suria

Vee cuak dengan Erma Fatima

Aksi Rabecca ketika membawakan watak Hendon dalam Muzikal Sirah Junjungan Tahajud Cinta.
Aksi Rabecca ketika membawakan watak Hendon dalam Muzikal Sirah Junjungan Tahajud Cinta.
Aksi Rabecca ketika membawakan watak Hendon dalam Muzikal Sirah Junjungan Tahajud Cinta.

JARANG sekali melihat aktres Rabecca Nur Al-Islam Ahmad, 23, melakonkan watak antagonis sekejam Hendon dalam teater Muzikal Islam Sirah Junjungan Tahajud Cinta.

Teater yang mengangkat kisah hidup Nabi Muhammad S.A.W ini sedang dipentaskan di Istana Budaya mulai 9 hingga 22 Mac, pukul 8.30 malam.

Babak semasa Hendon lakonan Rabecca yang mengamuk selepas kematian bapanya lalu membunuh dan mengunyah jantung Saidina Hamzah sebagai membalas dendam menarik perhatian penonton.

Jika pementasan yang pertama pada tahun lalu, Ellie mengaku dia memakan hati mentah seperti yang diarahkan oleh pengarah.

Namun, kali ini Rabecca memaklumkan yang dia hanya diberikan bantal kecil bagi menggantikan hati mentah.

“Memandangkan hari ini merupakan hari pertama pementasan, saya merasa sedikit ‘nervous’ tetapi tidaklah sehingga menghampakan ramai pihak dan pengarah.

“Kalau boleh saya tidak mahu menghampakan harapan semua orang yang hadir. Jadi, saya akan lakukan yang terbaik kerana mungkin ada kesilapan yang tidak nampak.

“Apabila difikir semula, saya berasa takut juga dengan watak sendiri. Bagaimanapun, saya puas apabila penonton tepuk tangan dan ada rakan-rakan yang menghantar Sistem Pesanan Ringkas (SMS) memuji lakonan saya kerana orang dapat menilai apa yang saya buat,” katanya.

Jelas Rabecca, dia hanya sempat berlatih membawakan watak tersebut kira-kira tiga minggu lalu.

“Walaupun saya hanya melakonkan dua babak, watak saya agak agresif dan terasa penat juga.

“Saya rasa susah juga untuk menghayati watak ketika meminta Washi membunuh Hamzah. Jarak kami agak jauh waktu itu. Jadi, saya perlukan tenaga yang lebih untuk melontarkan suara.

“Jadi, saya perlu elakkan meminum ais dan banyakkan minum air mineral,” ujar ibu kepada Nor Adam Daniel, 10 bulan ini.

Vee cuak dengan Erma

Dalam pada itu, Vanida Imran yang melakonkan watak Siti Khadijah Khuwailid berkata dia masih gemuruh tatkala menapakkan diri ke atas pentas.

Luah aktres yang mesra dengan panggilan Vee ini, perasaan takut semakin menyerbu diri lebih-lebih lagi apabila bekerjasama dengan pengarahnya, Erma Fatima.

“Saya perlu pastikan suara yang dikeluarkan tidak terlalu kuat dan tidak terlalu perlahan. Syahadah yang dialunkan juga kena betul. Semuanya memerlukan saya bekerja lebih kuat.

“Walaupun orang tak nampak ekspresi muka saya, tetapi saya perlu melakukan sesuatu agar orang boleh rasa apa yang saya sampaikan,” ulas Vee yang merasakan watak Siti Khadijah memberikan kesan bermakna walaupun wataknya kecil sahaja.

Pembaharuan bantu Taiyuddin dalami watak

Sementara Taiyuddin Bakar yang memegang watak Bilal bin Rabah berkata karektor tersebut tidak memberikan kesan kepadanya memandangkan dia pernah membawakan watak tersebut di dalam Muzikal Sirah Junjungan yang pertama dahulu.

Namun begitu, persekitaran, kualiti muzik, dan latar set sedikit-sebanyak membantunya untuk menghayati watak dengan tersebut dengan lebih baik.

“Kata orang, persekitaran, kualiti muzik dan latar set memberi sedikit perubahan kepada dalaman saya. Benda tu memberi kesan,” ujar Taiyuddin yang turut seronok apabila berlakon dengan para pelakon yang lebih ramai kali ini.

Menurut pihak penganjur, Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia, seramai 250 orang pelakon yang menyertai Muzikal Sirah Junjungan Tahajud Cinta ini.

Keperibadian dan ketokohan Saidina Ali pikat Syukor

Aktor Syukor Ibrahim pula diberikan watak sahabat Nabi Muhammad, Saidina Ali.

Pertama kali ditemukan dengan Eirma, Syukor yang pernah membintangi Muzikal Patriot sebelum ini pada mulanya ditawarkan untuk membintangi salah satu daripada dua watak yang kosong ketika itu.

“Selepas itu, Kak Eirma berkata saya patut mengambil watak Saidina Ali.

“Jadi, saya menerimanya kerana keperibadian dan ketokohan yang dimiliki oleh Saidina Ali.

“Yang keduanya, watak tersebut pernah dilakonkan oleh pelakon hebat iaitu Azri Iskandar. Tanggungjawab itu amat besar untuk dipikul oleh saya.

“Jadi, saya cuba membawakan watak itu sebaik mungkin,” tutur Syukor.

Giat Syukor, kesan daripada lakonannya, dia semakin dekat dengan watak dan perjuangan Saidina Ali.

“Watak tersebut juga membantu saya meningkatkan syiar Islam.

“Saya berharap supaya mereka yang menonton teater ini pada tahun lepas supaya tidak nampak perbezaan antara saya dan Azri. Saya akan bawa watak Saidina Ali dengan cara tersendiri.

“Saya akui yang Azri merupakan seorang pelakon yang versatil manakala saya masih baru di dalam industri untuk membawakan watak seberat ini,” beritahunya yang teruja apabila diberi peluang membawakan watak tersebut.

Jelas Syukor, walaupun sumbangannya dianggap kecil, namun dia tetap berniat untuk membantu memperingati perjuangan Rasulullah.

Cerita Syukor, antara babak yang mencabar dirinya ketika dia menggantikan tempat tidur Nabi Muhammad.

“Waktu itu, Abu Talhah mencabar Nabi berperang. Saya perlu menunjukkan gestur dalam keadaan membela Nabi dengan penuh kemarahan.

“Susah juga saya hendak berteriak ‘hei, Talhah yang sombong.’.

“Namun, dengan input dan bantuan pelakon lain seperti Jeganathan, Jesse Lim, Wong Sip Neng, Aman Graseka, Yus Waisar dan Sahronizam, saya mampu menghidupkan watak,” tambahnya yang sempat berlatih kira-kira tiga minggu lalu.

Saksikan Muzikal Islam Sirah Junjungan Tahajud Cinta mulai 9 hingga 22 Mac di Istana Budaya, Kuala Lumpur, pukul 8.30 malam.

Tiket dijual pada harga RM30, RM50, RM80, RM100 dan RM150.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain