suria

AF 7: Nyanyian peserta ‘average’, Hafiz paling cemerlang

Kini tinggal 11 peserta yang tinggal untuk meneruskan perjuangan pada minggu ke empat nanti. -foto The Star oleh DARRAN TAN
Kini tinggal 11 peserta yang tinggal untuk meneruskan perjuangan pada minggu ke empat nanti. -foto The Star oleh DARRAN TAN
Kini tinggal 11 peserta yang tinggal untuk meneruskan perjuangan pada minggu ke empat nanti. -foto The Star oleh DARRAN TAN

PRESTASI kebanyakan peserta Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) pada minggu ketiga semalam kurang menampakkan tanda-tanda mereka mampu bergelar ikon cuma terdapat beberapa peserta yang menunjukkan peningkatan dan konsisten semasa melakukan persembahan mereka.

Antara peserta yang dimaksudkan adalah Mohd Hafiz Mohd Suip atau Hafiz, 19, Ismaliza Ismail (Isma), 30, dan Nur Fazelah @ Zizie Mohd Tahil (Zizi), 24.

Salah seorang peserta yang tersingkir pada Sabtu lalu iaitu Zuzafrini Zulkifli (Rini), 25, turut menunjukkan persembahan yang mempunyai peningkatan berbanding dua minggu lalu.

Vokal Rini bertambah baik dan jelas ketika dia menyampaikan lagu Seloka Cinta Remaja nyanyian asal oleh Seha Freedom.

Tidak hairanlah jika Rini yang praktis menari dalam tempoh empat hari mendapat pujian daripada pengkritik tetap Datuk Khadijah Ibrahim iaitu ‘persembahan awak ‘improve so much’ dan awak seperti betul-betul bercakap dengan audiens’.

Namun, pengkritik tetap Adlin Aman Ramli menyifatkan persembahan Rini ‘kasual’ dan tiada yang menarik.

Begitu juga dengan Mohd Yazid Ibrahim (Yazid), 22, yang menunjukkan persembahan lebih bagus berbanding minggu terdahulu menerusi lagu Pawana yang dinyanyikan oleh Search.

Khaty Ibrahim memberikan kritikan positif kepada Yazid iaitu ‘audiens dalam genggaman anda dan persembahan yang hebat’.

Pengkritik jemputan Prof. Madya Khairil Johari Johar juga mengatakan persembahan Yazid boleh membuatkan penyanyi asal lagu tersebut, Amy Search berbangga dengannya dan membawa penonton ke zaman 2000.

Malah, pengetua Datin Seri Tiara Jacquelina juga memuji persembahan Yazid yang disifatkan sudah keluar dari kepompong.

Sementara pelajar-pelajar lain dianggap membuat persembahan yang ‘average’ seperti diperkatakan oleh Adlin persembahan mereka pada tahap ‘biasa-biasa’ sahaja.

Bukan mudah untuk mendengar kata-kata pujian daripada tunang pelakon Emelda Rosmila ini melainkan kepada tiga peserta iaitu Zizi, Hafiz dan Isma.

Antara kritikan positif yang dilontarkan kepada Zizi: “Tahniah, awak buat yang bagus untuk dangdut dan ‘rapping’.

“Ini contoh persembahan yang saya maksudkan. Awak bukan sekadar menyanyi sahaja tetapi turut memberikan persembahan dalam bentuk fizikal.”

Selain itu, Adlin memuji Isma dengan: “Terima kasih kerana memberikan persembahan yang baik. Awak merupakan individu yang ‘colourful’ dan ‘interesting’.”

Begitu juga dengan Hafiz yang Adlin rasakan memang dilahirkan bakat seperti itu.

“Dalam tiga minggu ini, awak memang ‘pure’ dan harus diberikan peluang untuk bergelar ‘champion’.

“Range awak boleh pergi jauh dan satu level dengan Allahyarham Sudirman,” ulas Adlin mengenai persembahan Hafiz menerusi lagu Mat Disko yang dinyanyikan oleh Sudirman.

Selebihnya Adlin melontarkan kritikan negatif seakan-akan tidak berpuas hati dengan keseluruhan persembahan yang ditunjukkan oleh kebanyakan peserta pada minggu ketiga itu.

Kata Adlin, konsep lagu 80-an tidak memberikan apa-apa transformasi dan tidak menguji para peserta.

“Pada minggu pertama, persembahan peserta nampak gempak tetapi minggu ini ramai yang tarik ‘handbreak’.

“Lupakan 80-an kerana ia agak lambat. Dulu, AF7 berjanji nak cari ikon yang lebih baik daripada sebelumnya.

“Untuk menjadi seorang ikon, peserta kena ada idea yang kreatif,” katanya.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria Khairul Mizan Shagul, idea untuk menyanyikan lagu 80-an sememangnya datang daripada tenaga pengajar secara kolektif.

“Dari minggu ke minggu, AF akan memberikan tema yang berbeza untuk menyerikan format pembelajaran.

“Cabaran lagu yang diberikan harus dihayati dengan cara tersendiri. Ada yang menyampaikan lagu dengan baik seperti lagu sendiri.

“Lagipun, ada penonton dan pelajar yang bukan dari tahun 80-an,” katanya.

Dalam pada itu, Tiara pula mencelah fokus dan sasaran fakulti memilih tema lagu 80-an menerusi kaedah yang berbeza.

“Para peserta memulakan kelas mereka dengan Cikgu Ida Nerina di mana mereka mempelajari cara untuk menyampaikan mesej terlebih dahulu sebelum mempelajari melodi.

“Selepas itu, mereka membawakan isi nyanyian mengikut pergerakan yang sepatutnya melalui pendekatan teater muzikal iaitu menyampaikan kisah dan cerita dalam lagu.

“Lagu 80-an merupakan gubahan yang indah dan boleh dikatakan hampir setiap lagu berunsurkan penceritaan,” ujar Tiara.

Dari segi persembahan, Tiara menambah setiap pelajar memberikan lonjakan bermula dari Yazid sehinggalah Hafiz.

“Kami sangat berbangga dengan peningkatan semua pelajar,” luahnya.

Tiara juga memberitahu yang dia tidak tersinggung dengan kritikan pedas yang diberikan oleh Adlin.

“Saya tak tersinggung. Itu memang stail dia. Lagipun, dua memberikan kritikan yang detail. Jadi, saya boleh ambil ikhtibar daripada komen-komen itu dan memperbaiki kelemahan peserta dari minggu ke minggu,” tuturnya.

Obri tak jangka tersingkir, Rini terima adat realiti tv

Pada Sabtu lalu, penyingkiran Obri dan Rini merupakan kejutan daripada Astro apabila dua peserta disingkirkan.

Namun begitu, Obri atau Ahmad Sobri Hasmuni, 24, tidak menyangka yang dia boleh tersingkir pada minggu itu.

“Saya tak fikir pun yang saya akan terkeluar kerana niat saya hanya untuk belajar. Saya sentiasa seronok ketika mengikuti semua kelas terutama kelas vokal.

“Sebenarnya, saya meminati AF ini dari musim pertama lagi tetapi waktu itu mak saya tak benarkan saya menyertainya dan meminta saya menamatkan pengajian terlebih dahulu,” beritahu Obri yang mempunyai Ijazah dalam bidang Ekonomi dari Universiti Malaya.

Sementara Rini pula menerima penyingkiran tersebut sebagai adat dalam program realiti tv.

“Sebagai pelajar, saya hanya meletakkan diri saya ditempat seorang pelajar yang harus menerima keputusan penonton memandangkan program ini merupakan realiti tv yang mempunyai penyingkiran.

“Saya sudah cuba memenuhi citarasa penonton dan menjadi pelajar yang bagus tetapi mungkin saya tidak menepati kehendak mereka,” ulas Rini.

Artikel Lain