suria

OIAM: Permulaan cemerlang, perkenal konsep imuniti

Esther merupakan peserta pertama menerima imuniti bagi minggu ini - foto THE STAR oleh KAMARUL ARIFFIN
Esther merupakan peserta pertama menerima imuniti bagi minggu ini - foto THE STAR oleh KAMARUL ARIFFIN
Esther merupakan peserta pertama menerima imuniti bagi minggu ini - foto THE STAR oleh KAMARUL ARIFFIN

TIRAI One In A Million musim ketiga (OIAM) nampaknya dibuka dengan cukup 'bergaya' pada Jumaat lalu. Dua belas peserta yang berentap pada musim ini untuk merangkul wang kemenangan sebanyak RM1 juta nyata mempunyai keistimewaan tersendiri, meskipun episod persaingan baru saja dimulakan.

Melihat kepada persembahan setiap peserta terbabit, tidak salah jika dikatakan OIAM kali ini bakal mencetuskan 'fenomena' tersendiri jika semua peserta tersebut mampu mengekalkan momentum persembahan dan vokal yang hebat, walaupun setiap minggu program ini juga akan turut menyaksikan penyingkiran peserta.

'Enam vs enam' - yang menunjuk kepada persaingan antara enam artis dan enam peserta bukan artis juga menjadi tarikan utama program realiti yang telah melahirkan bakat-bakat seperti Faizal Tahir, Suki, Ayu dan Shila ini.

Penyanyi kelahiran Akademi Fantasia, Amylea; juara Mentor musim pertama, Pija; Penyanyi Baru Terbaik AIM 2006, Rizu; tempat ketiga Suara Emas Bintang RTM 2007, Han; vokalis kumpulan New Boyz, Tomok dan vokalis kumpulan Coco, Nine membuktikan bakat mereka mengatasi populariti apabila mempamerkan saingan yang cukup hebat dengan enam peserta bukan artis iaitu Anith, Aweera, Ayu, Esther, Simon dan Fify yang juga berjaya menunjukkan 'taring' masing-masing.

Pemilihan 12 peserta ini sebagai finalis OIAM musim terbaru ini memang dilihat antara 'batch' terbaik setakat ini.

Menariknya juga, kali ini konsep imuniti turut diperkenalkan - peserta yang berjaya melakukan persembahan yang terbaik berdasarkan pemilihan juri tetap iaitu Paul Moss dan Syafinaz Selamat akan menerima imuniti dan secara automatik layak ke minggu seterusnya serta tidak perlu melalui proses undian daripada penonton.

Mengulas mengenai elemen baru yang dianggap 'kejutan' seperti yang diumumkan pada malam itu, kata Ketua Pegawai Eksekutif 8TV, Ahmad Izham Omar, konsep imuniti ini sebenarnya ingin dilakukan sejak OIAM musim lalu, namun pihak produksi tidak dapat berbuat demikian kerana faktor-faktor tertentu.

"Bagus juga kita adakan konsep imuniti ini kerana yang pastinya ia akan menggalakkan peserta bekerja dengan lebih keras untuk memantapkan persembahan mereka saban minggu.

"Kita juga sengaja perkenalkan elemen ini untuk memberi lebih 'drama' terhadap program ini, selain untuk tunjukkan kepada penonton peserta mana yang dilihat hebat di mata juri," ujar Izham pada sidang media sejurus persembahan semua peserta tersebut pada minggu pertama OIAM yang berlangsung di Sri Pentas 2, Shah Alam, Jumaat lalu.

Peserta dari Kota Kinabalu, Sabah, Elizabeth Applunius Chin atau mesra disapa Esther muncul peserta pertama diberikan imuniti oleh Syafinaz dan Paul pada malam tersebut berdasarkan kemantapan persembahan vokalnya yang cukup menyerlah menerusi lagu Better In Time, yang dipopularkan oleh Leona Lewis.

"Esther adalah penyanyi yang hebat. Kemampuannya mempamerkan persembahan vokal yang 'ekstra' membuatkan kami terpikat untuk memilihnya. Jika bukan Esther yang dipilih, saya rasa Pija adalah seorang lagi peserta yang layak," kata Syafinaz.

Esther yang ditemui juga melahirkan rasa terkejut apabila diumumkan sebagai penerima imuniti, lebih-lebih lagi apabila melihat saingan yang cukup hebat daripada 11 peserta lain.

"Sebenarnya, semua peserta tidak tahu tentang imuniti tersebut. Ia adalah satu kejutan buat kami. Apapun, saya menganggap ini sebagai pembakar semangat untuk terus melakukan yang terbaik," kata peserta berusia 21 tahun ini.

Esther, Pija menyerlah

Secara keseluruhannya, minggu pertama OIAM berjaya menampakkan kesungguhan setiap peserta menyampaikan lagu mereka dengan cukup baik.

Sukar untuk membandingkan mereka dari aspek vokal, kerana masing-masing jelas mempunyai kekuatan tersendiri.

Namun tidak dinafikan, ada juga peserta yang dilihat kurang 'menyerlah' di dalam persembahan awal mereka ini...mungkin juga disebabkan faktor 'nervous'. Masih ada ruang untuk mereka perbaiki sebelum penyingkiran pertama akan dibuat pada minggu hadapan.

Di antara 12 peserta tersebut, Esther dan Pija dilihat berjaya mengatasi 10 peserta lain, jika diukur dari segi vokal dan persembahan pentas secara keseluruhannya. Esther mempertaruhkan keunikan suaranya, manakala Pija pula bijak menguasai pentas dengan persembahan yang cukup 'energetic' serta mutu vokal yang baik menerusi Lagu Untukmu, dendangan Meet Uncle Hussein.

Tidak ketinggalan Amylea yang menyampaikan lagu Aku Skandal, Simon (Home), Fify (If I Were A Boy), Han (Menjaga Hati) dan Rizu (Juwita Citra Terindah).

Persembahan mantap turut dipamerkan oleh Aweera, peserta yang mengenengahkan imej rock melalui lagu popular Amy Search, Aku Dah Bosan. Vokalis New Boyz, Tomok juga membuat 'kejutan' dalam OIAM kali ini apabila berjaya menampakkan kematangan dari segi vokal.

Bak kata Syafinaz, "Awak 'natural' di atas pentas. Suara awak sudah dewasa dan dah hilang 'sengau' macam dulu," komen penyanyi tersebut.

Anith, Ayu dan Nine juga menampilkan persembahan vokal yang tidak menghampakan. Namun, ketiga-tiga peserta ini masih dilihat kurang 'menyerlah' walaupun masing-masing mempunyai kemampuan vokal yang tidak jauh beza hebatnya dengan peserta lain.

Cuma mungkin corak persembahan mereka yang tidak cukup meninggalkan 'impak' kepada penonton dan juri!

Mengulas mengenai persembahan peserta-peserta ini, kata Syafinaz, secara keseluruhannya, dia dan Paul sememangnya berpuas hati dengan apa yang dilakukan oleh semua peserta tersebut.

"Hampir 90 peratus semuanya bagus. Tapi, memang saya tidak nafikan ada juga sedikit kecewa dengan beberapa peserta yang tidak buat sehabis baik dalam persembahan minggu ini.

"Kelemahan yang saya nampak ketara ialah perasaan gementar mereka. Apa yang saya harap, minggu depan semua peserta akan buat yang lebih bagus. Tetapi, saya memang bangga dengan seleksi 12 peserta OIAM kali ini yang saya rasakan memang layak untuk berada di sini," kata Syafinaz.

Artikel Lain