suria

Perubahan rancangan Tawau FM mulai 1 April

TAWAU: Radio Televisyen Malaysia Tawau (Tawau FM) akan melakukan rombakan kecil program dan masa siarannya bermula 1 April ini sebagai strategi memasyarakatkan lagi organisasi penyiaran itu.

Pengawal Penyiaran Tawau Wan Azhan Wan Hamat berkata perubahan berkenaan dibuat selaras dengan proses penstrukturan RTM yang sedang dilakukan di seluruh negara bagi menyalurkan lebih banyak maklumat kepada masyarakat.

"Kita mahu menjadikan Tawau FM sebagai sebuah organisasi lebih bersifat komuniti dan bukan elit.

"Kita harap pendengar kita selain berhibur mereka juga akan memperoleh lebih banyak maklumat berfaedah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata pada 1 April, Tawau FM akan memulakan siaran pada 7 pagi melalui segmen Rentak Pagi selama empat jam diikuti segmen Syok Layan (11 pagi3 petang) dan Petang Di Tawau FM (3 petang7 malam).

Wan Azhan berkata melalui segmen Rentak Pagi, pendengar akan dihidangkan dengan rancangan seperti XHits pada hari Isnin, Dangdut (Selasa), Antarabangsa (Rabu), Irama Malaysia (Khamis), Nada Dakwah (Jumaat), Etnik (Sabtu) dan Duet (Ahad). Melalui segmen Syok Layan pula, pendengar Tawau FM akan dihiburkan menerusi rancangan Sorotan pada hari Isnin, Vroom (Selasa), Rias (Rabu), Hijau (Khamis), Wahyu Ilahi (Jumaat), Yok Kembara (Sabtu) dan Famili (Ahad).

Melalui segmen yang sama, rancangan Kuasa Lelaki akan disiarkan pada Isnin, Femina (Selasa), Selebriti Pilihan (Rabu) dan Versi Pendengar (Sabtu) yang akan ke udara dari jam 2 petang hingga 2.29 petang manakala Nur (Jumaat) pula dari 2.30 petang hingga 3 petang.

Segmen Petang Di Tawau FM pula akan menghidangkan rancangan seperti Kerjaya dari 4 petang hingga 4.30 petang pada hari Khamis dan Aku DJ (Ahad) pada masa yang sama.

Melalui pengenalan rancangan baru serta perubahan yang dilakukan, Wan Azhan berharap pendengar akan tetap setia dengan Tawau FM meskipun mereka mempunyai saluran alternatif. BERNAMA

Artikel Lain