suria

Spekulasi Pengetua AF7: Sheila enggan komen

[SEMASA] PETALING JAYA: "Saya tidak mahu ulas tentang hal ini. Ini hanya spekulasi kerana saya sendiri tidak tahu apa yang sedang berlaku," ujar penyanyi tersohor Datuk Sheila Majid apabila diminta mengulas tentang desas-desus yang mengatakan dirinya bakal dilantik sebagai Pengetua Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7).

Perkara itu nampaknya semakin hangat diperkatakan apatah lagi bila suaminya, Hashridz Murshim atau Acis telah dipilih menjadi salah seorang tenaga pengajar AF musim baru ini selaku Pengarah Muzik.

Ramai yang beranggapan pemilihan Acis itu sebenarnya sebagai 'petanda' oleh Astro bahawa 'kerusi panas' tersebut memang sah menjadi milik penyanyi yang popular itu.

Namun, bila diajukan soalan sama ada dia bersedia memikul tanggungjawab itu jika ditawarkan kelak, Sheila hanya sekadar menjawab "no komen" dan enggan mengulas lanjut tentang hal tersebut.

Semalam, barisan tenaga pengajar AF musim baru telah pun diperkenalkan pada sidang media khas. Selain mengekalkan Siti Hajar Ismail sebagai guru vokal persembahan, Fatimah Abu Bakar selaku guru motivasi dan Bahasa Inggeris serta Syafizawati Sharif sebagai guru vokal teknikal, tiga tenaga pengajar baru turut dipilih iaitu pelakon Ida Nerina sebagai guru lakonan, A.Aris Kadir yang mengambil alih tugas Linda Jasmine selama enam musim sebagai koreografer serta Acis sendiri.

AC Mizal juga diberi kepercayaan sekali lagi untuk mengendalikan konsert mingguan AF7. Begitu juga dengan Sarimah Ibrahim yang terus kekal sebagai hos bagi program Diari Akademi Fantasia dan sebuah segmen AF baru iaitu, Diari INT AF.

Namun begitu, pihak Astro hanya akan mengumumkan tentang jawatan Pengetua AF7 pada sidang media seterusnya tidak lama lagi.

"Buat masa ini, kami belum bersedia untuk mengumumkan tentang Pengetua AF7. Kami sebenarnya masih di dalam peringkat perbincangan dan masih meneliti senarai calon untuk jawatan itu.

"Kami mahu memilih Pengetua yang mampu memberikan komitmen sepenuhnya terhadap tugas tersebut dan akan terlibat dengan program ini sepenuh masa," ujar Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan

Artikel Sebelum

Artikel Lain