suria

OIAM 3: Bakat Esther, Amylea paling 'digeruni'?

Dua belas peserta terbaik One In A Million musim ketiga. -foto The Star oleh ONG SOON HIN
Dua belas peserta terbaik One In A Million musim ketiga. -foto The Star oleh ONG SOON HIN
Dua belas peserta terbaik One In A Million musim ketiga. -foto The Star oleh ONG SOON HIN

PERSAINGAN antara peserta program One In A Million musim ketiga (OIAM 3) kali ini ternyata memberikan saingan yang sengit bilamana ramai di kalangan mereka adalah hebat-hebat belaka.

Buktinya, juri tetap Paul Moss yang telah menghakimi OIAM selama dua musim berturut-turut itu juga mengakui kenyataan tersebut.

Kata Paul, setiap peserta yang terpilih itu mempamerkan ‘jenama’ mereka tersendiri.

Disebabkan itu, sukar untuk dia membuat jangkaan tentang siapakah yang bakal memenangi pertandingan sengit itu.

Bagaimanapun, Paul berkata tidak sukar untuk dia dan Shafinaz membuat keputusan ketika proses pemilihan 12 peserta terbaik itu.

Mereka adalah Nasharul Aweera Noriyissham (Aweera), Norafizah Mohd. Yasin (Pija), Muhammad Ridzuan Sharifuddin (Rizu), Anith Aqilah Sulaiman Lim (Anith), Nurhidayu Md. Tekhary (Ayu), Shah Indrawan Ismail (Tomok), Zulqarnain Jaafar (Nine), Fify Emielia Shazlin Ahmad Murshaidi (Fify), Simon Christopher (Simon), Rehana Mohd. Yunus (Han), Amylea Azizan (Amylea) dan Elizabeth Applunius Chin (Esther).

“Secara jujurnya, OIAM 3 adalah musim yang sangat baik dan sukar untuk saya mensasarkan siapa yang bakal memenangi program ini kerana keyakinan peserta yang menunjukkan persembahan di sini dan di pentas nanti adalah berbeza.

“Shafinaz sendiri mengatakan pertandingan ini sangat sengit,” kata Paul.

Namun begitu, Paul sempat memberikan komen mengenai beberapa peserta yang telah menonjolkan sedikit persembahan mereka semasa majlis sidang media program realiti itu di Menara Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Rata-rata ramai antara 12 peserta OIAM 3 menunjukkan persembahan yang baik dengan lontaran vokal yang memukau penonton lalu bergemalah sorakan dan tepukan gemuruh memenuhi ruang bilik itu.

Namun, apabila melihat senarai latar belakang masing-masing, kebanyakan daripada 12 peserta itu memberitahu tercabar dengan Esther dan Amylea.

“Esther mempunyai sedikit keistimewaan yang luar biasa. Apabila menyanyi, dia sangat ‘real’.

“Simon juga mempunyai auranya tersendiri. Amylea dan Tomok juga mempunyai cara tersendiri.

“Secara keseluruhannya, mereka semua memang layak memasuki OIAM 3 dan mampu menang,” jelas Paul.

Yang pasti, Paul mensasarkan setiap peserta mampu bersaing secara sihat dan mengharapkan mereka semua mampu mencapai impian masing-masing selepas ini.

Esther pikat hati Paul

Esther atau Elizabeth Applunius Chin, 22, sudah bergelar penyanyi di negeri kelahirannya, Kota Kinabalu, Sabah sebelum menjejaki program realiti ini.

Menurut gadis yang meminati muzik modern blues, R&B, Soul dan Jazz Fusion ini, dia pernah mempunyai album bahasa Kadazan-Dusun di Sabah pada tahun 2005. Walaupun begitu, Esther masih gerun untuk menyertai program ini setelah mengetahui dia bakal bersaing dengan ramai artis kelak.

“Saya berasa tergugat, tidak yakin dan tidak senang duduk apabila berada di top 20. Semuanya bermain di fikiran saya apabila mendapat tahu ramai di kalangan peserta yang terpilih adalah daripada kalangan artis.

“Saya takut sebab lagu penyanyi yang sedia ada selalu berkumandang di radio dan ramai orang telah mengenali mereka.

“Apabila saya melihat ramai sudah tersingkir, perasaan bimbang mula hilang dan takut pula hendak mengalah.

“Saya masih ingat lagi Paul ada memberitahu saya selepas saya menyanyikan lagu terakhir, dia kata saya nampak tua dari dahulu hingga sekarang.

