suria

Rosyam mencari 'Kasih' dalam program realiti baru

Rosyam akan merealisasikan program realitinya tidak lama lagi.
Rosyam akan merealisasikan program realitinya tidak lama lagi.
Rosyam akan merealisasikan program realitinya tidak lama lagi.

RAMAI yang menegur asyik-asyik muka yang sama sahaja disajikan di dalam filem dan drama seolah-olah industri kita ketandusan bakat baru. Tapi berapa kerat yang cuba untuk mencukupkan ruang kekosongan ini?

Kesukaran mencari pelapis yang benar-benar berbakat di dalam industri kita diakui oleh pelakon dan penerbit popular Rosyam Nor.

Lantas dia terfikir untuk mewujudkan satu program realiti bagi mengembangkan bakat baru dan dalam waktu yang sama, bakat-bakat yang telah disaring ini akan diserap ke dalam filem terbarunya.

Malah idea yang ilhamkan oleh Rosyam dan pengarah Bade ini merupakan asas kepada satu program realiti baru yang diberi nama 'Pilih Kasih'. Dan mereka yang terpilih mengambil bahagian dalam program ini ada harapan memegang teraju penting dalam filem terbitan Rosyam yang bernama 'Kekasih.'

'Pilih Kasih' akan mula bersiaran di TV2, mulai 11 April selama empat bulan dan penonton juga berpeluang membuat penyingkiran pelajar melalui SMS nanti.

Rancangan ini juga dibuka kepada mereka yang meminati bidang lakonan dan berusia dalam lingkungan 18 hingga 35 tahun. Siri ujibakat pula akan diadakan di Johor, Negeri Sembilan, Kelantan, Pahang, Sarawak, Sabah, Penang dan Kuala Lumpur.

"Sebagai pelakon lama saya sendiri akui yang kita ketandusan bakat baru. Balik-balik muka sama yang kita lihat dalam filem dan drama," kata aktor yang masih selesa memegang watak hero meskipun usia sudah mencecah 40an.

Secara langsung, ini merupakan satu masalah bagi produser filem seperti Rosyam.

"Jadi saya terfikir kenapa tidak wujudkan satu platform di mana kita beri latihan kepada bakat baru dan setelah selesai latihan pula, kita akan sediakan peluang pekerjaan untuk mereka," kata Rosyam yang akan duduk di dalam barisan juri untuk 'Pilih Kasih.'

Program ini akan diterbitkan bersama syarikat milik Rosyam, Suhan Movies and Trading Sdn Bhd dan Radio Television Malaysia manakala, produsernya pula ialah Adi Syamsul, bekas penerbit program Akademi Fantasia musim pertama hingga empat dan Raja Lawak musim pertama.

Dua puluh pelajar akan dipilih dari ujibakat yang dijalankan di seluruh negara. Pelajar-pelajar ini pula akan ditempatkan selama empat bulan di Tengku Puan Cik Auditorium di Senawang, Negeri Sembilan.

Selama empat bulan itu juga, mereka akan melalui kursus lakonan di bawah bimbingan aktor/pengarah Along Kamaruddin dan pengarah/penerbit Jinggo (suami kepada aktres Sheila Rusly).

Setelah selesai sesi latihan dan apabila program 'Pilih Kasih' tamat, lima orang pelajar yang berjaya akan diberi peluang untuk membintangi filem 'Kekasih' yang akan diarahkan oleh Bade Haji Azmi.

"Pelajar perlu menunjukkan kebolehan menerusi drama pendek di mana setiap minggu ada tiga hari penggambaran dan ditayangkan secara langsung pada hari Sabtu di TV2 dan mereka juga turut terlibat dengan pementasan teater muzikal.

"Erma Fatima bersetuju mengajar dan mengarah teater muzikal itu, manakala senarai tenaga pengajar lain masih dalam penilaian," kata Rosyam yang akan memilih sendiri peserta yang terbaik.

Di tanya kenapa program realiti itu dinamakan 'Pilih Kasih', kata Rosyam tujuan utama untuk mencari calon watak heroin bernama Kasih dalam filem terbitan syarikatnya.

"Tapi ini tidak bermakna peserta pilihan penonton melalui undian SMS akan pegang watak Kasih. Semuanya terpulang kepada penilaian Bade dan saya.

"Lima peserta yang bertahan hingga minggu ke-11 akan diberi watak yang sesuai dengan kemampuan mereka dalam filem 'Kekasih'," kata Rosyam yang akan menggunakan khidmat penulis novel terkenal, Sharifah Abu Salem sebagai penulis skrip filem 'Kekasih'.

Tambahnya lagi, "Kita mempunyai ramai pelapis muda yang berbakat besar tetapi tidak di beri peluang menonjolkan kebolehan mereka.

"Graduan lulusan perfileman dan lakonan dialu-alukan menyertai program ini kerana ianya adalah peluang baik untuk mencipta nama dalam dunia lakonan dan teater."

"Mereka yang tiada pengalaman pun layak datang ke ujibakat," kata Rosyam.

Lokasi sebenar dan tarikh uji bakat akan diumumkan pada 26 Mac ini.

Artikel Lain