suria

Faizal: Saya akan minta maaf dengan Kak Nita

Faizal perjelas isu tidak menghormati penyanyi senior - foto UTUSAN
Faizal perjelas isu tidak menghormati penyanyi senior - foto UTUSAN
Faizal perjelas isu tidak menghormati penyanyi senior - foto UTUSAN

PENYANYI yang cukup popular dengan lagu Sampai Syurga dan Mahakarya Cinta ini hanya tersenyum ketika diminta menjelaskan hal sebenar tentang isu dirinya yang dikatakan tidak menghormati penyanyi senior.

Semuanya berpunca sewaktu sidang media Minggu Setiausaha yang menggandingkan Faizal dan diva tersohor tanahair, Anita Sarawak yang mana Faizal tiba lewat sejam di sidang media itu, sedangkan Anita yang mesra disapa Kak Nita sampai tepat pada masanya.

Malah, sikap Faizal yang langsung tidak meminta maaf atas kelewatan itu dan terus mengambil tempatnya membuatkan banyak pihak di sidang media tersebut termasuklah wartawan cukup bengang dengan penyanyi ini.

Faizal ketika itu hanya memberikan alasan bahawa dia terperangkap dalam kesesakan lalulintas gara-gara hujan lebat.

"Saya kalau boleh tidak mahu hal ini diperbesarkan. Tetapi, saya ingin jelaskan apa yang terjadi pada hari itu sebenarnya adalah salah faham antara pihak saya dan penganjur.

"Pada awalnya, saya dan pengurus saya diberitahu kami perlu berada di sidang media tersebut paling lewat pun pada pukul 3.30. Saya akui saya sampai di sana terlewat sedikit sekitar jam 3.45, tetapi saya tak sangka pula sebenarnya saya sudah terlewat hampir satu jam.

"Saya terkejut bila baca dalam akhbar beberapa hari kemudian yang mengatakan saya tidak hormat penyanyi senior kerana tiba lewat sejam. Dari situlah baru saya sedar yang sebenarnya sidang media itu sepatutnya bermula pukul 3 petang.

"Kalau saya tahu hal tersebut pada hari itu juga, saya pasti akan minta maaf. Tetapi tidak mengapalah, saya tidak menyalahkan mana-mana pihak pun.

"Ini adalah satu salah faham saja, jadi tidak ada apa yang perlu diperbesarkan. Saya akan minta maaf dengan Kak Nita jika ada kesempatan bertemu dengannya di mana-mana nanti," tutur Faizal yang ditemui pada sidang media sempena Minggu Setiausaha anjuran Me & U Creative di Bora Ombak, Ampang, semalam.

Menurut penyanyi berusia 30 tahun ini, dia tidak mahu lagi mengulas lanjut tentang hal tersebut dan akui akan lebih berhati-hati untuk apa jua perkara selepas ini.

Faizal dan dua 'Nita

Beralih ke topik mengenai persembahan Minggu Setiausaha yang bakal dijayakannya pada April ini, menariknya, tahun ini Faizal akan terlibat di dalam dua buah 'show' Minggu Setiausaha yang akan menggandingkannya dengan dua penyanyi bernama 'Nita'.

Faizal akan bergandingan bersama Anita Sarawak untuk Minggu Setiausaha anjuran PNB Darby Park yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Sime Dary jam 12 tengah hari pada 7 April nanti manakala sebuah lagi adalah Minggu Setiausaha bersama Nita Malaysian Idol yang akan diadakan pada 22 April di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak, Kuala Lumpur pada pukul 8 malam.

"Kedua-dua persembahan Minggu Setiausaha itu berbeza kerana untuk 'show' bersama Kak Nita itu, saya hanyalah sebagai artis jemputan. Tetapi untuk Minggu Setiausaha bersama Nita Malaysian Idol, saya diberi peluang sebagai artis utama persembahan ini.

"Namun, sejujurnya, kedua-dua Minggu Setiausaha ini memang menggusarkan saya. Walaupun hanya sebagai artis jemputan untuk 'show' pertama, tetapi perasaan gementar memang tidak dapat saya elakkan apatah lagi bila memikirkan saya akan berkongsi pentas dengan penghibur sehebat Kak Nita.

"Begitu juga dengan persembahan di Dewan Perdana Felda nanti. Memandangkan saya adalah artis utama 'show' itu, saya perlu fikir sesuatu yang berbeza untuk menghiburkan tetamu nanti.

"Apa yang pasti, saya akan menyampaikan lapan buah lagu pada malam tersebut dan juga sebuah lagu duet bersama Nita," kata bapa kepada tiga orang anak ini.

Menurut Faizal, dia bersyukur kerana tahun ini dirinya menerima lebih daripada satu tawaran menjayakan Minggu Setiausaha.

"Minggu Setiausaha adalah satu 'show' yang berbeza. Tetamu bayar mahal untuk menyaksikan persembahan kita, jadi seboleh mungkin saya perlu buat persembahan yang terbaik untuk mereka.

"Tetapi, saya kagum sebenarnya melihat pendirian Kak Nita yang tidak akan menerima lebih daripada satu tawaran Minggu Setiausaha dalam sesuatu masa kerana ingin memberikan satu persembahan eksklusif.

"Jika tahun depan ada tawaran untuk saya sekali lagi beraksi di Minggu Setiausaha sebagai artis utama, saya rasa saya juga ingin mengikut jejak langkah Kak Nita untuk menerima hanya satu tawaran," kata Faizal yang mungkin akan membawa pemuzik sendiri untuk Minggu Setiausaha di Dewan Perdana Felda nanti.

Dalam pada itu, ditanya tentang perkembangan lain karier seninya, kata Faizal, ketika ini dia lebih banyak meluangkan masa di studio untuk penghasilan album keduanya.

"Sejak kebelakangan ini saya memang amat sibuk...bukan saja di studio, malah di rumah juga lebih-lebih lagi dengan kehadiran anak ketiga saya, Ahmad Rifa'ie Zidane.

"Tetapi pada masa yang sama saya bersama Audi Mok sedang di dalam proses membuat lagu untuk album terbaru. Apapun, saya tidak mahu terburu-buru siapkan album ini.

"Malah ketika ini pun hanya tiga buah lagu saja yang baru siap. Saya mahu betul-betul teliti dari segi lagu dan ingin mencari kelainan. Saya tetap mengenengahkan genre rock, cuma inginkan muzik yang lebih matang," kata Faizal yang akui kesihatannya tidak begitu baik sejak beberapa minggu lalu kerana mengalami tekanan darah rendah.

Penyanyi yang sinonim dengan imej 'Superman' ini juga telah mempertaruhkan single terbarunya, Bencinta, ciptaan sepenuhnya oleh Faizal dan Audi Mok, yang sudah mula diputarkan di corong-corong radio.

Mengakui lagu Bencinta, yang menggabungkan perkataan benci dan cinta sebagai judulnya itu amat berbeza dengan lagu-lagunya sebelum ini, kata Faizal, dia dan Audi sengaja mengambil pendekatan yang sedikit berbeza untuk lagunya kali ini.

"Saya tidak mahu hasilkan lagu yang sama dengan lagu-lagu saya sebelum ini seperti Sampai Syurga mahupun Cuba. Untuk album terbaru saya ini, memang saya ingin ambil satu langkah ke depan dan cuba buat sesuatu yang lain.

"Saya tidak kisah jika orang akan kritik. Ini adalah satu percaturan yang saya dan Audi sanggup lakukan. Walaupun mungkin 'feedback' yang akan saya dapat nanti kurang memberangsangkan, saya tidak kisah.

"At least, saya berani cuba sesuatu yang baru. Cuma mungkin ia akan ambil masa sedikit untuk peminat muzik menerimanya," kata Faizal yang kini tampil dengan imej baru berambut pendek.

Harga meja bagi menyaksikan Faizal beraksi di Minggu Setiausaha anjuran Me & U Creative pada 22 April di Dewan Perdana Felda ialah RM3800 (titanium), RM2800 (platinum) dan RM1800 (emas). Tempahan boleh dibuat dengan menghubungi talian 013-3134623

Artikel Lain