suria

Sarimah lali dikritik, kembali dengan album baru

Sarimah bakal kembali mewarnai persada muzik tanahair
Sarimah bakal kembali mewarnai persada muzik tanahair
Sarimah bakal kembali mewarnai persada muzik tanahair

IMPIANNYA untuk kembali mewarnai persada muzik tempatan tidak pernah padam. Meskipun Sarimah Ibrahim sudah mampu dilihat 'selesa' berada di dalam liga pengacaraan, dia tidak pernah meletakkan titik noktah terhadap karier nyanyian yang pernah bertapak dalam dirinya kira-kira sembilan tahun lalu.

Walaupun pernah mendapat kritikan ketika muncul dengan album sulungnya ketika itu, Sarimah yang pernah mendapat pengiktirafan sebagai Artis Baru Terbaik Anugerah Industri Muzik pada tahun 2000 ini tidak lemah semangat.

Setelah menyedari lagu popularnya dulu, Kini Kau Tiada dan Damai mula dimainkan semula di radio dan kembali mendapat sambutan, wanita berketurunan Melayu-Ireland ini mula terfikir untuk kembali melangkah ke bidang nyanyian.

"Masyarakat khususnya peminat muzik sudah semakin berfikiran terbuka. Apa yang saya perhatikan, penerimaan ramai terhadap muzik tempatan sudah semakin meningkat.

"Tidak seperti lapan tahun lalu ketika saya pertama kali hasilkan album. Pendengar tidak mampu menerima muzik yang saya ketengahkan ketika itu. Malah video muzik saya juga dikritik kononnya terlalu 'kebaratan'.

"Tetapi sejak tahun lalu, lagu saya kembali dimainkan semula di radio dan video muzik saya juga banyak disaksikan di Internet.

"Semua ini berlaku tanpa sebarang aktiviti promosi oleh sesiapa pun. Ini membuktikan pendengar sudah semakin bersikap terbuka dengan muzik tempatan," ujar Sarimah.

Menurutnya, dia mungkin akan tampil dengan sebuah single terlebih dahulu untuk melihat semula respon peminat terhadap bidang nyanyiannya sekali lagi.

"Semuanya masih dalam proses perbincangan. Sejujurnya, saya sendiri tidak pasti sama ada untuk terus tampil dengan album penuh atau single saja.

"Tetapi, mungkin single adalah yang terbaik untuk 'test' dulu pasaran dan lihat reaksi peminat memandangkan saya sudah lama tidak beraksi sebagai penyanyi, hanya muncul di kaca televisyen sebagai pengacara saja sejak lapan tahun lalu.

"Apa yang buat saya lebih bersemangat untuk kembali dalam bidang ini juga ialah kerana permintaan peminat. Ramai yang mahu saya menyanyi semula dan rasanya, ini adalah masa yang terbaik," kata Sarimah yang bakal kembali menerajui Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) sebagai hos program Diari Akademi Fantasia dan sebuah segmen AF baru iaitu, Diari INT AF.

Tambah pelakon dan pengacara yang bakal menginjak usia 31 tahun pada 19 Februari ini lagi, dia berhasrat untuk mengekalkan konsep pop tetapi akan diberi sentuhan klasik.

Ketika ini, kata Sarimah, dia kembali mengikuti kelas vokal untuk memantapkan lagi mutu vokalnya di samping mengetahui lagu mana yang bersesuaian dengan vokalnya itu.

Ditanya adakah dia bersedia dengan sebarang kritikan lagi terhadap karier nyanyiannya selepas ini, kata Sarimah, dia sama sekali tidak kisah dengan kritikan yang bakal singgah kepada dirinya kelak.

"Saya dah pernah kena hentam teruk ketika buat album pertama dulu...tentang gaya nyanyian, muzik, video dan macam-macam lagi. Saya dah biasa dengan kritikan.

"Lagipun, saya hanya ingin memeriahkan industri muzik kita dan berkongsi kreativiti, bukan untuk menang apa-apa anugerah. Gementar itu memanglah ada, tetapi saya akan cuba berikan apa yang peminat mahu saya lakukan," kata anak sulung daripada empat beradik ini.

Dalam perkembangan lain, kata Sarimah, dia ketika ini masih sibuk dengan program Katanya sebelum memulakan musim terbaru AF bulan depan.

"Tawaran pengacaraan juga nampaknya tidak putus-putus. Saya bersyukur sangat kerana rezeki masih banyak walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak begitu baik sekarang ini.

"Insya-Allah, saya juga sedang dalam perbincangan untuk buat 'show' saya sendiri nanti," kata Sarimah yang enggan mengulas lanjut tentang perkara itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain