zaulyaddin, 21; Siti Nurizana Iskandar, 23; Mohd. Raffie Karama, 24; Khairul Nizam Nazri, 24; Dilla Syahirah Abd. Latiff, 25; Wilson Tan Siong Ping, 27; Ramsheh Singh, 28 dan Anita Abd. Aziz, 37.

BARISAN HAKIM

VOKAL: Deja Moss dan Syafinaz Selamat. TARIAN: Dayang Mariana Ab. Bolhassan dan Zainal Abiddin Bujang. INSTRUMENTAL: Mohd. Yazid Zakaria dan Samuel J. Das. MODELING: Tengku Norazura Tengku Awang dan Andrew. LAKONAN: Hans Isaac dan Samantha Schubert.

KOMEN FINALIS

Yusrizan Usop (Bob): Saya banyak berbincang dengan pengurus.. lagu bagus, tapi khuathir tidak sesuai... kerana peluang hanya seminit..kadang-kala satu rangkap lagu dah memerlukan satu minit.

"Saya akan membawa lagu Melayu (asli) dan bahasa Inggeris. Saya tak letak confident sangat, cuba sedaya upaya."

Siti Sarah: "Saya telah berlatih sebulan dan akan membawa dua lagu Inggeris rancak cepat. Saya rasa ada peluang bergantung pada rezeki. Apa yang pasti, saya akan membuat yang terbaik.

"Sebenarnya, dah masuk ke final pun dah bonus yang paking besar."

Artikel Sebelum

Artikel Lain