suria

Diana hadiri ABP, dapat pelepasan PLKN

Diana diberi pelepasan untuk hadiri ABP, Ahad ini
Diana diberi pelepasan untuk hadiri ABP, Ahad ini
Diana diberi pelepasan untuk hadiri ABP, Ahad ini

PELAKON jelita, Diana Danielle yang kini menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Princess Haliza, Sepang nampaknya diberi pelepasan oleh Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) untuk menghadiri majlis Anugerah Bintang Popular (ABP) yang bakal berlangsung di Genting Highlands, Ahad ini.

Diana yang turut tercalon pada anugerah tersebut menerusi kategori Pelakon TV Wanita Popular itu dikhabarkan mendapat pelepasan bermula 11 hingga 13 April ini.

Hal ini pastinya menggembirakan Diana yang sebelum ini pernah menyatakan hasratnya untuk hadir ke malam anugerah tersebut. Ketika itu, pelakon yang popular menerusi drama Air Mata Maria dan Farah Syakira ini bagaimanapun tidak kecewa jika gagal berbuat demikian kerana komitmen yang perlu dilunaskannya sebagai peserta PLKN serta prosedur yang ditetapkan dalam program tersebut.

Walaubagaimanapun, ibunya, Norsiah Ramli mengesahkan pelakon tersebut sememangnya telah pun diberi pelepasan tersebut.

"Sebenarnya, perkara ini diuruskan oleh pihak penganjur majlis anugerah tersebut. Bagi Diana sendiri, dia tidak kisah jika tidak dapat hadir ke acara tersebut andai kata memang tidak dibenarkan.

"Tetapi, memandangkan peluang itu diberikan oleh JLKN sendiri, dia memang cukup gembira. Bukan saja Diana, saya rasa Suki dan Aliff juga diberi pelepasan yang sama untuk menghadiri majlis tersebut.

"Apapun, komandan kem tersebut tetap meletakkan syarat. Saya perlu hantar Diana pulang semula ke kem pada pagi Isnin depan," kata Norsiah ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya lagi, dia sedar, pelepasan yang diterima oleh Diana itu pastinya akan menjadi 'isu' bagi sesetengah pihak yang merasakan keputusan itu tidak wajar.

Namun, tegasnya, keputusan tersebut bukan di atas desakan Diana, tetapi ia dibuat berdasarkan perbincangan oleh pihak penganjur dan JLKN sendiri.

"Jika ada orang yang pertikaikan, terpulanglah. Diana bukannya terlepas untuk buat aktiviti-aktiviti di kem. Lagipun, ketika hujung minggu, ibu bapa juga dibenarkan melawat anak-anak mereka di kem kerana memang tidak ada banyak aktiviti pun.

"Cuma, Diana diberi pelepasan keluar untuk majlis itu pada Sabtu ini dan saya perlu memastikan dia dihantar semula pada pagi Isnin.

"Saya pun tidak mahu ulas panjang tentang hal ini, kerana rasanya perkara ini lebih sesuai dirujuk terus kepada pihak JLKN," kata Norsiah yang menambah anak perempuannya itu akan menggayakan baju rekaan Irwan Arsbo pada majlis itu nanti.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain