suria

Fasha akui telah dirisik, enggan komen tentang Rizal

Wajah terbaru Fasha Sandha ketika menghadiri majlis pengumuman lima finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 di Seri Kembangan semalam. -foto mStar oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ
Wajah terbaru Fasha Sandha ketika menghadiri majlis pengumuman lima finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 di Seri Kembangan semalam. -foto mStar oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ
Wajah terbaru Fasha Sandha ketika menghadiri majlis pengumuman lima finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 di Seri Kembangan semalam. -foto mStar oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ

MUNGKIN gelaran yang sesuai buat pemilik bernama Fasha Sandha Hassan ini ialah Ratu Kontroversi! Lihat saja kisahnya yang terpampang di media, semuanya lebih kepada cerita-cerita 'panas'.

Setelah insiden diboikot media, nama Fasha nampaknya kembali hangat berikutan kisah hubungan intimnya dengan bekas suami pelakon Nora Danish, Rizal Ashram Ramli.

Walaupun Fasha berkali-kali menafikan tentang ‘gosip’ tersebut, namun sukar untuk dirinya menangkis cerita-cerita yang timbul apatah lagi sudah banyak bukti yang ditunjukkan.

Bukan berniat mahu melaga-lagakan mana-mana pihak, tetapi berdasarkan reaksi Fasha apabila menjawab soalan tentang dia dan Rizal dikatakan bercuti ke Thailand pada 29 Januari hingga 2 Februari lalu, ia seolah-olah mahu mencetuskan suatu sandiwara.

Apabila sampai di Lapangan Terbang Kuala Lumpur, pasangan ini berjalan berasingan lalu Fasha menafikan dia dan Rizal bercuti bersama sebaliknya mengatakan dia dan pengurusnya, Nik Yasmin baru pulang dari Pattaya.

Ramai yang berpendapat aktres ini cukup bijak memutarbelitkan fakta, semata-mata untuk 'menyelamatkan' diri.

“Saya tak mahu cakap ya atau tidak. Apa-apa pun bagi masa kepada saya untuk menjawab soalan itu selepas ini,” komen Fasha yang ditemui semalam.

Fasha juga menafikan dakwaan yang mengatakan dia sedang sibuk membuat persiapan perkahwinan dengan Rizal.

“Sumpah, demi Allah, saya tidak pernah membuat persiapan perkahwinan.

“Saya juga tidak ada berjumpa dengan Rizal," katanya.

Namun begitu, pelakon jelita ini mengaku ada satu rombongan yang datang merisiknya tempoh hari.

“Baru-baru ini memang ada orang datang merisik saya tetapi saya rasa tak perlulah diberitahu siapakah orangnya kerana ia terlalu peribadi.

“Insya-Allah, saya akan beritahu tentang hal ini nanti. Mungkin dalam tahun ini atau tahun depan,” ujar gadis berasal dari Pulau Pinang ini.

Fasha turut berjanji untuk memberitahu media tentang soal perkahwinan itu apabila dia betul-betul bersedia nanti.

Tambah Fasha, dirinya mungkin sudah bersedia untuk mendirikan rumahtangga namun calonnya belum ada lagi.

“Insya-Allah, kalau ada jodoh saya nak kahwin dalam tahun ini tetapi saya sedang melalui proses ‘pemilihan’.

“Sekarang, semua lelaki yang saya kenali adalah kawan saya kerana saya mahu pastikan yang mana bagus dan sesuai untuk dijadikan suami.

“Lelaki yang datang merisik itu juga termasuk di dalam kategori kawan saya.

“Saya dah lama berkawan dengannya,” kata wanita berusia 25 tahun ini.

Sejauh mana artis yang dicalonkan untuk kategori Pelakon TV Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 ini bersedia untuk berkahwin, Fasha optimis yang petanda itu menunjukkan ke arah positif.

“Saya tak boleh cakap bila nak kahwin. Tetapi jika ditanya tentang perasaan saya sekarang, memang saya gembira walaupun orang menulis cerita yang baik atau buruk tentang saya,” ucap Fasha yang memilih untuk membuat majlis perkahwinannya di Kuala Lumpur dan Perlis.

Olah Fasha, tidak perlulah dia bersedih hati kerana dia telah memilih untuk mengambil pedoman di atas pengalaman lalu.

“Misalnya, isu sebelum ini membuatkan saya lebih berhati-hati. Saya fikir mesti ada hikmahnya.

“Saya bersyukur kerana para wartawan telah memberi kemaafan dan menunjukkan tanda-tanda positif kepada saya. Misalnya akhbar BH masih mencalonkan saya sebagai tanda sokongan.

“Pengalaman lepas banyak memberi ruang kepada saya untuk belajar sesuatu. Insiden lepas memang memberikan tekanan sebab itu membuatkan saya termarah dan beremosi.

“Sebagai manusia, kita perlu saling bermaafan,” luah Fasha.

Dalam masa yang sama, Fasha turut mengulas gosip yang mendakwa dia pernah mengalami stres yang teruk sehingga terpaksa mendapatkan rawatan mental di hospital.

“Saya tidak pernah dimasukkan ke hospital disebabkan tekanan. Tetapi, tiga hari lepas, saya ada pergi ke Bagan Specialist Centre di Pulau Pinang kerana melawat bapa kawan baik saya, Syazana yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi disebabkan penyakit tenat akibat masalah jantung,” komen pelakon filem Cicakman dan Cicakman 2 ini.

Dari segi perancangan karier, Fasha mahu menyelesaikan kerja-kerjanya satu-persatu dan barulah akan memikirkan hal yang lain.

“Sekarang, saya sibuk dengan karier seni saya. Saya baru selesai penggambaran drama Keliwon (TV3) dan Air Mata Azizah (RTM).

“Selepas ini, saya bersedia untuk cerekarama Suram Gaun Pengantin (TV3) di mana saya memegang watak seorang yang berpenyakit HIV positif.

“Pada awal bulan Mac nanti, saya akan terlibat dengan pengambaran drama bersiri Cuci The Series.

“Tentang filem, pada bulan April nanti baru saya akan mula berlakon semula. Buat masa ini, saya tidak boleh beritahu tentang filem apa kerana saya masih belum mendapat skripnya.

“Selain itu, filem seterusnya masih di dalam perancangan. Lagipun, tahun ini tidak ramai yang menawarkan filem kerana masalah kegawatan ekonomi,” akhiri Fasha.

Artikel Lain