suria

AF7: Transformasi vs tradisi?

Hafiz, salah seorang peserta yang cukup menyerlah pada minggu pertama AF7 - foto THE STAR oleh IBRAHIM MOHTAR
Hafiz, salah seorang peserta yang cukup menyerlah pada minggu pertama AF7 - foto THE STAR oleh IBRAHIM MOHTAR
Hafiz, salah seorang peserta yang cukup menyerlah pada minggu pertama AF7 - foto THE STAR oleh IBRAHIM MOHTAR

KONSERT minggu pertama Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) yang berlangsung pada Sabtu lalu nampaknya tidak menghampakan. Ada peserta yang dilihat sudah mampu menyerlah musim ini meskipun perjuangan mereka di dalam program realiti popular ini baru bermula.

Ternyata, transformasi 'kecil' sudah boleh dilihat di dalam diri beberapa peserta yang tidak mengambil masa yang lama untuk membuktikan kemampuan masing-masing. Namun, adakah prestasi kebanyakan peserta ini akan terus konsisten saban minggu?

Satu persoalan yang perlu diambil berat oleh barisan tenaga pengajar dan pengetua AF7 sendiri, Datin Seri Tiara Jacquelina yang sememangnya begitu berkobar-kobar untuk merealisasikan 'tagline' musim ini - satu trasformasi akan berlaku.

"Saya bangga melihat peserta-peserta ini bermula dengan tahap yang tinggi. Selepas tamat konsert tadi, saya menerima banyak ucapan tahniah yang mengatakan walaupun ini baru konsert yang pertama, tetapi sudah nampak bakal bintang yang akan dilahirkan.

"Ini adalah ujian pertama mereka dan saya tidak nafikan memang saya ada meletakkan harapan yang tinggi terhadap mereka. Tapi kesungguhan mereka sememangnya membuatkan saya cukup kagum.

"Namun saya sedar perjalanan mereka masih jauh. Kami di Akademi akan terus mengasah bakat mereka dengan baik," ujar Tiara yang ditemui pada sidang media sejurus berakhirnya konsert mingguan itu di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil.

Empat belas peserta telah mempamerkan persembahan masing-masing dengan membawakan lagu pilihan mereka sendiri. Mereka adalah Adila yang menyampaikan lagu Di Bawah Pohon Asmara, Isma (Sepi), Rini (Elergi Sepi), Claudia (Sempurna), Zizi (Molek), Aishah (Dan Sebenarnya), Rubisa (Matahariku), Qhaud (Phoenix Bangkit Dari Abu), Yazid (Penghujung Rindu), Sidi (Terima Kasih Cinta), Hafiz (Lagu Kita), Obri (Jeritan Batinku), Aril (Rahsia Perempuan) dan Akim (Hatiku Kau Luka).

Diantara 14 peserta tersebut, pujian ingin diberikan kepada Hafiz, Isma, Aril, Aishah dan Rubisa. Hafiz bagaimanapun dilihat lebih 'menyerlah' dengan karektor selambanya menyanyikan Lagu Kita.

Persembahan peserta itu turut mendapai pujian hebat daripada tiga pengkritik tetap AF7 iaitu Datuk Khatijah Ibrahim, Adlin Aman Ramli dan Edrie Hashim.

Aril, Aishah dan Isma juga tampil dengan persembahan yang baik menerusi pemilihan lagu yang tepat. Begitu juga Rubisa yang membawakan lagu Matahari dengan gaya tersendiri.

Meskipun terdapat sedikit 'cela' dari aspek kawalan vokal, Rubisa tidak menghampakan kerana berjaya mendalami emosi lagu tersebut dengan baik!

Zizi dan Claudia juga mempamerkan persembahan yang tidak mengecewakan. Zizi bijak memilih lagu yang 'kena' dengan personalitinya, manakala keistimewaan Claudia pula mungkin terletak pada vokalnya yang adakala kedengaran mirip suara penyanyi Dayang Nurfaizah.

Persembahan peserta-peserta lain pula bagaimanapun kurang dilihat memberi 'impak' terhadap penonton.

Apa yang pasti, rata-ratanya disebabkan pemilihan lagu yang salah dan tidak sesuai dengan tahap vokal mereka.

Namun, tegas Tiara, ada sebab tertentu mengapa peserta-peserta diberi peluang untuk membawakan pilihan lagu masing-masing untuk konsert pertama ini.

"Kami ingin lihat personaliti mereka terlebih dahulu. Kami ingin tahu genre muzik yang macam mana mereka suka.

"Sebab itu kami berikan peluang ini kepada mereka dan dari situ, saya dan barisan pengajar akan lihat apa yang boleh kami lakukan untuk perbaiki kelemahan peserta-peserta ini," katanya.

Kedudukan peserta setakat malam tadi menunjukkan Hafiz mengungguli carta diikuti oleh Aril, Isma, Rubisa, Yazid, Zizi, Aishah, Claudia, Akim, Obri, Qhaud, Rini, Adila dan berada di tangga terbawah ialah Sidi.

Peserta 'langgar' tradisi tidak persembahkan lagu Menuju Puncak

AF memang sudah sinonim dengan lagu temanya, Menuju Puncak. Malah sejak enam musim terdahulu, lagu tersebut pastinya akan dinyanyikan oleh peserta-peserta di penghujung konsert mingguan bermula dari konsert pertama sehinggalah malam kemuncak iaitu peringkat akhir.

Lantaran itu, agak janggal apabila menyaksikan konsert AF7 yang pertama Sabtu lalu tidak 'diserikan' dengan nyanyian lagu itu oleh semua peserta yang mana dianggap sesetengah pihak sebagai 'melanggar tradisi'.

Alasan yang diberikan oleh pihak produksi bahawa peserta-peserta tersebut belum bersedia untuk mempersembahkan lagu Menuju Puncak gara-gara memberikan tumpuan yang penuh terhadap persembahan masing-masing mungkin kedengaran tidak masuk akal, sedangkan tidak pernah timbul alasan sedemikian pada musim-musim sebelum ini.

Atau mungkin juga ini adalah salah satu transformasi yang ingin dilakukan AF7? Apatah lagi musim ini juga turut menyaksikan peserta-peserta tidak perlu tampil dengan 'tagline' diri masing-masing.

"Saya diberitahu dari awal-awal lagi sebenarnya bahawa minggu ini memang tidak ada persembahan Menuju Puncak oleh peserta-peserta. Mereka mungkin akan mempersembahkan lagu itu minggu depan.

"Sebenarnya pada minggu ini memandangkan ini adalah konsert pertama, pihak produksi mencadangkan untuk membawa penari di pentas di permulaan konsert dengan berlatarkan lagu itu sambil memperkenalkan barisan peserta.

"Macam-macam perkara yang kita tidak jangkakan akan dibuat di dalam AF. Bagi saya, ini bukan isu melanggar tradisi atau sebagainya. Saya akui, mungkin adakalanya kita perlu melanggar tradisi jika ingin menyaksikan perubahan.

"Malah, ketika ini juga sudah ada transformasi kecil yang telah dibuat di dalam Akademi yang mana saya telah menyuruh semua pelajar dan barisan tenaga pengajar untuk memakai kasut di dalam Akademi, tidak lagi perlu buka kasut.

"Semua orang ke sekolah memang akan memakai kasut, jadi, sama saja dengan pelajar-pelajar di Akademi," luah Tiara.

Artikel Lain