suria

Pentas OIAM minggu kelima milik Esther

Kelincahan Esther menari di pentas sehebat vokalnya yang mengasyikkan.
Kelincahan Esther menari di pentas sehebat vokalnya yang mengasyikkan.
Kelincahan Esther menari di pentas sehebat vokalnya yang mengasyikkan.

PENTAS One In A Million (OIAM) minggu lalu ternyata adalah milik `100 peratus' Elizabeth Applunius Chin @ Esther, 21. Tiada bantahan yang mempertikaikan kehebatannya dilontarkan.

Peserta dari Kota Kinabalu itu membawakan lagu nyanyian artis lelaki, Maroon 5 bertajuk, "I won't go home without you".

Ternyata, dia enggan balik ke rumah tanpa menghiburkan semua yang hadir. Ternyata lagi, dialah penghibur dan yang paling penting, penyanyi terhebat malam itu.

Skirt hitamnya sendat pada tubuh badannya yang gebu. Namun, ia tidak sedikit pun membantutkan kelincahannya menari walaupun berkasut tumit tinggi. Dia seksi sekali.

Esther masih dapat ligat berpusing dan bertukar arah dalam sekelip mata. Menakjubkan! Impak itu amat dirasai seawal saat pertama persembahannya yang sangat bertenaga.

Jelingan mata manjanya berinteraksi dengan penonton turut meninggikan suhu `konsert'. Dia berkilau-kilauan dipanahi sinaran lampu neon. Dia laksana `bintang' yang menyinari malam Jumaat lalu.

Ketika para penonton sangat terhibur, dua juri tetap OIAM iaitu, penyanyi klasikal terkenal, Syafinaz Selamat dan penerbit merangkap komposer, Paul Moss selain juri undangan, Jay Jay pula kelihatan terpegun oleh `sajian muzikal' Esther.

Syafinaz sambil berseloroh berkata, "Persembahan Esther memang `kelakar'. Saya tidak sempat tulis kerana cukup terasa (persembahan memberangsangkannya).

"Dia terkinja-kinja... betul-betul fun (girang). Walaupun suara Esther sedikit `nipis', namun secara keseluruhannya, baik," ujarnya.

Pendapat Syafinaz turut dikongsi bersama Jay Jay dan Moss. Misalnya, Jay Jay menyifatkan terdapat faktor `wow' (daya tarikan) pada persembahan Esther yang mempunyai sebuah album berbahasa Kadazan-Dusun pada 2005.

Tambahnya, Esther ialah antara penyanyi yang sangat daring (berani) di samping merupakan penghibur berbakat.

Apa pula komen Esther sendiri?

Ester berkongsi rahsia kejayaannya iaitu, beliau bukan menghiburkan penonton sahaja, tetapi untuk seisi keluarga di kaca televisyen.

Selepas menghidangkan persembahan hambar pada minggu sebelumnya, kebangkitan semula Esther itu sekali gus membolehkannya memperolehi imuniti pada minggu lalu daripada para juri.

Diajukan soalan mengapa Esther dipilih dan bukannya Amylea serta rakannya yang turut bervokal bagus, Syafinaz menjawab:

"Amylea dan semua peserta lain mempamerkan persembahan vokal yang bagus... tetapi, semua dalam zon selesa dan tidak cuba sesuatu yang baru.

"Walaupun mereka dinasihatkan mempunyai genre tersendiri, kami (juri) harapkan mereka membuat sesuatu yang memeranjatkan," jelas pensyarah vokal salah sebuah universiti tempatan itu.

One In A Million (OIAM) menyusul minggu lalu dengan tema, Opposites Attract. Tarikannya ialah peserta lelaki diwajibkan menyanyikan lagu artis wanita sementara peserta wanita menyanyikan lagu artis lelaki.

Bagaimanapun, mereka perlu berentap mencari rentak suara sendiri selaras dengan slogan pertandingan musim ketiga ini, iaitu Find Your Own Voice.

Selepas penyingkiran Anith pada minggu kelima pertandingan itu, kini tinggal lapan finalis.

Lima peserta lelaki tersebut ialah Tomok, Aweera, Rizu, Simon dan Nine. Esther ialah salah seorang daripada tiga peserta perempuan yang berjaya ke pusingan seterusnya selain Amylea serta Fify. Sementara itu, pemegang imuniti minggu sebelumnya, Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail, 24, gagal mempertahankan hak bebas-disingkirkan itu selepas antara lain gagal menawan hati Moss.

Beliau yang bergenre asal Pop Rock dan Rock mendendangkan lagu Gantung nyanyian Melly Goeslow.

Menurut Moss, Tomok hakikatnya telah meletakkan penanda aras yang cukup tinggi bagi dirinya berdasarkan persembahan terdahulu yang amat baik.

