suria

Permohonan injuksi Roslin disebut 21 April

KUALA LUMPUR: Permohonan injuksi oleh jaguh badminton negara Muhammad Roslin Hashim, 34, pada 13 Mac lalu terhadap bekas isterinya, Faizah Mohamad, 32, hari ini disambung pada 21 April ini.

Permohonan itu dibuat bagi menghalang responden iaitu Faizah dan abangnya, Zulkifli Musa daripada mengeluarkan sebarang kenyataan kepada mana-mana media yang boleh menjejaskan reputasi dan memprejudiskan kes.

Permohonan tersebut yang sepatutnya dihujahkan secara lisan hari ini ditangguhkan ekoran kelewatan peguam syarie Musa Awang yang mewakili Faizah menyerahkan afidavit balasan dalam tempoh 14 hari selepas prosiding pertama lalu.

Disebabkan itu, peguam syarie Roslizam Rahim yang mewakili Roslin gagal mengemukakan keputusan bagi pihak anak guamnya itu.

Dimaklumkan, Musa terlewat menyerahkan afidavit balasan itu kepada Roslizam kerana Faizah juga baru memberikan afidavit tersebut kepada Musa.

“Sepatutnya, pihak kami menerima afidavit balasan itu dalam tempoh 14 hari mulai 13 Mac lalu tetapi kami baru menerima hari ini.

“Jadi, saya hendak meneliti dan berjumpa dengan Roslin sama ada dia hendak menjawab afidavit tersebut atau tidak sebelum hujahan prosiding dibuat.

“Kes ini akan disambung pada 21 April depan, pukul 2.30 petang di sini,” ulas Roslizam ketika ditemui di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

“Roslin mengeluarkan kenyataan kepada media sebelum kes cerai mereka difailkan di mahkamah manakala Faizah memberikan kenyataan kepada media selepas kes tersebut difailkan.

“Faizah tidak boleh mengeluarkan kenyataan secara berterusan kerana dia telah memprejudis kes dan menjejaskan reputasi Roslin,” kata Roslizam.

Roslin dan Faizah dimaklumkan tidak hadir ke mahkamah setelah mendapat pengecualian daripada peguam masing-masing.

Pada 13 Mac lalu, bantahan awal secara lisan oleh Faizah terhadap permohonan injunksi bagi menghalangnya memberi kenyataan kepada media yang difailkan pada tarikh tersebut oleh Roslin ditolak oleh mahkamah.

Hakim Syarie, Mohamad Shakir Abdul Hamid bagaimanapun memerintahkan peguam syarie yang mewakili Faizah, Musa Awang membuat bantahan secara bertulis dengan memasukkannya di dalam afidavit balasan yang perlu difailkan dalam tempoh 14 hari.

Dalam prosiding tersebut, Musa membantah permohonan Roslin untuk mendapatkan perintah injunksi itu dengan alasan ia tidak memenuhi kehendak Seksyen 45 dan 46 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.

Katanya, saman tersebut juga hanya diserahkan kepada anak guamnya pada pukul 8 malam 13 Mac lalu sedangkan ia sepatutnya dibuat dalam masa dua hari.

Peguam syarie yang mewakili Roslin, Roslizam Rahim bagaimanapun berkata, beliau telah pun membuat notis perakuan segera yang memberi sebab-sebab kenapa permohonan itu perlu dipercepatkan.

Perkahwinan Roslin dan Faizah yang berlangsung pada 30 Januari lalu telah menimbulkan kontroversi apabila Roslin mengaku melafazkan cerai terhadap isterinya selepas 12 hari mereka bernikah.

Berikutan itu, Faizah telah memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya manakala Roslin juga berbuat demikian di Mahkamah Rendah Syariah di sini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain