suria

Keserasian Ashraf-Bunga dalam 'Saus Kacang'

Keserasian pasangan suami isteri dalam filem ini jelas terbukti.
Keserasian pasangan suami isteri dalam filem ini jelas terbukti.
Keserasian pasangan suami isteri dalam filem ini jelas terbukti.

DALAM sejarah Indonesia tercatit beberapa pasangan suami isteri yang berlakon bersama di dalam sesebuah filem.

Sebut saja pasangan suami isteri dan tergambar almarhum Sophan Sophiaan-Widyawati, Jamal Mirdad-Lidya Kandou, Rhoma Irama-Ricca Rahim, Pangky Suwito-Yati Octavia, Frans Tumbuan-Rima Melati, Ray Sahetapy-Dewi Yull, hingga Herman Felani-Muthia Datau.

Di Malaysia pula ia mengikut jejak langkah Allayarham dan Allahyarhamah P. Ramlee dan Saloma.

Kini tradisi ini diteruskan oleh pelakon dan penyanyi dari Indonesia Bunga Citra Lestari dan pelakon tanah air kita Ashraf Sinclair.

Juga setelah sekian lama; seorang pelakon dari Malaysia mendapat kepercayaan dari pembikin filem Indonesia untuk menjadi pelakon utama filem. Ini meneruskan kejayaan silam Raja Ema; Fauziah Ahmad Daud; Amy Search dan Imuda beberapa dekad yang lalu. Di Indonesia sambutan terhadap filem 'Saus Kacang' ini membawa kejayaan yang amat memberangsangkan apabila mendapat pembelian tiket menjangkau 285,000 penonton untuk tayangan 8 hari sahaja. Kini ia telah mencecah penjualan tiket sebanyak 410,000 penonton.

'Saus Kacang' menceritakan kisah perjalanan Dewi (Bunga Citra Lestari) yang berkerja sebagai Chef de Cuisine di sebuah hotel bintang lima di Bandar peranginan Bali.

Di awal filem; Dewi telah mengalami pengalaman putus cinta setelah di tinggalkan oleh kekasihnya. Dewi memerlukan masa yang agak lama untuk mengubati luka di hati lalu memberi tumpuan dan komitmen terhadap kerjayanya.

Gadis Bali itu takut untuk memulakan kisah cinta yang baru. Lima tahun kini berlalu, dan Dewi kini mempunyai sikap yang lebih optimis menghadapi hidup tetapi masih berhati-hati dalam soal percintaan.

Sehingga satu hari, di hotel tempat Dewi berkerja muncul seorang tetamu dan pelancong dari Malaysia yang memiliki sikap resah, panas baran, kuat mengadu dan tidak mempedulikan hal ehwal orang sekelilingnya. Jejaka tersebut ialah Fredo (Ashraf Sinclair).

Pertemuan pertama dengan Fredo menjadi igauan dan mimpi buruk bagi Dewi. Kalau sebelum ini Dewi berpegang kepada terus kepada slogan ‘tak ada tamu yang tak bisa dihadapi’ ; tetapi kali ini tetamu yang dihadapi diibaratkan seperti “bak seekor singa liar yang sukar dijinakkan”.

Hubungan yang pada mulanya diselubungi perasaan saling membenci dengan secara perlahan-lahan bertukar menjadi sebuah percintaan.

Dari seorang jejaka yang panas baran juga tidak mempedulikan perasaan orang disekelilingnya , Fredo kini berubah kepada seorang yang sabar dan tenang. Dalam kehebatan dan keasyikan percintaan yang bersemi diantara Fredo dan Dewi; tiba-tiba muncul bekas tunang Fredo yang pernah meninggalkannya yang berazam untuk memiliki semula hati Fredo.

Bagaimana kisah Dewi dan Fredo selanjutnya. Saksikan kesudahan kisah cinta pasangan yang dilakonkan oleh pasangan suami isteri ini di pawagam berdekatan anda dari 19 Mac nanti.

Sambutan peminat filem Indonesia terhadap 'Saus Kacang' berkisar kepada alunan jalan cerita berlandaskan lawak bersahaja (situational comedy) dan lakonan yang berkesan lalu membuat mereka yang menonton tersenyum dan terhibur.

Filem arahan sutradara Indrayanto Kurniawan ini ternyata memberi satu “escapism” untuk penonton yang sering dihidangkan dengan filem seram dan juga aksi mendebarkan sejak kebelakangan ini.

Kini, penonton Malaysia berpeluang melihat kehebatan pasangan suami isteri dua negara iaitu Bunga Citra Lestari-Ashraf di layar perak Malaysia pada 19 Mac nanti.. Filem ini juga memaparkan kebudayaan dan permandangan indah Bali kepada masyarakat Malaysia.

Filem 'Saus Kacang' juga menampilkan lakonan dan kehadiran ulung kumpulan Samsons di layar perak. Penyanyi utama Samsons, Bams melakonkan watak penting di dalam filem ini. Selain daripada itu; peminat Samsons boleh menyaksikan kumpulan tersebut menyanyikan lagu Penantian Hidup versi unplugged.

Bunga Citra Lestari selain daripada mempromosikan filem Saus Kacang turut mempromosikan album terbaru berjudul “BCL” yang mana 6 lagu di tampilkan di dalam filem tersebut termasuk lagu hit “Aku Pasti Datang”.

Artikel Lain