suria

Diana: Saya tak takut dibuli

Diana akan kutip pengalaman sebanyak mungkin ketika menyertai PLKN nanti
Diana akan kutip pengalaman sebanyak mungkin ketika menyertai PLKN nanti
Diana akan kutip pengalaman sebanyak mungkin ketika menyertai PLKN nanti

KEPUTUSAN Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) yang baru diterimanya baru-baru ini akhirnya dapat membuatkan pelakon kacukan Melayu-Inggeris ini menarik sedikit nafas lega.

Meskipun sedikit kecewa kerana tidak mampu mencapai sasaran yang diletakkan, Diana Danielle tetap bersyukur kerana meraih 2A bagi dua subjek kegemarannya, Bahasa Inggeris dan Matematik.

Lega penantiannya itu sudah berakhir, kini Diana menghitung hari pula untuk menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang akan bermula Khamis ini selama kira-kira tiga bulan.

Mengakui sedikit gementar untuk menantikan hari tersebut, kata bintang muda ini, dia bagaimanapun sudah bersedia untuk mengharungi kehidupan di Kem Princess Haliza, Sepang, seperti mana remaja-remaja lain yang turut berbuat demikian.

Malah, tutur Diana, dia tidak gentar dengan status artis yang dipegangnya itu meskipun ada suara-suara sumbang yang mengatakan golongan selebriti sepertinya nanti pasti tidak akan terlepas 'dibuli' ketika menyertai program itu nanti.

"Sejujurnya, saya tidak rasa takut. Tidak pernah langsung terdetik dalam fikiran saya yang saya mungkin akan dibuli memandangkan saya adalah seorang artis.

"Bagi saya, program seperti ini tidak memandang status. Semua akan dilayan sama rata. Tetapi, sudah tentu saya sendiri kena 'put efforts' dan apa yang pasti, tidak perlulah saya berlagak 'diva'," kata Diana dalam nada ceria.

Cuma, kata Diana, apa yang menggusarkannya ialah kerana perlu berjauhan dengan ibu tercinta, Norsiah Ramli, apatah lagi selama ini ibunya lah yang menjadi tempat Diana mengadu dan bergantung harap.

"Saya tidak pernah berjauhan begitu lama dengan Mama. Pastinya Mama akan sunyi sepanjang ketiadaan saya. Tetapi nasib baiklah ada Halley Hairil, adik angkat saya berusia 10 bulan yang akan jadi peneman Mama.

"Apapun, saya sedar itu bukan alasan untuk saya tidak sertai program ini. Ia pasti akan jadi pengalaman baru buat saya kelak," kata Diana yang baru saja selesai menghabiskan penggambaran filem Magika bergandingan bersama Mawi.

Menariknya juga, kehidupan Diana di PLKN nanti akan turut dirakamkan dan disiarkan dalam bentuk program realiti di 8TV. Bukan hanya Diana, dua artis remaja lain iaitu Suki dan Aliff Satar yang turut menyertai PLKN sesi ini juga akan terlibat di dalam program realiti itu.

"Apa yang diberitahu oleh ibu saya, perbincangan memang telah dibuat. Pihak Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) juga telah bersetuju dan kemungkinan akan dibuat sebanyak lapan episod.

"Tujuan ia dijadikan dalam bentuk program realiti ialah untuk memaparkan pembabitan artis-artis dalam PLKN dan pada masa yang sama dapat menunjukkan kepada remaja di luar sana bagaimana kehidupan sebenar di PLKN.

"Tetapi, sejauhmana perkara ini dibincangkan, saya sendiri kurang pasti. Apapun bagi saya, ini satu langkah positif dan amat menyeronokkan," kata Diana yang sedang menantikan beberapa tayangan filemnya tahun ini seperti Bohsia dan Stamp.

Diana sebelum ini pernah tersenarai sebagai peserta PLKN pada sesi pertama program itu, Disember lalu. Tetapi dia memohon untuk membuat penangguhan kerana terikat dengan jadual seni.

Aliff dan Suki juga pernah tersenarai dalam sesi PLKN sebelum ini, namun mengutarakan alasan yang sama dan turut meminta penangguhan.

Ditanya mengenai perancangannya selepas tamat mengikuti PLKN nanti, kata Diana, dia akan meneruskan projek penghasilan album sulungnya di Jakarta yang bakal mendapat sentuhan Octave, komposer terkenal Indonesia.

"Semua perbincangan sudah dibuat. Ketika ini, proses pengumpulan lagu masih dibuat. Insya-Allah, selepas tamat PLKN nanti, saya akan memulakan rakaman suara di studio," tuturnya.

Tawaran lakonan juga banyak diterimanya yang rata-ratanya akan memulakan penggambaran setelah tamat PLKN, namun kata Diana, dia masih belum memberi kata putus terhadap tawaran-tawaran tersebut.

Artikel Lain