suria

Lagu ‘Infiniti’ khas untuk Radhi OAG-Shazlin?

Radhi ketika ditemui di majlis pelancaran Festival Filem Malaysia ke-22 semalam. -foto The Star oleh DARRAN TAN
Radhi ketika ditemui di majlis pelancaran Festival Filem Malaysia ke-22 semalam. -foto The Star oleh DARRAN TAN
Radhi ketika ditemui di majlis pelancaran Festival Filem Malaysia ke-22 semalam. -foto The Star oleh DARRAN TAN

PERSENGKETAAN di dalam rumah tangga vokalis kumpulan OAG Mohd. Radhi Razali atau Radhi dengan Shazlin Shariff belum menunjukkan tanda-tanda mereka akan berbaik.

Namun,bagaimana jika maksud di sebalik persengketaan itu diterjemahkan ke dalam lirik lagu untuk menjernihkan keadaan?

Ini kerana Radhi sedang dalam proses merangka projek solo terbarunya di bawah ‘Radhio’ dengan merakam lagu berjudul ‘Infiniti’.

Selepas menyelami lirik lagu tersebut, Radhi akui ia sedikit-sebanyak menyentuh tentang kehidupan yang pernah dilaluinya dengan Shazlin sebelum ini.

Menurut Radhi, projek ini dibantu oleh pengarah muzik Edrie Hashim dari Neo Gendang Record.

Lagu tersebut dijangka keluar pada bulan depan dan Radhi berharap apa yang dirancang ini akan tercapai.

Anggap semua orang ‘cikgu'

“Saya tak mampu jaga diri-sendiri. Jadi, saya perlu ada seorang pengurus. Saya harus belajar dengan seseorang dahulu untuk membuat sesuatu itu dengan sendiri.

“Sebab itu saya anggap semua orang adalah ‘cikgu’. Misalnya, saya anggap jurutera bunyi, Hadie sebagai ‘cikgu’.

“Saya perlukan seseorang untuk membantu saya. Pihak Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) juga suka menolong saya dari segi masalah ‘show’,” tutur Radhi yang pernah menimbulkan kontroversi membuka baju sambil menayang dadanya di hadapan khalayak ketika membuat persembahan sebelum ini.

Jawab isu buka baju

Selepas insiden tersebut, Radhi belum sempat membuat penjelasan disebabkan sibuk dengan komitmen lain.

Jelasnya, dia tidak pernah mengelak untuk memberikan kenyataan sebaliknya mengambil langkah berdiam diri memandangkan dia tidak ‘digam’ oleh mana-mana pihak.

“Saya tak bersalah kerana saya rasa ia tidak melampaui batas. Saya juga tidak ‘digam’.

“Semasa hari saya membuat persembahan itu, tiba-tiba butang baju Melayu saya terbuka. Saya memang nak tutup tetapi disebabkan angin yang kuat menolak membuatkan insiden tersebut berlaku.

“Kebetulan gambar yang merakam insiden itu semasa butang baju saya terbuka. Saya bukan terus membiarkan butang itu terbuka sebaliknya menutupnya selepas itu.

“Saya pakai songkok ketika membuat persembahan bagi menunjukkan yang saya adalah ‘hero Melayu moden’.

“Saya rasa tak salah saya nak pakai songkok pada bila-bila masa pun kerana setahu saya orang yang memakai songkok ni dapat melindungi kepalanya daripada ‘diberak’ syaitan.

“Saya juga selesa dengan penampilan bersongkok dan berbaju Melayu,” jelasnya yang sedang menantikan tarikh daripada pihak Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya untuk menyelesaikan masalah penceraian yang dituntut oleh isterinya.

Enggan ceraikan Shazlin

Luah Radhi, kini sudah 14 bulan dia tinggal berasingan dan tidak berjumpa dengan isterinya.

“Isteri saya tinggal bersama dengan ibu dan bapanya. Saya ada juga cuba menghubunginya namun dia tidak mahu mengendahkan cakap saya.

“Puas saya pujuk supaya dia pulang ke rumah. Kalau dia nak saya berubah, saya akan sanggup buat apa sahaja asalkan dia tinggal sebumbung dengan saya.

“Jadi, sekarang ini saya hanya membuat kerja seni sahaja. Saya anggap perselisihan faham antara kami itu adalah perkara ‘natural’.

“Saya juga bersyukur apabila anak saya yang mengalami kemalangan sebelum ini berjaya diselamatkan,” ulas Radhi yang berjaya mendapatkan bantuan insurans yang di salurkan Prudential sebanyak RM24,000.

Ditanya kenapa dia tidak pernah menghadirkan diri ke mahkamah sebelum ini, Radhi menjawab dia tidak mendapat sapina yang memintanya hadir ke mahkamah.

“Saya tak wajib hadir dan tidak mahu bercerai. Saya kahwin hanya sebab dia. Jadi, dia kena percayakan saya. Dia perlu memahami kehidupan artis seperti saya.

“Mungkin silap saya kerana pernah sekali mencabar dia pergi ke mahkamah.

“Namun, niat nak lafaz cerai tiada sebab setiap kali saya praktis di rumah selalu tak menjadi.

“Saya akan tunggu dia. Saya juga akan ceritakan semua yang berlaku sebelum ini selepas projek lagu saya siap,” akhiri Radhi yang turut berharap supaya Shazlin mendengar lagu ‘Infiniti’ apabila ia diterbitkan nanti.

Artikel Lain