suria

Mas Muharni minta pengarah tegur kalau kaku

FILEM 'Wayang' telah menaikkan nama Mas Muharni di mana selepas itu dia ditawarkan berlakon beberapa buah drama.

Drama pertamanya adalah siri Jangan Pandang Belakang.

Walaupun mempunyai pengalaman berlakon di layar lebar dan pentas teater, Mas akui lakonannya menerusi drama tersebut agak kaku dan sebolehnya tidak mahu mengulangi kesilapan itu lagi.

“Saya harap lakonan saya dalam drama kedua, Embun Mutiara nanti tidak kaku lagi seperti lakonan saya dalam drama Jangan Pandang Belakang.

“Saya minta sangat supaya pengarah memberikan teguran jika saya kelihatan kaku.

“Saya tak kisah ditegur dan jenis mudah terima teguran. Kalau tidak, teruklah lakonan saya nanti.

“Saya berharap lakonan saya di dalam filem dan drama diterima oleh semua dan saya akui banyak perkara lagi yang perlu dipelajari,” ujar Mas atau nama sebenarnya Mas Normuharni Sheikhah Mohd. Sattar, 23.

Dalam drama Embun Mutiara, Mas melakonkan watak Mutiara, berumur 18 tahun, ayu, bertanggungjawab, suka mengalah, matang, penyayang, cepat kasihankan orang, suka menulis dan cerdik serta anak yang patuh dan taat, suka memendam perasaan dan disenangi oleh orang lain.

Embun Mutiara mengisahkan sepasang adik-beradik iaitu Embun (Eira Syazira) dan Mutiara yang dlahirkan dalam tahun yang sama.

Embun tua beberapa bulan daripada Mutiara. Sikap kedua-duanya sangat berbeza sama sekali.

Embun dengan sikap mengarahnya dan suka kepada dunia glamour.

Menurut Mas, apa yang menariknya untuk berlakon dalam Embun Mutiara adalah ceritanya ala-ala remaja dan lebih dekat dengan perangai sendiri.

“Saya suka dengan watak Mutiara yang lembut dan sopan-santun. Selain itu, seronok dapat watak itu sebab saya suka kepada penulisan,” ulas gadis yang berasal dari Sungai Petani, Kedah ini.

Mula berani depan kamera

Mas mula bergelar artis di bawah Metrowealth Production Sdn. Bhd. (MIG) sejak awal tahun ini dan mengikat kontrak selama setahun.

Semasa mula-mula didekati oleh rakan media, graduan Diploma Seni Persembahan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam ini akui agak kekok untuk ditemubual.

Kini, Mas berkata dia mula berani berhadapan dengan kamera dan para wartawan selepas mendapat nasihat dan tunjuk ajar oleh pihak penguruan MIG.

Walaupun masih ada sedikit perasaan malu-malu dan takut, Mas berjaya menangani masalah tersebut semasa berlakon atas dorongan rakan-rakan, penerbit dan pengarah.

“Saya perlu sentiasa belajar tentang lakonan dan tidak boleh main-main. Sekali saya dan ceburi bidang ini, saya mahu serius.

“Disebabkan saya telah mula berlakon sejak belajar dulu lagi, jadi saya mahu beri tumpuan sepenuhnya dan biarlah orang mengenali saya kerana bakat lakonan,” luahnya yang akan menjalani pengambaran filem komedi, ‘Amman’ arahan pengarah filem Wayang, Prof Dr Hatta Azad Khan.

Selain filem Wayang, anak keempat daripada lima beradik ini juga telah membintangi filem Jangan Pandang Belakang Congkak terbitan MIG.

Artikel Berikut

Artikel Lain