suria

“Kerusi panas”: Program baru BERNAMA Radio 24 bakal menghangatkan gelombang radio

KUALA LUMPUR: BERNAMA Radio24 akan melancarkan program baru mulai Mac 2009. Program yang dinamakan “Kerusi Panas” itu akan menampilkan personaliti pelbagai bidang sebagai tetamu termasuk politik, perniagaan, kemasyarakatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), seni dan sukan.

Ketua Pegawai Operasi stesen radio berita itu, Sheikh Raffie Abd Rahman berkata, setiap hari personaliti tertentu akan diletakkan di “Kerusi Panas” dan diajukan soalan-soalan yang relevan dan telus.

“Kerusi Panas” akan ke udara pada slot 2:15 petang dan 6:30 petang Isnin hingga Jumaat.

Dalam pada itu, pendengar juga dijemput untuk memberikan cadangan soalan atau tetamu untuk diletakkan di “Kerusi Panas.”

“Objektif program ini ialah untuk memberikan ruang dan kesempatan kepada personaliti tertentu untuk menjawab soalan-soalan yang sering dilontarkan oleh masyarakat,” tambah Sheikh Raffie.

Selain itu pendengar akan mendengar sendiri jawapan kepada soalan yang menjadi perbincangan hangat di kalangan masyarakat.

"BERNAMA Radio24 sering mencari kelainan dalam penstrukturan programnya," kata Sheikh Raffie.

"Dalam hal ini, kami sentiasa memastikan kepuasan pendengar menjadi keutamaan, dan dalam senario politik dan ekonomi masakini, BERNAMA Radio24 berharap dapat memainkan peranan sebagai satu platform untuk menghuraikan isu sebenar sesuatu persoalan."

Menurut Sheikh Raffie lagi, ide “Kerusi Panas” timbul setelah beberapa personaliti sering berhadapan dengan isu kontroversi yang kadangkala tidak dapat ditepis kerana kekurangan ruang pada media lain yang berkonsepkan format tertentu.

Program “Kerusi Panas” akan diterajui hos berkaliber dan berpengalaman, antara lain ialah Datuk Seri Azman Ujang, Penasihat Media BERNAMA.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain