suria

OIAM: Han tersingkir

Han menjadi peserta kedua tersingkir
Han menjadi peserta kedua tersingkir
Han menjadi peserta kedua tersingkir

[SEMASA] SHAH ALAM: Rehana Mohd Yunus atau Han menjadi peserta kedua tersingkir di dalam program realiti One In A Million musim kedua (OIAM) yang berlangsung di Sri Pentas 2, di sini, malam tadi.

Han gagal meraih undian secukupnya daripada penonton berdasarkan persembahannya pada minggu lalu, sekaligus melenyapkan hasrat peserta berusia 22 tahun itu untuk merangkul wang kemenangan RM1 juta.

Ditemui sejurus berakhirnya program itu, tutur Han, meskipun kecewa, dia tidak melihat penyingkirannya itu sebagai titik noktah untuk dirinya meneruskan perjalanan dalam bidang seni.

Menanggap undian penonton tidak menyebelahinya di dalam program ini, tambah Han, dia bagaimanapun bersyukur kerana rezekinya dalam bidang nyanyian nampaknya tidak akan berkubur begitu saja.

"Mungkin saya masih belum dikenali, sebab itu tidak ramai penonton ingin mengundi saya. Tetapi, ini tidak langsung membuatkan saya mengalah. Saya tetap akan teruskan perjuangan.

"Alhamdulillah, saya sudah mengikat kontrak dengan syarikat rakaman Metadome Sdn Bhd selama setahun dan akan menghasilkan album sulung berkonsepkan balada tidak lama lagi," ujar Han yang pernah menyertai Suara Emas Bintang RTM 2007 dan menang tempat ketiga.

OIAM musim baru ini masih mengekalkan Syafinaz Selamat dan Paul Moss sebagai juri tetap manakala penyanyi Jaclyn Victor pula telah diundang sebagai juri jemputan.

Dengan penyingkiran Han, maka 10 peserta yang berjaya meneruskan persembahan pada minggu ini ialah penyanyi kelahiran Akademi Fantasia, Amylea; juara Mentor musim pertama, Pija; Penyanyi Baru Terbaik AIM 2006, Rizu; vokalis kumpulan New Boyz, Tomok, vokalis kumpulan Coco, Nine serta lima peserta bukan artis iaitu Anith, Aweera, Esther, Simon dan Fify.

Aweera turut menerima imuniti daripada pihak juri berdasarkan persembahan menarik yang dilakukannya malam tadi.

Imuniti itu secara automatik melayakkan Aweera untuk terus beraksi di minggu seterusnya serta tidak perlu melalui proses undian daripada penonton.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain