suria

Mas: "Saya masih menjaga maruah orang walaupun maruah saya tercemar"

SUKAR untuk menyelami apa yang berada di dalam fikiran penyanyi kelahiran Akademi Fantasia 2 (AF2) Asmah Ghani atau Mas, 28 yang kini berada di Tawau, Sabah selepas keluar daripada Wad Psikiatri, Hospital Kuala Lumpur (HKL) baru-baru ini.

Ketika dihubungi, Mas berkata kehidupannya dalam keadaan baik, tenang dan gembira di samping anak-anak serta ibu dan bapanya.

Di samping itu, Mas juga meluahkan yang dia semakin mengenali diri-sendiri dan mempelajari banyak perkara daripada pengalaman lalu.

Setiap soalan yang ditanya dijawab dengan baik dan sekali-sekala terkeluar gelak kecil Mas.

Ikuti temubual bersama wanita ini bagi menyelami perasaannya di sebalik sandiwara yang berlaku sekarang.

Semasa Kak Mas di dalam Wad Psikiatri di Hospital Kuala Lumpur tempoh hari, kenapa kakak menyatakan tidak mahu berjumpa dengan Ketua Pegawai Operasi Maestro Freddie Fernandez dan Rock?

“Masa saya kat dalam tu, siapa yang nak percaya cakap saya. Belum masanya saya nak berjumpa mereka.

“Kalau marah, siapa pun marah. Saya nak Rock datang minta maaf dengan saya. Kenapa dia buat begitu? Saya ‘confuse’ kenapa saya berada di dalam. (gelak sekejap).

Tetapi, ada atau tidak kakak cakap kepada Rock yang kakak mahu berjumpa dengan Freddie?

“Takkan saya nak buka pekung di dadanya. Kamu kena tanya dialah...."

Maksudnya Rock sendiri yang buat cerita?

“(Gelak beberapa kali). No komen (tiada komen). Saya masih menjaga maruah orang walaupun maruah saya tercemar."

Apa hubungan sebenar kakak dengan Rock?

"Awak tanya dialah. Kalau dia kata macam tu, itulah jawapan saya."

Maksudnya kawan atau kekasih?

"Saya tak tahu nak cakap macamana. (gelak). Saya berkawanlah dengan dia."

Apa komen Kak Mas apabila Freddie menafikan Kak Mas pernah mengeluarkan duit sebanyak RM20,000 untuk membuat album?

“Cuba kamu tanya dengan Othman sebab saya ada explain dengan dia takut saya tersalah cerita pula nanti.

“Setahu saya, tafsiran saya dulu, mungkin disebabkan ‘show’ itu, masa ambil ‘percent’, mereka kumpul-kumpul duit saya.

“Mana ada siapa nak sponsor album saya? Saya dapat wang terkumpul yang ditabungkan oleh mereka. Kalau saya buat ‘show’ mereka simpankan duit itu untuk saya. Itu maksudnya.

“Dari mana saya hendak berikan duit sebanyak itu secara ‘lump sum’. Semasa Maestro ‘deal’kan dengan penganjur, saya tidak tahu berapa harga ‘show’ saya yang mereka letak. Saya terima seadanya kalau Maestro beri berapa.”

Ada tak kakak menandatangani apa-apa kontrak untuk membuat album dengan Maestro?

“Secara jujurnya, saya ada sain dengan bapa gara-gara hendak sain kontrak waktu itu. Cuma saya belum dapat kontrak yang asli waktu itu daripada Maestro.

Kakak baca tak kandungan yang tertulis di dalam kontrak itu?

“Kalau dulu, mereka bagi saya salinan dalam bahasa Melayu sahaja semasa tahun 2004 selama tiga tahun saya bersama Maestro Management.

“Saya masih simpan salinan kontrak itu cuma saya rasa sedikit terkilan dengan apa yang dilakukan."

Bercakap pasal album, Freddie berkata lagu-lagu di dalam album kakak akan dibuat ‘single’ dan dikeluarkan di radio. Maestro ada beritahu kepada kakak atau tidak tentang hal itu?

