suria

Faizal: Saya takkan tiru sesiapa

Persembahan Faizal di ABPBH Ahad lalu dikatakan mirip persembahan penyanyi Agnes Monica
Persembahan Faizal di ABPBH Ahad lalu dikatakan mirip persembahan penyanyi Agnes Monica
Persembahan Faizal di ABPBH Ahad lalu dikatakan mirip persembahan penyanyi Agnes Monica

MASIH ingat lagi persembahan penutup penyanyi Faizal Tahir dengan lagu Bencinta yang dinyanyikan semasa Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 baru-baru ini?

Persembahan yang dilakukan dengan iringan gendang Cina itu didakwa mirip seperti persembahan penyanyi Agnes Monica yang boleh ditonton di lawan web YouTube.

Dakwa sumber itu lagi, 'step' yang digunakan oleh Faizal menyerupai 'step' yang dipraktikkan oleh Agnes.

"Setiap persembahan Agnes akan dimulakan dengan tarian, jadi Faizal mungkin mengambil idea setiap persembahan Agnes sedikit demi sedikit," kata sumber itu lagi.

Ditanya kepada Faizal, dia menyangkal dakwaan itu sekaligus berkata dia tidak pernah menonton persembahan penyanyi yang popular dengan lagu Matahariku itu.

"Idea persembahan itu merupakan idea saya sendiri. Insya-Allah, saya takkan tiru sesiapa apabila membuat persembahan.

"Selalunya apabila hendak 'perform', saya sudah tahu visual mengikut konsep lagu sendiri.

"Saya hanya pejam mata dan selepas itu bayangkan untuk mendapatkan apa yang diingikan," jawab Faizal atau nama sebenarnya Ahmad Faizal Mohd Tahir.

Dalam masa yang sama, Faizal melabelkan dirinya sebagai seorang yang 'membosankan' kerana kepakarannya hanya terletak dalam bidang muzik.

"Kalau nak tahu, Faizal Tahir seorang yang membosankan kerana hanya tahu membuat muzik," katanya yang turut tercalon bagi kategori Pengacara TV Lelaki Popular dalam ABPBH 2008.

Dalam nada merendah diri, dia menganggap faktor 'membosankan' itu yang membuatkan orang ramai kurang meminatinya.

"Saya memang dah rasa yang saya takkan menang dalam ABP. Secara jujurnya, saya bukan seorang yang sibuk hendak mengejar populariti.

"Saya lebih suka jika orang kenal saya apabila saya menghasilkan muzik yang berkualiti.

"Saya rasa saya lebih sesuai diletakkan dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) atau Anugerah Juara Lagu (AJL) yang lebih kepada bidang muzik.

"Tetapi tak bermakna saya tak pandang ABPBH. Saya sedar posisi saya dan artis lain. Jadi, saya akan fokuskan kepada bidang muzik sahaja," jelasnya yang tercalon lagi dalam AIM bagi kategori Video Klip Terbaik menerusi lagu Sampai Syurga.

Sebelum ini, Faizal pernah meraih anugerah Artis Baru Terbaik AIM ke-15, Persembahan Vokal Lelaki Terbaik AIM ke-15, Album Rock Terbaik AIM ke-15, Vokal Terbaik dan Juara kategori Balada Anugerah Juara Lagu ke-23.

"Dalam AIM ke-16, saya hanya tercalon bagi kategori video klip.

"Saya tak harap menang dalam AIM kali ini sebab dah menang tahun lepas. AJL pun saya dah menang.

"Secara jujurnya, saya buat apa-apa hanya kerana muzik. Ia datang dari jiwa, tiada target untuk menang award," ujar Faizal.

Walaupun dirinya kurang mendapat pendedahan di televisyen, Faizal sambil tersenyum mengaku dia gembira dengan keadaan sekarang.

"Saya juga gembira dengan muzik saya sekarang ini.

"Saya lebih banyak menghabiskan masa dengan famili.

"Saya juga mahu tonjolkan diri apabila ada persembahan dan tidak berapa suka tonjolkan diri dengan terlalu kerap," ulasnya yang akui nilai eksklusiviti penting seseorg artis.

Duta pakaian Superman yang mengikat kontrak selama setahun lagi dengan jenama tersebut kini sedang sibuk dengan kerja menggubah lagu dan lirik.

"Saya lebih gemar kerja belakang tabir dalam bidang muzik kerana cinta saya kepada bidang itu.

"Ia bergantung, kadangkala saya boleh habiskan masa dalam seminggu dan ada kalanya sehingga sebulan untuk membuat sebuah lagu.

"Sekarang, saya sedang membuat dua hingga tiga buah lagu. Saya tak nak 'push' sangat," akhirinya yang kini telah menerbitkan single terbarunya, Bencinta.

Kata Faizal, maksud Bencinta adalah benci campur cinta.

Lagu tersebut telah diputarkan di corong radio tempatan sejak hampir tiga minggu lalu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

8TV lancarkan Shout! Awards

Artikel Lain