suria

Giliran Lah Ahmad dan Adibah Noor cari protege!

Lah tekun melihat persembahan salah seorang peserta
Lah tekun melihat persembahan salah seorang peserta
Lah tekun melihat persembahan salah seorang peserta

JACLYN Victor dan Mas Idayu sudah pun bersedia dengan calon masing-masing selepas sesi pemilihan ujibakat Mentor musim ke-3 yang diadakan di Theatrette, Sri Pentas tidak lama dulu.

Kini, giliran Lah Ahmad dan Adibah Noor pula untuk memperkenalkan protege mereka yang sedia untuk dididik dan diasah bakatnya menjadi penghibur terkenal.

Lebih kurang 300 calon telah hadir ke sesi ujibakat yang berlangsung pada hujung minggu baru-baru ini. Sebilangan besar telah pun membanjiri ruang Theatrette, Sri Pentas sejak awal pagi lagi.

Selain dari kawasan sekitar Lembah Klang, antara yang hadir ada yang berasal jauh dari Kedah, Pulau Pinang, Johor, Pahang termasuklah Sabah. Walaupun datang daripada latarbelakang yang berbeza, jelas sekali kesemua calon-calon yang hadir ke sesi ujibakat begitu teruja dan bersemangat untuk mencuba nasib bersama Lah Ahmad dan Adibah Noor.

“Program Mentor mempunyai kandungan aplikasi yang berbeza kali ini, pastinya kita boleh lihat usaha bersama diantara mentor dan protégé dalam penghasilan sesuatu diluar jangkaan.

"Melihat kepada potensi peserta-peserta yang hadir ke sesi ujibakat, tidak dinafikan ramai antara mereka mampu menyanyi dengan baik, namun pemilihan lagu yang kurang tepat dengan suara menyukarkan mereka menyampaikan lagu dengan baik.

"Jadi menggalas tugas utama sebagai mentor, saya akan pastikan kelemahan ini boleh diperbaiki dengan latihan muzik dan vokal yang akan dijalankan kelak.

"Saya yakin, dengan landasan yang disediakan oleh stesen televisyen dengan program-program realiti begini mampu melahirkan penyanyi-penyanyi baru yang berkualiti,” ujar Lah Ahmad

Dalam pada itu, Adibah Noor juga turut merasa gembira dengan sambutan ujibakat yang cukup memberangsangkan.

“Walaupun pencarian calon mengambil masa yang agak lama memandangkan saya amat menitikberatkan bukan sahaja proses pemilihan vokal yang baik malah turut melibatkan individu yang mempunyai personaliti yang boleh digilap sebagai seorang bintang, namun, saya amat berpuas hati dengan calon-calon yang berjaya kami kumpulkan pada hari ini.

"Setelah menjalani sesi ujibakat peringkat akhir, saya yakin protege bertuah saya bakal menggegarkan pentas Mentor 3!” kata Adibah.

Walaupun pendaftaran untuk sesi ujibakat ditutup pada pukul 5 petang, namun kedua-dua sesi ujibakat Lah Ahmad dan Adibah Noor berlarutan hingga lewat pukul 12 malam untuk memastikan proses pemilihan dijalankan secara menyeluruh di mana calon-calon yang berpotensi diberikan sekeping tiket ‘oren’ oleh mentor dan diminta untuk hadir semula ke sesi pemilihan peringkat akhir.

Uji bakat Mentor 3 akan memasuki minggu ketiga yang akan menampilkan komposer dan penyanyi terkenal, Ajai pada hujung minggu ini (Sabtu, Mac 28). Kesemua sesi ujibakat berlangsung di Theatrette, Sri Pentas dan bermula pada 14 Mac sehingga 4 April ini bermula jam 10 pagi hingga 5 petang.

Peserta yang ingin menyertai gelanggang Mentor semestinya berusia antara 17-25 tahun, memiliki bakat, vokal yang mantap dan pakej, berjaya menambat hati Mentor yang menjadi pilihan mereka, menyanyi secara solo, tidak terikat dengan sebarang kontrak dan boleh memberikan sepenuh perhatian terhadap program Mentor.

Peserta yang menghadiri uji bakat harus membawa kad pengenalan, gambar berukuran pasport dan 4R dan membawa minus one lagu-lagu yang bakal mereka persembahkan untuk penilaian Mentor pilihan mereka.

Artikel Sebelum

Artikel Lain