“Saya tak berapa ingatlah sebab saya banyak berfikir sejak akhir-akhir ini. Saya tak pasti sama ada pernah dengar atau tidak tentang perkara itu.

“Kalau mereka hendak keluarkan untuk promosi, mestilah saya bersetuju untuk mengeluarkan lagu single di radio.

“Tentang penjualannya pula, mereka kena bagi saya ‘schedule’ untuk turun mempromosikan lagu itu.

“Tetapi, kontraknya saya tidak pernah nampak selepas saya dan bapa datang ke Maestro untuk sain kontrak itu.

“Pada mulanya saya hanya mengambil kontrak yang belum sign itu untuk difikirkan terlebih dahulu. “Selepas itu, saya sign dan menghantar semula kepada Maestro kira-kira setahun yang lalu.

“Selepas itu, saya tunggu daripada syarikat juga. Malangnya saya tidak mendapat salinan kontrak yang telah dihantar kembali ke syarikat selepas itu.”

Jika begitu, ada tak kakak minta atau bertanya tentang kontrak itu dengan mereka?

“Memang ada. Saya ada juga bertanya tetapi mereka kata tidak tahu. Lagipun, selama tiga tahun saya bersama Maestro, mereka tidak pernah memanggil saya untuk ‘meeting’.

“Jadi, saya tidak tahu apa-apa tentang isu yang berlaku. Saya juga rasa terkilan kerana tidak tahu apa keputusannya.

“Saya hanya menunggu sahaja. Yang nak buat album adalah saya dan ‘company’ perlu mengeluarkan duit.

“Kalau mereka tidak keluarkan kenapa tidak beritahu saya. Saya tak tahulah, mungkin disebabkan saya lahir daripada program realiti, jadi saya berminat dengan Maestro Records.

“Kalau syarikat minta saya hadirkan diri, tidak salah. Namanya pun bisnes.”

Sekarang ini, kakak masih bernaung di bawah Maestro?

“Sepatutnya, mereka sendiri kena perbaharui kontrak itu sama ada nak masukkan saya lagi atau tidak.

“Takkan saya pula nak terhegeh-hegeh."

Jadi, adakah itu punca kakak berasa marah baru-baru ini?

“Tidak. Saya ada dengar juga orang kata saya merayu-rayu. Tidak, dengan nama Allah, saya tidak buat semua itu. Saya seorang yang jujur dan tidak dapat menerimanya.

“Jika saya buat begitu, orang mula berfikiran serong terhadap saya. Saya tidak pandai ambil hati orang kerana inginkan sesuatu. Saya bukan jenis macam tu."

Dah berapa lama kakak rakam lagu-lagu itu?

“Sudah lama kira-kira tahun 2006 lalu. Saya nak tahu bila album saya nak jalan atau tidak. Rakaman sudah dibuat dan hanya tinggal sebuah lagu lagi."

Jadi, apabila Freddie katakan mereka akan keluarkan lagu di dalam album itu secara satu-persatu di radio, kakak setuju atau tidak?

“Keluarkanlah jika itu yang terbaik. Nak buat macamana kalau syarikat dah minta macam tu dan bukannya kemahuan artis.

“Nanti wartawan cakap saya merayu pula. Saya tak pernah merayu tetapi hendakkan penjelasan yang jujur.

“Ada hak sekalipun, saya tidak boleh cakap apa. Hitam dan putihnya saya tidak nampak.

“Kalau niat baik, bagi sahajalah. Itu rezeki ‘cantik’ yang Allah beri.”

Maknanya, jika mereka bersetuju hendak mengeluarkan lagu single di radio, mereka perlu berjumpa kakak?

“Jika mereka hubungi saya pun, saya akan datang pada bila-bila masa sahaja. Mereka perlu hantar surat dan bersikap profesional.

“Sudah tentu sekali saya akan datang ke Maestro jika hajatnya baik. Jika baik untuk syarikat, baiklah untuk saya. Saya terima apa sahaja keputusannya."

Artikel Sebelum

Orang tua Que-Linda sepakat

Artikel Berikut

Aditya: Kecelaruan hala tuju!

Artikel Lain