“Selepas saya menyanyikan lagu Super Woman, dia ‘impress’ dengan cara nyanyian saya dan merasakan seolah-olah saya sedang mengalami situasi dalam lagu itu,” beritahu Esther yang merasakan Aweera, Amylea, Rizu dan Pija merupakan antara pesaing terdekatnya. Esther bagaimanapun berasa bertuah apabila dapat bersaing sekali dengan Amylea di mana sebelum ini dia pernah mengundi penyanyi kelahiran Akademi Fantasia 3 (AF3) itu semasa di dalam AF.

“Jika dulu saya meminati Amylea tetapi kini kami sama-sama bersaing dan berkongsi bilik lagi bersamanya serta Fifi dan Ayu,” luah Esther yang pernah mempunyai pengalaman menyandang gelaran juara dalam pertandingan Bintang Kecil Kebangsaan RTM 1998.

Cerita Esther, dia pernah mengikuti ujibakat AF sebanyak tiga kali namun semuanya kecundang gara-gara masalah ‘over’.

“Semasa ujibakat AF yang pertama, juri mengatakan saya terlalu yakin. Jadi, sebab itu tidak terpilih.

“Kali keduanya, iaitu pada tahun lalu, saya dikatakan ‘over feel’ lagu yang dinyanyikan.

“Jadi, apabila layak memasuki pertandingan kali ini, saya mendapat satu ‘point’ untuk membuktikan yang saya tidak ‘over feel’ dan ‘over confident’ lagi,” tutur peserta yang mengagumi penyanyi Anita Baker ini.

Selain mempunyai vokal yang mantap, Esther turut menyedari keistimewaan jari ‘kontot’ di kakinya membawa tuah mengikut kepercayaan moyangnya.

“Saya tidak malu dengan jari ini malah merasakan ia memberikan tuah kepada saya.

“Oleh itu, saya akan mempersiapkan mental yang kuat sehingga ke setiap konsert mingguan nanti.

“Sekarang ini memang saya berasa sedikit tertekan disebabkan saya perlu memilih dua buah lagu ‘in advance’ sebelum dipilih untuk dinyanyikan di konsert nanti,” kata anak kelima daripada lapan beradik ini.

Amylea curah bakat terpendam

Sebelum memasuki AF3, Amylea Azizan, 23, bukanlah sesiapa di dalam industri seni ini.

Sebaliknya, ketika menyertai OIAM 3, statusnya di dalam program yang dihoskan oleh Marion Counter dan Awal Ashaari ini dikenali sebagai artis dan figura yang dikenali.

“Saya berasa gembira dan teruja apabila terpilih di dalam OIAM 3.

“Secara kesimpulannya, semasa AF dulu saya masih zero tetapi sekarang saya sudah mempunyai pengalaman berganda dalam bidang muzik selepas belajar selama tiga tahun.

“Lagipun pelajaran yang saya akan lalui selepas ini pasti berbeza berbanding sebelum ini.

“Matlamat saya di dalam bidang ini juga lebih tepat cuma saya perlu fikirkan tentang sasarannya,” ulas Amylea yang mengaku menyertai OIAM 3 kerana bukan kerana kecewa dengan Maestro Talent.

Hujahnya, dia perlukan wang RM1 juta itu untuk menyempurnakan dirinya sebagai artis.

“Saya bukan hanya ingin bergelar seorang penyanyi tetapi kalau boleh saya inginkan lebih daripada itu.

“Oleh itu, saya akan cuba meningkatkan kekuatan mental kerana kini saya sudah merasa tekanan lebih hebat lagi daripada menyertai AF dulu.

“Jadi, saya tidak akan berhenti belajar dan menganggap diri ini masih golongan ‘freshies’ seperti dulu,” ujar Amylea yang merasakan Nine merupakan pesaing terdekatnya disebabkan mereka mempunyai latar belakang yang sama.

Kata Amylea, Nine sama-sama bergelar penyanyi dan merupakan seorang penulis lirik sepertinya.

“Nine juga profesional dan mempunyai pakej manakala Esther pula merupakan pesaing terdekat saya dari segi vokal,” kata komposer dan penulis lirik lagu Akan Tiba nyanyian Alif Satar ini.

Menurut Amylea, jika diberikan kebenaran menyanyikan lagu ciptaannya di dalam OIAM, mungkin dia akan berbuat demikian nanti.

“Setakat ini, saya belum diberikan kebenaran. Namun, saya pernah menyanyikan lagu Akan Tiba semasa ujibakat hari itu,” giat Amylea yang menumpukan 80 peratus masanya untuk OIAM 3.

Saksikan Konsert Mingguan OIAM 3, secara langsung dari Sri Pentas 2, Shah Alam, mulai 20 Februari ini, setiap Jumaat, pukul 9.30 malam di 8TV!

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain