suria

Lan MUH perkenal kekasih, cadang bertunang tahun ini

Anggota Meet Uncle Hussain (ikut arah jam): Afat, Taja dan Lan
Anggota Meet Uncle Hussain (ikut arah jam): Afat, Taja dan Lan
Anggota Meet Uncle Hussain (ikut arah jam): Afat, Taja dan Lan

SEMASA majlis ‘post-party’ Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 pada Sabtu lalu, ramai kalangan artis yang membawa pasangan masing-masing.

Antaranya adalah vokalis Meet Uncle Hussain (MUH), Lan, 27, yang membawa seorang gadis seusia dengannya iaitu Normala Hassan, 27.

Teman wanita yang baru dikenalinya beberapa bulan lalu itu nampak malu-malu ketika disapa dan memintanya bergambar dengan Lan.

Bagaimanapun, senyuman yang tidak lekang dari bibirnya dan tingkah lakunya kelihatan tertib sekali.

Seperti yang diakui oleh Lan, dia menyenangi sikap Normala yang sempoi, menyenangkan, beradap dan hormat kepada orang tua.

Walaupun mereka baru mengenali hati budi masing-masing, Lan berkata tidak mustahil jika dia membuat keputusan untuk mengikat tali pertunangan dengan Normala.

“Saya tak kisah sama ada lama atau sekejap kami berkawan, saya ingat nak bertunang dengannya dalam tahun ini. Lagipun, saya nak tunggu apa lagi,” beritahunya.

Dalam ABPBH 2008 lalu, MUH berjaya memenangi anugerah Penyanyi Berkumpulan/ Duo Popular.

Ini bermakna ia merupakan pencapaian drastik yang dikumpul oleh MUH sejak memenangi Lagu Terbaik dalam Anugerah Juara Lagu ke-23 serta Lagu Terbaik Hits 1 dan Persembahan Terbaik di Pertandingan Akhir Hits 1 musim keenam.

Yang pasti, kejayaan yang datang bergolek lebih memberikan semangat yang berkobar-kobar kepadanya dan seluruh anggota MUH untuk terus berjuang dalam industri muzik tanahair.

“Kami akan sentiasa memberikan persembahan yang berbeza kepada penonton.

“Kami juga berhajat untuk menerbitkan album pertama kami dengan pengisian lagu-lagu yang baru. Insya-Allah,” ujar Lan yang akan turut serta menggubah lagu untuk album terbaru MUH nanti.

Setakat ini, Lan telah mencipta lagu Pari-Pari Bawah Angin.

“Pengalaman telah mengajar saya untuk membuat lagu dan kini sedang menunggu lagu baru untuk siap.

“Saya tak mahu beritahu lagi tetapi setakat ini saya mempunyai beberapa buah lagu untuk diterbitkan,” kata Lan yang turut popular dengan lagu Putihnya Lukisan di corong-corong radio sekarang.

Selepas kejayaan yang diraih, Lan berkata dia mahu bercuti dan berehat seketika dari aktiviti seni.

Namun, Lan menafikan yang dia dan anggota MUH iaitu Taja dan Afat sedang dilanda konflik.

“Saya dah anggap anggota MUH yang lain seperti keluarga dan adik-beradik. Tetapi biasalah kadangkala ada yang saya tersalah cakap dan membuatkan mereka terasa.

“Bagi saya, normal jika kami ada konflik. Di atas pentas, kami bekerja bersama tetapi apabila di luar kami akan buat hal masing-masing.

“Band kami masih wujud. Saya anggap perjuangan kami seperti sia-sia dulu tetapi sekarang tidak.

“Saya rasa tahun ini merupakan tahun untuk Meet Uncle Hussain,” ulas Lan mengenai perjuangan bandnya yang sudah mencecah usia 9 tahun itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain