suria

OIAM: Prestasi merudum, Syafinaz anggap peserta 'menyalak'

Aweera menerima kritikan hebat daripada juri dan nyanyiannya turut dilabelkan seperti 'menyalak' oleh Syafinaz - foto THE STAR oleh AZMAN GHANI
Aweera menerima kritikan hebat daripada juri dan nyanyiannya turut dilabelkan seperti 'menyalak' oleh Syafinaz - foto THE STAR oleh AZMAN GHANI
Aweera menerima kritikan hebat daripada juri dan nyanyiannya turut dilabelkan seperti 'menyalak' oleh Syafinaz - foto THE STAR oleh AZMAN GHANI

PADA episod pembukaan minggu lepas, peserta-peserta One In A Million musim kedua (OIAM) menerima pujian cukup hebat daripada dua juri tetap program itu, Syafinaz Selamat dan Paul Moss. Tetapi entah mengapa, Jumaat lalu, prestasi hampir kesemua peserta nampaknya jatuh 'merudum' dan ternyata cukup menghampakan pihak juri.

Tidak tahu di mana silapnya, namun tema 'memori tercipta' yang dipilih dimana setiap peserta perlu menyanyikan lagu yang mampu mengimbau semula memori indah masing-masing nampaknya mengundang 'tragedi' terhadap beberapa peserta.

Lebih memeranjatkan apabila Syafinaz turut mengeluarkan perkataan 'menyalak' terhadap salah seorang peserta iaitu Aweera yang gagal menyampaikan lagu She's Gone dendangan Steel Heart dengan baik.

"Itu bukan menyanyi...menjerit pun bukan. Ia kedengaran seperti menyalak," komen Syafinaz sebaik peserta yang berimejkan rock itu selesai melakukan persembahannya.

Mungkin kedengaran agak kasar, apatah lagi peserta itu dikatakan kurang sihat dan mengalami pendarahan tekak, namun Syafinaz yang ditemui sejurus berakhirnya persembahan minggu kedua OIAM yang berlangsung di Sri Pentas 2, Shah Alam itu, akui perkataan tersebut terpacul gara-gara cukup kecewa melihat rata-rata persembahan yang gagal dilakukan dengan baik.

"Bukan hanya Aweera, tetapi saya amat kecewa dengan kebanyakan peserta malam ini. Minggu lepas kami memuji mereka bagai nak rak, tetapi minggu ini saya tidak faham kenapa prestasi menurun?

"Saya akui, mungkin kritikan saya agak kasar terhadap Aweera. Tetapi sejujurnya, saya lihat dia bukan menyanyi, tetapi memang seperti menyalak. Saya minta maaf jika ada yang tersinggung, tetapi itulah yang saya rasa.

"Saya sedar perlunya cakap berlapik, tetapi adakalanya orang tidak faham apa yang kita cuba sampaikan. Saya harap ini akan dapat mencabar peserta agar terus berusaha untuk memberikan yang terbaik.

"Ini adalah pertandingan. Kamu tidak boleh beri alasan kepada penonton bahawa kamu sedang sakit. Saya faham manusia memang akan sakit, tetapi kamu kena ingat yang kamu sedang menyertai pertandingan, jadi kenalah jaga kesihatan," kata Syafinaz dalam nada kecewa.

Sebelas peserta yang masih kekal telah menyampaikan lagu yang mempunyai kenangan tersendiri di dalam hidup mereka. Norhidayu Md.Tekhary atau Ayu bagaimanapun gagal menyertai 11 rakannya itu setelah diumumkan tersingkir di awal program kerana gagal meraih undian secukupnya daripada penonton berdasarkan persembahannya pada minggu lalu.

Turut berada di tiga tangga terbawah pada awal program itu ialah Amylea dan Pija.

Namun, Amylea bangkit pada persembahan baru-baru ini setelah terselamat daripada penyingkiran menerusi lagu ciptaannya sendiri, Akan Tiba yang mana naib juara Akademi Fantasia musim ketiga ini turut menerima imuniti daripada juri tetap serta seorang juri jemputan iaitu penyanyi Salamiah Hassan.

Imuniti itu secara automatik melayakkan Amylea untuk terus beraksi di minggu seterusnya serta tidak perlu melalui proses undian daripada penonton.

Selain Amylea, turut menampilkan persembahan yang baik ialah Simon, Esther dan Fify. Masing-masing menyampaikan lagu Knocking On Heavens Door, Mengenangmu dan Tak Tercapai Akalmu.

Turut memberikan persembahan yang tidak menghampakan ialah Han, Rizu, Anith, Tomok dan Pija. Tetapi tidak seperti minggu lalu, peserta-peserta ini kurang menyerlah gara-gara lagu yang dilihat kurang sesuai dibawakan oleh mereka meskipun masing-masing tidak dinafikan mempunyai mutu vokal yang cukup hebat.

Aweera dan vokalis kumpulan Coco, Nine nampaknya gagal mempamerkan persembahan yang baik pada malam itu. Aweera, peserta yang mengenengahkan genre rock ini seperti hilang 'punca' tatkala menyampaikan lagu She's Gone.

Apa yang jelas kedengaran hanyalah 'jeritan' rock, tetapi nampaknya masih tidak 'menjadi' sehingga membuatkan Syafinaz meluahkan perkataan 'menyalak', sebagai menjelaskan cara nyanyiannya itu.

Begitu juga yang terjadi pada Nine yang dilihat terus mempamerkan persembahan yang menghampakan sejak minggu lalu. Dari segi vokal, Nine tidak menghadapi banyak masalah, tetapi minggu ini, persembahan peserta ini semakin 'teruk', lebih-lebih lagi dengan pemilihan lagunya yang dianggap juri adalah salah.

Mengulas lanjut tentang penurunan prestasi peserta minggu ini, kata Syafinaz, selain kesilapan memilih lagu yang tidak relevan, menarik, tepat dan tidak melambangkan identiti masing-masing, ia juga dilihat berpunca dari sikap sesetengah peserta yang lebih gemar merujuk kepada keluarga masing-masing dalam pemilihan lagu, berbanding pemuzik-pemuzik profesional program itu.

"Dari 'feedback' yang saya dapat, ramai peserta lebih suka merujuk kepada keluarga mereka.

"Tidak salah untuk mereka berbuat demikian, tetapi di dalam program ini kita mempunyai pemuzik yang bagus seperti Aubrey Suwito yang mana mereka lebih tahu untuk cari halatuju peserta-peserta ini," luah Syafinaz.

Dia bagaimanapun menyangkal bahawa tema lagu minggu ini yang menjadi punca utama membawa kepada kemerosotan prestasi peserta.

"Saya rasa tidak ada masalah dengan tema yang diletakkan minggu ini asalkan mereka pandai memilih lagu. Sebenarnya, lagu yang mereka pilih itu perlulah melambangkan diri masing-masing.

"Memang benar lagu yang mereka sampaikan itu mungkin ada memori tersendiri. Tetapi sepanjang 18 hingga 20 tahun mereka hidup, takkan hanya itu saja lagu yang ada memberikan memori kepada mereka? Pasti ada banyak lagi memori dan sepatutnya lagu itu dapat disesuaikan dengan diri mereka," kata Syafinaz lagi.

Disebabkan persembahan rata-rata peserta yang kurang memberangsangkan minggu ini, ada juga pihak yang merasakan sistem imuniti patut dihapuskan, berdasarkan komen yang diberikan oleh penonton secara online. Namun, idea itu bagaimanapun tidak dipersetujui oleh Paul Moss.

"Setakat ini, saya rasa masih ada peserta yang layak untuk menerima imuniti. Jadi, saya rasakan sistem imuniti ini tidak patut dihapuskan," kata Paul.

Syafinaz bagaimanapun tidak menafikan, imuniti mungkin tidak akan diberikan jika persembahan peserta pada minggu-minggu seterusnya masih di tahap yang tidak memuaskan.

"Tidak mustahil pada minggu tertentu kita tidak berikan imuniti, andai kata tiada peserta pun yang mempamerkan persembahan yang bagus," tutur Syafinaz.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain