suria

Joeza risau mengarah ‘3 Janda’?

Antara barisan pelakon drama '3 Janda'. -foto The Star oleh SAHAR MISNI
Antara barisan pelakon drama '3 Janda'. -foto The Star oleh SAHAR MISNI
Antara barisan pelakon drama '3 Janda'. -foto The Star oleh SAHAR MISNI

JIKA melihatkan bakat dan pengalamannya dalam bidang pengarahan drama, Nor Jauza Rasidi atau Joeza mesti sudah yakin untuk mengarah drama seterusnya jika diberikan tawaran.

Antara drama yang pernah diarahkan olehnya sebelum ini adalah Renjis musim pertama, Cerita Hantu Singapura, 2 Kali Aku Mencintaimu, dan Hartamas (pengarah jemputan).

Namun sebaliknya berlaku tatkala dia ditawarkan mengarah drama ‘3 Janda’ terbitan MIG Beats Sdn. Bhd.

Skrip drama 13 episod ini ditulis oleh Siti Jasmin manakala idea asal ceritanya datang daripada isteri produser David Teo iaitu Jane Lim.

“Apabila melihat tajuk dramanya, saya ingatkan ceritanya ala-ala ‘gedik’.

“Jadi, pada mulanya setelah mendapat tawaran drama ini, saya rasa risau juga.

“Tetapi apabila telah membaca skrip yang ditulis oleh Siti Jasmina Ibrahim, saya kaji watak-watak dalam cerita itu ok.

“Saya suka watak-watak wanita yang ditonjolkan dalam drama itu kerana saya suka bermain dengan karektor perempuan.

“Dengan skrip yang baik dan artis yang ada, saya lihat mereka ini boleh pergi jauh,” komen Joeza mengenai drama yang dibintangi oleh Rozita Che Wan, Lisa Surihani dan Norliyana Samsudin ini.

Jelas Joeza, dia tidak terkejut apabila mengetahui watak janda disandang oleh pelakon seperti Rozita Che Wan.

“Namun begitu, saya terkejut apabila Liana dan Lisa juga akan berlakon watak janda di dalam drama ini.

“Berdasarkan sesi ujibakat yang dilakukan, mereka telah menyampaikan lakonan mengikut garis sepatutnya dan semuanya bagus.

“Lisa melakonkan watak seorang anak kedua yang berperangai baik manakala Liana merupakan anak bongsu dan janda ‘gedik’,” ulasnya yang akan mengarah drama itu mengikut realiti yang berlaku di luar sana.

Tambah Joeza, walaupun jalan ceritanya nampak seperti serius, dia akan cuba menjadikan drama ini dalam bentuk ‘humor’ dan menarik.

“Drama ini bukan dikategorikan sebagai ‘drama berat’ sebaliknya ia akan memberikan suatu persepsi yang membuatkan penonton dapat menerima cerita yang akan disampaikan.

“Asas drama ini juga seolah-olah bergenre komedi. Cuma konflik di dalam drama ini sahaja yang kadangkala boleh membuatkan ia menjadi ‘berat’.

“Saya akan cuba adunkan drama ini menjadi seakan-akan drama Renjis dan Mertua Vs Menantu,” terang Joeza yang memasuki pengambaran drama tersebut pada 5 Mac lalu di sekitar Kuala Lumpur.

Drama ini merupakan satu idea yang cuba diketengahkan sebagai medium untuk memaparkan kisah kehidupan masyarakat yang berlaku dewasa ini.

Drama ini mengisahkan tentang tiga wanita dalam dunia metropolitan menduga kekuatan diri dan matlamat hidup. Mereka datang dari keturunan yang sama. Mereka tiga bersaudara yang sama didikan namun berbeza pendirian dan penampilan.

Ini kisah kehidupan tiga beradik iaitu Kartika, Intan dan Suria yang akhirnya mengalami nasib bergelar janda.

3 Janda turut dilakonkan oleh pelakon terkenal seperti Farid Kamil, Awal Ashaari, Khaty Fuziah dan Abu Bakar Omar.

3 Janda akan menggantikan slot yang sama dengan Mertua Vs Menantu mulai 22 April ini di Astro Prima (saluran 105) setiap Rabu pukul 10 malam.

Artikel Lain