Justeru katanya, beliau menjangkakan Tomok dapat mencetuskan sesuatu yang di luar jangkaannya dan juri-juri lain.

"Pada minggu-minggu lepas, anda sememangnya menarik hati kami. Penuh dengan drama, tenaga dan keseronokan. Oh Tuhanku, anda membawa pergi drama, tenaga dan keseronokan tersebut.

"Dan akhirnya tiada apa-apa yang tinggal. Bagi saya, prestasi anda membosankan,'' katanya tanpa lirikan mata sambil disusuli siulan boo daripada penyokong Tomok.

Mempertahankan Tomok, Jay Jay berkata, penyanyi dari Kuala Lumpur itu sebenarnya telah berjaya memilih lagu yang kena pada suara.

``Walaupun lagu ini agak janggal kerana lelaki nak nyanyikan suara perempuan dan sebaliknya. Bukan senang. Bagi saya, Tomok menyampaikan feel dan jiwa yang baik dalam lagu ini.

``Telinga saya dengar nada rendah dengan larasan pic tinggi. Hampir sempurna. Persembahan keseluruhannya amat baik bagi saya," katanya.

Bagi Syafinaz pula, Tomok telah membuktikan kepadanya bahawa dia ialah penyanyi yang cerdik dan mempunyai daya kreativiti yang begitu tinggi.

Juri jelita itu juga menasihatkan Tomok agar menitikberatkan `permainan suara' dalam persembahannya.

``Berikan sedikit perbezaan dari segi warna suara, dinamik dan interpretasi. Tapi range kena jaga. Stretch a little bit more,'' nasihatnya.

Menyentuh tentang keperluan sentuhan `extractor', keselesaan badan serta kreativiti dalam setiap persembahan, Simon mendapat sedikit kritikan membina daripada para juri.

``Simon kena selesa dengan tubuh badan seperti bergerak ke kiri dan ke kanan. Kena selesa. Voice department (bab suara) memang baik sekali.

Tapi, kekurangan `extractor' - cara pemakaian, penglibatan penonton, kekalkan genre sedia ada tetapi tambahkan variasinya," ujar Syafinaz.

Mengulas isu sama, Moss memberitahu, tidak menjadi kesalahan jika faktor `extractor' itu kurang, tetapi ia mungkin menjejaskan peluang Simon mara ke pertandingan akhir.

"Apa yang membawa seseorang peserta ke peringkat akhir? Adakah hanya sekadar dalam kalangan lima peserta terbaik sudah mencukupi? Apakah faktor-faktor kejayaan seseorang peserta?" tanya beliau.

Rata-ratanya, peserta-peserta lain turut tidak kurang hebatnya. Vokalis kumpulan Coco, Nine menampilkan saingan menyengat dengan lagu Karma nyanyian Cokelat.

Keyakinan diri yang tinggi diterjemahkan menerusi vokal yang mantap lagi seksi.

Syafinaz memuji satu aksi Nine yang mampu menyanyi sambil ketawa. Senyumannya cukup `menggoda' para peminatnya.

Mengenai Rizu, Jay Jay menggambarkan penyanyi baru terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM) 2006 itu sebagai `cili padi,' yakni berbadan kecil tetapi suaranya `power' (besar dan bertenaga).

Selain itu, dua penyanyi bernama awalan "A" iaitu Aweera dan Amylea mendendangkan lagu-lagu berjudul Tiada Lagi (Mayang Sari) dan I'm Yours (Jason Mraz) dengan baik sekali. Amylea misalnya benar-benar menjadikan dirinya milik - `I'm yours' - semua penonton yang hadir di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam malam itu.

Lagu itu dimelodikan ala-Amylea sekali gus mengalunkan lagu I'm Yours yang berentak baru. Lirik kekal sama. Itulah kehebatan finalis OIAM!

Dalam pada itu, cara duduk Aweera yang duduk mengangkang ketika menyanyi mendapat pertanyaan Syafinaz - "Adakah cara duduk Aweera mesti mengangkang?"

Fify pula memanfaatkan suara jelas dan vokal tinggi untuk persembahan mantap. Nampaknya semua peserta sama-sama hebat.

Sekali lagi, terserah kepada penonton-penonton mengundi masuk atau keluar peserta-peserta kegemaran mereka dengan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Dalam perkembangan berkaitan, Anith berkata, dia berasa sedih dan terkejut selepas tersingkir daripada pertandingan itu.

"Pada masa yang sama, saya menerima keputusan itu,'' katanya dalam nada kepasrahan sambil bercadang untuk melanjutkan pelajaran muzik selain terus bernyanyi.

Artikel Berikut

Artikel Lain